
KENTAAN MEDIA GERAK MALAYSIA
16 FEBUARI 2009
Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia ) menolak keras mana-mana agenda rasuah politik bagi membeli atau memancing ADUN atau mana-mana Ahli-ahli Parlimen Malaysia untuk melompat parti. Gerak Malaysia menggesa agar SPRM menjalan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah ini.
Situasi ketidakstabilan politik yang berlaku di Perak akibat lompat parti atau bertukar menjadi ADUN Bebas harus dihindarkan daripada perilaku rasuah dan ugutan. Gerak Malaysia menggesa mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh termasuk transaksi, wang, cek, surat-surat berkaitan agar tampil membuat laporan kepada SPRM. Gerak Malaysia menyokong apa-apa usaha oleh mana-mana pihak bagi mendedahkan dan melaporkan jenayah rasuah yang berlaku bagi membeli ADUN-ADUN daripada mana-mana parti politik.
Walaupun tindakan melompat parti atau bertukar parti adalah suatu tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 10, namun tindakan ini perlu dihindarkan daripada anasir-anasir rasuah, ugutan, salah guna kuasa dan bersifat kepentingan peribadi.
Gerak Malaysia juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang bersedia menjadi saksi dan membawakan dokumen fizikal kes-kes rasuah politik yang berkaitan dalam isu lompat parti agar Gerak Malaysia dapat mengambil tindakan bersama dan lebih agresif untuk mendedahkan kepada masyarakat. Jika laporan bersumpah yang dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri adalah benar melibatkan rasuah politik, Gerak Malaysia menggesa agar SPRM bertindak pantas untuk melakukan siasatan dan tindakan. Timbalan Perdana Menteri juga wajar digantung tugas jika terlibat dalam kes yang didakwa. Pelapor juga boleh bertemu Gerak Malaysia untuk kita mengambil tindakan yang boleh mencetuskan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya rasuah untuk membeli kuasa politik.
Gerak Malaysia menyarankan agar secara segera undang-undang berkaitan masalah lompat parti digubal. ADUN atau Ahli Parlimen yang melompat parti wajar meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihanraya kecil dijalankan bagi kawasan mereka. Walaubagaimanapun, kita mencadangkan agar mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan wajar diberi peluang untuk bertanding semula sejurus meletak jawatan bagi mewakili parti barunya . Situasi ini penting bagi memberikan keadilan kepada calon dan rakyat dalam proses demokrasi. Undang-undang yang konklusif wajar dibentuk bagi memastikan keterjaminan integriti politik. Kita juga mengecam mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen yang mengambil kesempatan daripada kebebasan berpersatuan yang dijamin Perlembagaan untuk melompat parti atas unsur-unsur sogokan, rasuah dan kepentingan diri. Gerak Malaysia menyarankan agar rakyat menolak kepimpinan yang rasuah dan lebih mementingkan kepentingan diri.
MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi
GERAK MALAYSIA
SPRM WAJAR SIASAT JIKA ADA RASUAH LOMPAT PARTI
Lemahnya Semangat Anti Korupsi kita.. Salah siapa???

Dengan Nama Allah satu-satunya tuhanku, Izinkanlah aku meninta...
Bismillahirrahmannirrahim...
Tidak lama dahulu, satu kajian mengenai isu korupsi telah dilakukan terhadap penuntut-penuntut di institusi pengajian tinggi di seluruh negara oleh Institut Integriti Malaysia. Kajian ini dilakukan untuk menilai sejauh mana kepekaan dan kesedaran tentang isu korupsi dikalangan mahasiswa mutakhir ini.
Apa yang amat mengejutkan, dan tidak kurang pula mengecewakan, hasil daripada kajian tersebut, didapati 40% daripada golongan mahasiswa sanggup menerima rasuah dan mengamalkan korupsi di tempat kerja mereka kelak. Hal ini ternyata membimbangkan dan sedikit sebanyak telah membuka mata penulis bahawa betapa melemahnya semangat membenci apatah lagi menentang korupsi dikalangan generasi muda hari ini.
Perlu diingatkan, tinjauan rambang tersebut dilakukan keatas golongan mahasiswa, yang sepatutnya dianggap kumpulan masyarakat yang mempunyai tahap kependidikan yang tinggi, justeru seharusnya memiliki kesedaran sivik dan akhlak yang lebih baik daripada lapisan masyarakat yang lain.
Mengapa kelumpuhan nilai moral ini tetap berlaku dimana ia seharusnya dinafikan oleh kesedaran pendidikan???
Apakah sistem pendidikan negara ini sudah gagal, sehingga mencipta sekelumit generasi yang bakal membangsatkan harta rakyat?
Fikiran penulis yang kecelaruan, dan kehairanan membuatkan mata ini sukar dilelapkan, tatkala pedih mengenangkan keputusan kajian tersebut.
Rontaan fikrah muda ini tidak semena-mena membawa kepada penelitian semula zaman kanak-kanaknya.Zaman kanak-kanak generasi 70an dan 80an yang diindahi dengan warna-warna kehidupan yang pelbagai. Manakan tidak, pada ketika itu negara ini sedang berpadu, sedang melangkah hebat membangun, ekonomi negara kian gagah, seolah-olah melupakan segala kesengsaraan yang telah diharungi oleh negara muda ini.
