Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) akan menganjurkanSeminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada 13 Disember 2009 iaitu pada hari Ahad bermula pukul 8.30 pagi di Institut Integriti Malaysia (IIM), Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Antara objektif seminar ini diadakan adalah untuk menekankan keutamaan pandangan alam Islam dalam kerangka berfikir masyarakat Islam serta memantapkan kefahaman masyarakat, khasnya generasi muda, tentang Pandangan Alam Islam yang sebenar.
Dalam pada itu, PKPIM dalam membawa suatu rencah bagi memulihkan permasalahan umat telah melancarkan “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” yang bertujuan untuk membina kembali suatu generasi Islam baru yang ideal dan menjadi suri tauladan kepada semua, yang luhur adab dan keperibadiannya, tinggi disiplin ilmunya, kukuh pegangan tauhidnya serta memiliki nilai integriti dan kepimpinan yang hebat.
Rentetan itu, penganjuran Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah merupakan satu program induk dan menjadi perintis kepada pelaksanaan program Majlis Tarbiyah dalam memperkasa agenda kefahaman Ta’dib dan pendidikan dalam kalangan masyarakat khususnya generasi pelajar.
Sementara itu, seminar yang akan dianjurkan juga akan diisi dengan tujuh pembentangan kertas kerja oleh beberapa tokoh intelektual terkemuka dalam negara. Antara yang terlibat termasuklah Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, Dr Mohd Farid Mohd Sharan, Dr Mohd Sani Badrun, Dr Adi Setia Mohd dom, dan sebagainya. Acara kemuncak kepada penganjuran seminar tersebut adalah Syarahan Perdana Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang bertajuk “Reviving The Worldview of Islam: Internal & External Challenges” pada sebelah malam.
Maka, pihak PKPIM menyeru kepada semua pihak khususnya golongan mahasiswa untuk menghadiri seminar ini untuk menyelesaikan permasalahan utama umat memandangkan segala penyelesaian yang ingin dilakukan haruslah bermula dengan usaha memperbetulkan cara berfikir masyarakat Islam terutama yang berhubung dengan ta’dib dan pendidikan yang membentuk alam pemikiran mereka.
Bagi yang berminat, pendaftaran boleh dibuat dengan berhubung terus dengan pihak penganjur Sdr Abdul Muntaqim Zulkifli di talian 019-8285019 atau 03-61842286. Untuk makluman semua juga, yuran seminar yang ditetapkan untuk program tersebut adalah sebanyak RM100 untuk golongan professional dan RM35 untuk golongan pelajar. Namun, bagi yang mahu menghadiri Syarahan Perdana Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas sahaja, bayaran yuran yang dikenakan adalah sebanyak RM50 untuk golongan professional dan RM20 untuk pelajar.