Proses modernasisasi begitu rancak berlaku pada ketika itu, pendapatan isi rumah rakyat kian meningkat, taraf kehidupan bertambah baik.Namun apa yang uniknya, ajaran-ajaran agama dan moral masih lagi tidak dilapokkan oleh ibu bapa pada ketika itu.
Maka selalulah kita sebagai anak mendengar leteran ibu bapa kita seperti :
"Apis, jangan mencuri, itu adalah kecurangan besar disisi agama"
Ataupun,
"Apis, sesungguhnya berbohong itu salah, berdosa, nanti tuhan marah"
Paling tidak pun,
"Apis, tak baik cakap "aku", berdosa, nanti jadi paku!!"
Tapi pernah atau tidak kita dengar ibu bapa kita berkata begini, atau mungkin sekali jarang kedengaran lafaznya begini :
"Apis, dah besar nanti, jangan jadi kaki makan rasuah, jangan salah guna kuasa yang Allah amanahkan kat kita, nanti masuk neraka jahanam! Berkawanlah kamu dengan syaitan laknatullah!!"
Penulis kira, tentu pembaca sekalian kehairanan. Mungkin sekali ada diantara kamu semua yang berasakan saranan tersebut tiada logikanya, apatah lagi jika ianya harus disampaikan pada kanak-kanak tahun 1 yang baru sahaja menjejaki alam persekolahan yang penuh berliku.
Namun sedikit provokasi yang penulis ingin timbulkan:
Adakah seorang kanak-kanak dapat memahami konsep mencuri dengan tiadanya didikan ibu bapanya?
Bagaimana pula dengan Konsep Tauhid? Konsep ketuhanan, konsep syurga dan neraka? konsep dosa dan pahala? Mengapa seorang anak kecil itu mampu memahami satu falsafah yang tidak tercapai akalnya, yang ghaib dimata mereka tetapi tahu pula mereka berhujah:
"tak baik melakukan perkara ini, nanti tuhan marah, tuhan kasi dosa kat kita, tuhan akan humban kita dalam neraka kalau dosa kita banyak setinngi gunung.."
Maka rakan si kecil itu bisa sahaja akan bertanya:
"siapa yang kata begitu?"
Lalu akan pantas sahaja dia menjawab:
"ayahku/Abiku/Abahku/Papaku/Bondaku/Ibuku/mamaku/cikguku/Ustazku/Ustazahku yang kata!..."
Kebiasaannya si penanya akan tertunduk dan diam membisu tanda setuju.
Mari sama-sama kita renungkan kembali frasa diatas.... "Ayahku yang berkata begitu"...
Masyaallah, itulah kurniaan Allah terhadap autoriti yang mampu diwartakan oleh golongan Ibu bapa dan para pendidik! Apa sahaja yang dikatakan oleh mereka, mentah-mentah akan ditelan oleh kanak-kanak yang belum mencapai kematangan.
Apa yang diperkatakan oleh penulis diatas, menunjukkan betapa pentingnya pendidikan awal tentang sentimen anti korupsi dan rasuah diterapkan kepada golongan anak-anak yang masih didalam era ketidakmatangan. Seharusnya budaya keibubapaan dan pendidikan di bangku sekolah wajar digubal bagi membendung masalah korupsi sejagat demi melahirkan pemimpin yang berkredibiti, amanah, dan cekap menguruskan khazanah negara yang diwarisi turun temurun oleh generasi terdahulu.
Namun, jangan pula kita terus menunding jari melaungkan kesalahan ibu bapa kita, mengatakan merekalah penanggung dosa hakiki menyebabkan diri ini rela memakan harta rasuah!. Harus diingat, pada zaman mereka, tidaklah wujud acara memakan duit rakyat, acara menabur harta kepada kroni, atau memperkayakan diri melalui saman-saman trafik!, jika adanya sekalipun, mungkin hanya sekelumit kecil sahaja yang melakukan sedemikian, sehingga masyarakat dan pihak berkuasa tidak terperasan kewujudannya!.
Apa yang wajib dilakukan oleh kita semua, bakal ibu bapa, mahupun yang telah mempunyai keluarga, didiklah anak-anak kita dengan sifat anti korupsi yang mendalam sejak daripada mereka didalam kandungan lagi disamping ilmu-ilmu agama dan moral yang lain. Perlu ditegaskan, janganlah kita mengambil mudah tentang isu ini. Tidakkah kita rela melihat anak kita diheret ke neraka dunia mahupun di akhirat, lantaran keterlanjuran ketamakan harta dan kemewahan? Sudah tentu tidak!! Justeru itu, revolusi budaya pendidikan ini harus menjadi satu kewajipan yang sahih dan sah! Bukankah begitu??
"apis, dah besar nanti jangan makan rasuah, jangan tipu orang, jangan tak amanah dengan kerja yang masyarakat telah pertanggungjawapkan kepada kita. Nanti Allah humban kamu ke dalam neraka bersama-sama iblis!"
Harapnya revolusi seruan itu dapat kudengar pada hari esok.........
Wallahualam...
Kearah Masyarakat Demokrasi Islam dan Anti Korupsi,
Hafidz Hakimi Bin Haron (Ibn Qadir)
Exco,
Bahagian Kepimpinan dan Sukarelawan
Gerakan Rakyat Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) Mahasiswa
Malaysia.
GERAK MALAYSIA SARAN SKIM GAJI SPRM LEBIH BAIK
KENYATAAN MEDIA GERAK MALAYSIA
31 DISEMBER 2008
Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia ) menyarankan agar kerajaan mengkaji semula skim gaji pegawai BPR atau SPRM dan menawarkan satu skim gaji baru yang lebih baik bagi mereka. SPRM akan menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkuat kuasa pada 1 Januari 2009. Gerak Malaysia melihat skim gaji baru ini perlu lebih menarik dan memberangsangkan bagi para pegawai SPRM dan menarik minat orang awam terutamanya generasi muda untuk menyertai SPRM.
Pelbagai usaha dilakukan kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi untuk menjayakan penubuhan SPRM bagi menggantikan BPR bagi memantapkan lagi undang-undang membanteras rasuah. Namun pengumuman skim gaji baru bagi kakitangan SPRM tidak memberangsangkan.
Skim gaji baru BPR atau SPRM yang diumumkan hanya membolehkan pegawai BPR yang berkelulusan diploma memperoleh kenaikan lebih kurang RM68 sementara yang berkelulusan ijazah memperoleh RM 98 sahaja.
Gerak Malaysia menyarankan agar skim gaji baru pegawai SPRM kelak boleh diberikan kenaikan antara 25% hingga 35% berbanding kakitangan awam yang lain. Skim gaji baru yang lebih baik adalah perlu bagi para pegawai SPRM menjalankan tugas dengan lebih dedikasi. Selain itu, skim gaji ini juga harus benar-benar memberikan manfaat kepada pegawai SPRM.
Gerak Malaysia menyokong sekiranya ada usaha dipihak kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Penelitian Intensif Skim Gaji Baru SPRM yang lebih baik dan bersesuai berbanding yang telah diumumkan sebelum ini.
Kita berharap agar pihak Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dapat meneliti masalah ini dalam usaha kita membanteras rasuah adalah perlu bagi kerajaan juga memperkukuhkan struktur dalaman SPRM itu sendiri termasuk soal skim gaji pegawai SPRM.
MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi Gerak Malaysia
GERAK GESA SAIFUDDIN LAPOR BPR RASUAH CALON TIMB. PRESIDEN UMNO

KENYATAAN MEDIA
18 DISEMBER 2008
GERAK GESA SAIFUDDIN LAPOR BPR RASUAH CALON TIM. PRESIDEN UMNO
Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menggesa agar Ahli Parlimen PKR dari Machang, Saifuddin Nasution melaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkaitan rasuah politik salah seorang calon Timbalan Presiden UMNO seperti yang didakwanya di Parlimen.
Gerak Malaysia juga menggesa agar BPR membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan berkaitan kenyataan Ahli Parlimen Machang itu. Tindakan ini perlu berasaskan seksyen 25 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 yang menyatakan kewajipan untuk melaporkan transaksi penyogokan. Seseorang hendaklah seawal yang mungkin melaporkan permintaan atau perolehan, atau percubaan untuk memperoleh suapan itu berserta dengan perihalan yang lengkap dan benar dan jika diketahui nama orang yang meminta atau memperoleh, atau cuba memperoleh, suapan daripadanya itu kepada pegawai Suruhanjaya atau pegawai polis yang paling hampir.
Laporan BPR adalah amat perlu bagi membersihkan pemilihan kepimpinan UMNO daripada gejala rasuah politik. Gerak Malaysia memandang serius kenyataan dan laporan Ahli Parlimen Machang itu dan melihat perlu ada usaha untuk melaporkannya sebagai tanda iltizam apatah lagi Saifuddin mendakwa mempunyai laporan lengkap mengenainya.
Gerak Malaysia juga menyarankan agar agen salah seorang calon Timbalan Presiden UMNO itu juga tampil untuk memberi keterangan jika beliau sedar bahawa apa yang dilakukannya itu adalah suatu bentuk kesalahan di bawah Akta SPRM 2008 yang baru sahaja diluluskan Parlimen semalam.
Rasuah politik yang diamalkan dalam pemilihan kepimpinan mana-mana parti politik harus dibanteras dan usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ahli-ahli parti. UMNO juga harus mengambil tindakan serius dan Gerak Malaysia berharap agar siasatan rasuah politik yang dinyatakan oleh BPR telah selesai perlu diteruskan dengan pendakwaan yang berkesan terhadap pemberi & penerima rasuah.
Dalam perkembangan lain, Gerak Malaysia menyokong penuh pembentangan rang Undang-undang Perlindungan Saksi 2008. Undang-undang ini perlu untuk melindungi keselamatan dan kebajikan saksi. Selain itu penubuhan Mahkamah Khas Rasuah juga perlu dipercepatkan agar kes-kes rasuah tidak terlalu lama tertangguh sehingga pendakwaan tidak dapat dijalankan.
MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi GERAK Malaysia
GERAK GESA LANTIK PEGUAM NEGARA MELALUI FIT&PROPER TEST

KENYATAAN MEDIA
17 DISEMBER 2008
GERAK GESA LANTIK PEGUAM NEGARA MELALUI ‘FIT&PROPER TEST’
Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK Malaysia) menggesa perlantikan Peguam Negara dilakukan secara ‘fit & proper test’. Perlantikan Peguam Negara perlu melalui proses saringan yang teliti seperti mana telitinya proses saringan pemilihan angkasawan negara.
Perlantikan Peguam Negara secara teliti amat penting kerana seksyen 58 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 masih lagi memberikan kuasa pendakwaan kepada Peguam Negara. Justeru Gerak Malaysia berpandangan adalah perlu proses saringan ini bagi memastikan tidak timbul pertikaian kredibiliti Peguam Negara di kemudian hari.
Dalam aspek yang lain, perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM juga wajar melalui saringan ‘fit & proper test’ ataupun ujian rintis kredibiliti kerana menurut subseksyen 6 seksyen 5 Akta SPRM memberikan apa-apa kuasa sebagai Timbalan Pendakwa Raya kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM. Maka sudah pasti penjawat jawatan Ketua Pesuruhjaya juga harus datang daripada mereka yang berkredibiliti, bersih dan dilihat bersih.
Hanya dengan methodologi perlantikan Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang teliti sahaja mampu untuk memperlihatkan usaha kerajaan yang lebih konsisten dan serius untuk membanteras rasuah . Ruang-ruang pertikaian kredibiliti Peguam Negara & Ketua Pesuruhjaya SPRM boleh dikurangkan dengan terlaksananya ujian ‘fit & proper test’ ini sebelum perlantikan seseorang sebagai Peguam Negara & Ketua Pesuruhjaya SPRM pada masa akan datang. Perlaksanaan ujian rintis kredibiliti ini boleh dilaksanakan walaupun kedua-dua jawatan tadi melibatkan perlantikan penjawat awam. Kewujudan Mahkamah Khas Rasuah juga boleh difikirkan buat memperkemaskan perjalanan pendakwaan kes-kes rasuah.
Gerak Malaysia menyambut baik pengesahan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2008 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kita berharap agar kewujudan SPRM kelak mampu untuk membanteras gejala rasuah secara berkesan serta membudayakan integriti dalam kehidupan pemimpin dan rakyat Malaysia . Langkah pembentangan SPRM di Parlimen ini merupakan langkah awal keazaman politik yang perlu diteruskan dan diberikan sokongan oleh semua pihak termasuk pembangkang.
MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi GERAK Malaysia
Siasat Tragedi Bukit Antarabangsa Jika Ada Rasuah

KENYATAAN MEDIA
10 DISEMBER 2008
Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK Malaysia) menggesa agar Badan Pencegah Rasuah (BPR) membuka kertas siasatan dan memulakan penyiasatan ke atas tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa bagi memastikan tindakan pendakwaan diambil jika wujud unsur-unsur rasuah dalam kelulusan projek berisiko tinggi di kawasan cerun bukit terbabit.
Penyiasatan dan pendakwaan adalah perlu kerana kita tidak mahu lagi tragedi yang telah meragut nyawa 4 orang penduduk Bukit Antarabangsa dibiarkan tanpa ada suatu bentuk penyiasatan terperinci. Sudah pasti lambakan pembinaan projek-projek pembangunan dilereng dan kaki bukit yang diluluskan tanpa memikirkan aspek jaminan keselamatan penduduk adalah bentuk-bentuk rasuah dan salah guna kuasa yang tidak seharusnya berlaku dalam sesuatu kelulusan projek pembangunan berisiko tinggi.
Gejala penyelewengan dan rasuah yang berlaku tidak boleh dibiarkan terus berlaku dalam tatacara perancangan pembangunan rakyat dan wajar dibongkarkan. Nyawa rakyat dan penduduk sesebuah kawasan pembangunan atau perumahan tidak wajar ditaruh dengan sikap ambil mudah, tidak bertanggungjawab dan rasuah oleh perlaksana atau pemaju termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam soal meluluskan sesuatu projek perumahan apatah lagi di kawasan tanah tinggi serta berisiko.
Gerak Malaysia menyarankan 3 langkah segera yang perlu diambil dalam konteks untuk membanteras gejala rasuah dan penyelewengan dalam kelulusan projek pembangunan dan perumahan berisiko tinggi yang akhirnya mengorbankan nyawa rakyat.
(1) BPR perlu dengan segera membuka kertas siasatan dan pendakwaan jika wujud unsur-unsur rasuah dalam projek pembangunan dan perumahan yang berisiko tinggi terutamanya di lereng-lereng Bukit Antarabangsa dan kawasan-kawasan berisiko lain.
(2) PBT juga wajar melaporkan kepada BPR jika wujud pegawainya yang terlibat dalam menyalahgunakan kuasa bagi meluluskan projek pembangunan yang berisiko.
(3) Pemaju perumahan yang gagal menjaga aspek-aspek keselamatan projek-projek pembangunan & perumahan mereka wajar digantung lesen serta merta oleh kerajaan.
Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi GERAK Malaysia
-- GERAK MalaysiaGerakan Rakyat Anti KorupsiCivil Movement Against CorruptionB-1012, Level 10, Block B, Kelana Square, Jln SS7/26, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor. MalaysiaTel: +603 7804 9632Fax: +603 7803 9423www.gerakmalaysia. org
Kenyataan Media 9 Disember 2008 : Deklarasi GERAK Malaysia
Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK Malaysia) ingin menyarankan agar ahli-ahli Parlimen Malaysia membahaskan secara serius, matang dan berkesan rang undang-undang Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM esok 10 Disember 2008. Atas kesedaran ini, GERAK Malaysia telah menggagaskan 17 Deklarasi berkaitan usaha-usaha membudayakan integriti dan anti rasuah. GERAK juga ingin menegaskan agar SPRM diberikan kuasa pendakwaan mutlak melalui undang-undang yang bakal dibentuk bagi mengendalikan kes-kes rasuah serta diletakkan secara independent di bawah Parlimen. GERAK Malaysia juga mencadangkan agar SPRM yang bakal ditubuhkan kelak mampu menjalinkan hubungan secara langsung dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran & Kementerian Pembangunan Wanati, Keluarga dan Masyarakat bagi menggalakkan lagi usaha-usaha memperkasakan pendidikan integriti & anti rasuah.
Berikut adalah DEKLARASI PERMUAFAKATAN INTEGRITI & ANTI RASUAH oleh GERAK Malaysia:
PERMUAFAKATAN INTEGRITI & ANTI RASUAH
DEKLARASI PERMUAFAKATAN INTEGRITI & ANTI RASUAH 2008
Menginsafi bahawa rasuah adalah gugatan terhadap iman dan nilai moraliti yang boleh meruntuhkan asas akhlak dan kepimpinan dengan merendahkan martabat bangsa dan tidak menjunjung undang-undang;
Menyedari bahawa rasuah adalah sering berpunca daripada perasaan tamak, pilih kasih, dorongan nafsu dan cita-cita melulu demi memenuhi kepentingan individu sama ada di dalam mengumpulkan kekayaan peribadi, di dalam memajukan perniagaan secara mudah, di dalam mencapai aspirasi politik menerusi jalan paling singkat atau menebus perilaku yang melanggar undang-undang;
Mengakui bahawa jenayah rasuah yang merebak secara parah boleh mendorong ke arah ketidakadilan, menindas golongan kurang berada dan melupuskan kos kecekapan (cost efficiency) serta mengancam keselamatan negara, menghuru-harakan kerajaan, meruntuhkan tamadun, membinasakan bangsa dan mengugat pendukungan demokrasi;
Menerima hakikat bahawa kepemimpinan yang bermaruah serta mempunyai iltizam yang tegas adalah pemimpin yang menjadi pemangkin gerakan massa untuk memerangi rasuah di semua peringkat secara komited, konsisten dan berkesan;
Menyokong, menghargai serta mengiktiraf bahawa iltizam politik serta ketegasan kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan memerangai rasuah dan ini merupakan tindakan positif ke arah negara yang sifar toleran terhadap rasuah;
Meyakini bahawa kewujudan masyarakat madani Malaysia akan menjadi pemangkin kebangkitan negara yang sifar rasuah dan mampu membentuk Good Governance;
Maka Permuafakatan Integriti dan Anti Rasuah mengambil ketetapan bahawa:
- Kerajaan hendaklah mengkaji semula kuasa, tugas dan tanggungjawab Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mencakupi aspek-aspek pendidikan, pencegahan, penyiasatan dan pendakwaan yang menyeluruh. Ini akan membolehkan BPR atau SPRM mempelopori gerakan pendidikan anti rasuah yang komprehensif di kalangan masyarakat, melakukan kegiatan pencegahan yang lebih berkesan, menjalankan penyiasatan dengan lebih cekap dan adil serta membuat perakuan-perakuan pindaan yang berwibawa ke atas segala amalan dan prosedur di sektor awam yang didapati menggalakkan rasuah.
- Kerajaan hendaklah memberikan kuasa penuh kepada BPR atau SPRM untuk meminta mana-mana individu yang disyaki melakukan rasuah untuk menjelaskan harta yang dimilikinya menerusi kenyataan bersumpah. Jika individu berkenaan gagal memberikan penjelasan yang memuaskan berhubung pemilikan harta yang melebihi pendapatannya, maka pendakwaan hendaklah dibuat ke atasnya. Sekiranya didapati bersalah, harta individu tersebut hendaklah diambil/disita oleh pihak kerajaan seadilnya dan dimanfaatkan semula untuk kepentingan rakyat.
- Kerajaan hendaklah menubuhkan sebuah jawatankuasa penilai peringkat tertinggi (review committee) yang bertanggungjawab mengkaji semula semua kes rasuah yang telah disiasat oleh BPR dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, tetapi kes berkenaan tidak dibawa ke makhkamah. Jawatankuasa ini hendaklah melantik Ketua Hakim Negara sebagai Ex-Officio dan dianggotai oleh perwakilan rakyat atau individu yang berwibawa tinggi serta bertanggungjawab terus kepada Parlimen. Jawatankuasa ini juga harus membincangkan kaedah terbaik bagi membentuk sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
- Di samping hukuman-hukuman berat yang dikenakan ke atas pesalah rasuah, Kerajaan hendaklah juga mengenakan juga hukuman sebat ke atas pesalah-pesalah tersebut.
- Kerajaan hendaklah mengutuk amalan rasuah sebagai musuh no.1 negara yang lebih dahsyat bahayanya daripada penagihan dadah. Justeru, kerajaan hendaklah merestui kewujudan sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Suruhanjaya ini hendaklah bertanggungjawab mengesan, mengkaji serta menganalisa amalan rasuah, kesan dan implikasinya terhadap sosio ekonomi, politik dan keselamatan negara. Suruhanjaya ini hendaklah dibentuk dan diwujudkan menerusi kerangka undang-undang, mempunyai jawatankuasanya di peringkat negeri dan daerah serta bergerak seiring dengan BPR atau SPRM ataupun terus menggantikan peranan BPR setelah BPR itu sendiri distrukturkan semula ke arah menjadi suruhanjaya bebas yang benar-benar efisyen.
- Kerajaan hendaklah menggalak serta mengiktiraf kewujudan satu gerakan anti rasuah sama ada dalam bentuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggembleng penyertaan rakyat jelata, sektor awam, sektor swasta, pertubuhan politik dan pertubuhan sukarelawan di semua peringkat, di seluruh negara. Gerakan bersepadu ini juga hendaklah bergerak seiring dengan BPR ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang bakal ditubuhkan kelak.
- Seluruh jentera, sistem, peraturan dan undang-undang yang boleh mendorong amalan rasuah dan didapati menyulit, menghalang atau melambat-lambatkan pembangunan, kemajuan dan modenisasi ekonomi dan perindustrian negara hendaklah dikaji semula dan dibaiki keberkesanannya. Kerajaan hendaklah memperkasakan peranan Kementerian Kewangan dengan membentuk sistem ekonomi dan sistem penyampaian ekonomi yang berkesan serta berupaya memantau dan menutup ruang-ruang yang boleh berlakunya rasuah dan penyelewengan.
- Sektor awam, swata dan kalangan politik hendaklah diberi kefahaman mendalam dan terperinci bahawa pembangunan, kemajuan dan modenisasi negara, khususnya di bidang ekonomi dan perindustrian, adalah tanggungjawab bersama selaras dengan semangat dan dasar untuk membentuk Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.
- Hendaklah diwujudkan mekanisma perundangan yang berkesan untuk menyelia urusan yang melibatkan sektor perniagaan dan Kerajaan. Perilaku kakitangan awam yang memproses, menganalisa, membuat perakuan, mengendali, menyelia dan meluluskan semua aspek percukaian, perlesenan, projek pembangunan dan projek penswastaan di peringkat pusat, negeri dan daerah mestilah telus dan bebas daripada rasuah. Warga korporat yang berurusan dengan sektor awam mengenai penswastaan atau perlaksanaan projek pembangunan di semua peringkat juga dituntut berperilaku telus dan bebas daripada rasuah.
- Sebuah sistem kawalan dalaman bagi jabatan-jabatan utama Kerajaan yang mengendalikan projek-projek penswastaan dan projek pembangunan negara yang besar hendaklah dipastikan telus, amanah dan berintegriti dalam mengendalikan maklumat-maklumat penting supaya tidak berlaku pembocoran rahsia dan maklumat yang bernilai komersial dan yang dapat diperdagangkan dengan nilai pasaran ataupun dengan nilai rasuah yang tinggi.
- Semua anggota penguatkuasa undang-undang dan kakitangan awam di jabatan yang sering terdedah dengan amalan rasuah hendaklah mempunyai tatacara yang telus, berintegriti dan berkesan. Semua sektor swasta juga hendaklah mewujudkan Tatacara Etika Integriti & Anti Rasuah dalam organisasi masing-masing.
- Sumpah jawatan bagi seluruh perlantikan awam, swasta dan politik di semua peringkat hendaklah mengandungi elemen kemurnian akhlak, keluhuran undang-undang serta membudayakan integriti dan anti rasuah.
- Seluruh kakitangan awam, kepimpinan politik dan kepimpinan korporat di mana Kerajaan mempunyai saham hendaklah dimestikan mengisytiharkan harta masing-masing kepada sebuah jawatankuasa di bawah pimpinan Perdana Menteri dan juga Parlimen.
- Usaha mewujudkan masyarakat madani yang menjunjung keluhuran undang-undang, mengamalkan tradisi bermoral yang murni, berbudaya, berintegriti dan tidak berkompromi terhadap rasuah perlu diperhebat dan diperkasakan lagi gerakannya di setiap lapaisan masyarakat Malaysia. Seluruh jentera pembangunan generasi anjuran kerajaan, parti-parti politik, organisasi korporat dan badan-badan sukarela di semua peringkat perlu mendukung usaha mewujudkan masyarakat madani ini menerusi gerakan kesedaran dan modul latihan ketatanegaraan dan keagamaan yang rapi, khusus, bersepadu dan berterusan.
- Elemen-elemen dan mesej integriti dan anti rasuah hendaklah diterapkan ke dalam jiwa segenap generasi muda Malaysia menerusi kurikulum khas pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggi anjuran kerajaan dan swasta. Elemen dan mesej integriti dan anti rasuah ini juga hendaklah diterapkan ke dalam jiwa pelatih menerusi kurikulum khas di semua agensi latihan awam dan swasta. Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Malaysia harus memberikan keprihatinan terhadap usaha-usaha membentuk budaya integriti dan anti rasuah melalui sistem pendidikan negara.
- Pihak media massa hendaklah diberi galakan untuk melaporkan gejala dan amalan rasuah oleh segenap lapisan masyarakat secara jujur, adil dan berwibawa.
- Mengoptimumkan fungsi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membentuk keterlibatan langsung golongan wanita dalam usaha-usaha membudaya integriti dan anti rasuah bermula dengan pengukuhan budaya integriti dan anti rasuah dalam keluarga.
Berasaskan deklarasi ini GERAK Malaysia ingin menyatakan pendirian bahawa semua pihak sama ada Ahli Parlimen Malaysia, Pimpinan Parti-parti politik, mahasiswa, badan-badan bukan kerajaan dan pertubuhan atau persatuan belia dan anak muda harus menguatkan tekad dan iltizam untuk bangkit membentuk budaya integriti dan anti rasuah bagi memastikan terbentuknya permuafakatan bersepadu di kalangan kita dalam usaha membentuk Good Governance dan kepimpinan yang adil, amanah dan bertanggungjawab demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
GERAK Malaysia juga menyatakan harapan tinggi kepada seluruh Ahli Parlimen Malaysia agar dapat membahaskan secara matang dan konstruktif rang undang-undang penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Parlimen pada awal Disember 2008 ini.
Semoga dengan terbentuknya SPRM ini mampu memberikan harapan, perubahan dan nafas baru terhadap kewibawaan dan kredibiliti BPR lantas memberikan erti yang lebih serius terhadap usaha-usaha kerajaan dengan kerjasama pihak pembangkang bagi memperkemaskan struktur, undang-undang dan pendidikan yang menjurus ke arah membentuk budaya integriti dan anti rasuah.
Deklarasi oleh:
Gerakan Rakyat Anti Korupsi
(GERAK Malaysia)
Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi GERAK Malaysia
sk: Badan Pencegah Rasuah (BPR)
Ahli-ahli Parlimen Malaysia
Institut Integriti Malaysia
Transparency International-Malaysia
Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Belia dan Anak Muda Malaysia
Pimpinan UMNO, PAS, PKR, DAP, MCA, MIC & Gerakan
Kementerian Pengajian Tinggi
Kementerian Pelajaran
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat
Institut Kajian Asas Kemasyarakatan (INSKA)
Pimpinan Mahasiswa Universiti Seluruh Malaysia
Bar Council (Majlis Peguam)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS)
Belia 4B Malaysia
MAYC Malaysia
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
TERAS Pengupayaan Melayu
Juang Menentang Korupsi : Realiti atau Fantasi?
Asslamualaikum warahmatullah…
Selawat dan salam buat rasullullah sallallahualaihiwassaallam, marilah sama-sama kita panjatkan doa kesejahteraan buat sahabat-sahabat serta kaum kerabat baginda, semoga roh mereka ditempatkan bersama para-para anbiya’ yang banyak bekorban demi memperjuangkan agama Allah yang ulung ini..
Salam perjuangan buat sahabat sekalian.. berdoalah supaya hendaknya Allah menetapkan istiqamah dalam jiwa ini, meneruskan perjuangan tanpa gentar dan gugup, berniatlah hanya untuk mencari keredhaannya….
Sahabatku sekalian..
Sejak beberapa bulan lalu, penulis amat tertarik untuk mengikuti senario menjelang pemilihan agung UMNO yang akan dijalankan kelak. Penulis bukanlah seorang ahli UMNO, mahupun penyokong UMNO, namun, banyak perkara yang berlaku, kadangkala mencuit hati penulis ketika membaca coretan akhbar mengenainya.
Penulis amat teruja, berkenaan dengan pencalonan penuh yang diperolehi oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang mendapat mandat untuk dicalonkan bagi kerusi Presiden Umno bagi penggal yang mendatang. Apa yang menghairankan penulis, kedudukannya seolah-olah tidak tercabar, kerana tiada pemimpin parti yang lain mampu memperoleh pencalonan yang mencukupi bagi merebut kursi presiden UMNO bagi penggal hadapan. Hal ini membuatkan penulis berasa kagum dan takjub terhadap Dato’ Seri Najib, kerana, walaupun beliau debelenggu dengan masalah-masalah dalaman parti, dan seringkali dikaitkan dengan masalah-masalah luaran, seperti komisyen pembelian kapal selam, kes pembunuhan warga Mongolia, altantuya sharibuu, pembabitan didalam kes liwat dato’ seri anwar, serta bermacam-macam masalah lagi, membuatkan penulis berasa cemburu, kerana beliau masih lagi dipilih untuk menerajui UMNO, dan seperti yang kita ketahui , barangsiapa yang menerajui UMNO, beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia secara adatnya. Mengapa begitu? Adakah Dato’ seri Najib bakal menjadi penyelamat kepada parti nasionalis itu? Atau, UMNO sudah ketandusan pemimpin? Penulis berharap jawapannya datang daripada pemikiran pembaca sendiri, wallahualam…
Seperkara lagi yang menarik perhatian penulis, berkenaan dengan kesungguhan UMNO untuk membanteras amalan politik wang didalam pemilihan parti itu sendiri. Alhamdulillah, penulis mengecap syukur, kerana komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan Umno dalam membanteras gejala politik wang yang dikhabarkan semakin menular dikalangan ahli parti mereka. Jawatankuasa tata tertib parti juga kelihatan bertungkus lumus untuk membongkar keterlebitan ahli-ahli mereka yang terbabit dengan gejala politik wang dan rasuah, seperti yang terpampang didada-dada akhbar, ahli UMNO yang didapati terlibat dengan politik wang, akan dibuang parti! Satu komitmen yang harus dipuji oleh segenap lapisan pihak.
Namun, terdapat beberapa isu yang amat menghairankan penulis. Penulis tertanya-tanya, mengapa di kalangan media massa, terma politik wang yang bisa sekali kedengaran? Mengapa media massa tidak menggunakan terma rasuah? Bukankah Politik wang dan Rasuah itu sama ertinya, sama saudaranya, sama kerabatnya? Apakah bezanya dosa rasuah dan politik wang disisi agama? Ke syurgakah atau ke nerakakah? Ke Sg buloh atau ke seri perdana?
Seterusnya, mengapa pengamal politik wang tersebut akauntabilitinya tertakluk kepada jawatankuasa disiplin parti? Mengapa ia tidak disiasat oleh badan-badan neutral seperti Badan Pencegah Rasuah secara terus? Bukankah itu lebih baik bagi menangkis amalan nepotisme dan birokrasi. Di sini penulis melahirkan kegusaran kerana khuatir, matlamat yang dilaung-laungkan oleh pucuk pimpinan parti tidak akan kesampaian, kerana dek gejala pilih kasih, dek gejala menjaga hati “teman seperjuangan”
Sukacita penulis mencadangkan kepada pucuk pimpinan UMNO, supaya melantik badan-badan bukan berajaan sebagai agensi pemantau bagi memastikan pemilihan agung UMNO dapat dijalankan dengan bersih, tulus, dan cekap, serta bebas dari ancaman korupsi.
Kami di GERAK juga menegaskan kesediaan kami, untuk menjadi badan pemerhati bagi mencapai agenda masyarakat untuk melihat pemilihan yang bersih, adil, dan saksama, serta bebas daripada amalan korupsi yang menjadi seteru agung terhadap perjuangan demokrasi.
Ke Arah Masyarakat Demokratik Dan Anti Korupsi!
Ibn Qadir
Bahagian kepimpinan dan sukarelawan,
Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (GERAK)
Malaysia
Tuntutan Integriti dan Bebas Korupsi
salam perjuangan..
selawat dan salam buat rasulullah serta keluarganya..
segunung doa buat para sahabat-sahabat rasulullah yang membina seruan kebenaran setelah wafatnya satria agung,
serta salamku keatas seluruh umat Islam, yang bermujahadah dari timbulnya matahari di timur, hinggalah tenggelamnya di barat, bekunya lautan artik itu diutara, mahupun kembarnya di lautan selatan...doaku sentiasa bersamamu dalam segala kepedihan, mahupun kegembiraan..
salam taulan, salam ramadhan, dan salam idul fitri keatas sekalian umat, sekalian mazhab, sekalian fahaman...semoga perjuangan menentang kezaliman musuh kalian yang hakiki, dapat ditamatkan dengan kejayaan jua...
saudaraku sekalian...
Ogos lalu, genaplah 51tahun kemerdekaan tanah melayu, perjuangan rakyat yang menuntut kemerdekaan daripada tangan-tangan jijik penjajah barat,mematikan nafsu rakus penjajah putih, yang telah menghirup hasil kekayaan tanah ini selama lebih 300tahun hasil daripada tipu helah dan strategi kotor mereka. Hasil daripada darah, rundingan, dan gembelingan tenaga yang tidak terhingga, akhirnya nikmat kemerdekaan itu berjaya juga dikecapi setelah sekian lama diangan-angankan.
Namun, negara ini masih gagal, malah kian gagal....masalah kemiskinan masih gagal diatasi dengan berkesan, tidak kira samada bumiputra ataupun bukan bumiputra, masalah ini masih lagi membelenggu masyarakat ini walaupun setelah lama ia merdeka.

Lebih memeritkan, dasar ekonomi baru, secara rasminya telah diisytiharkan gagal oleh pihak pemerintah pada 2005. Dasar ini, yang dilancarkan dengan megahnya pada era 70an oleh kerajaan, yang bertunjangkan memperbaiki taraf ekonomi orang melayu dan bumiputera, tumbang menyembah tanah, hangus dibakar api, hilang arah tujunya bak pengembara kesesatan..
Di mana silapnya?
Dasarnya kah?
Pemimpinnya kah?
Atau penerimanya?
Atau tulisannya?
Atau isinya?
Atau dakwatnya?
Atau retoriknya?
Di mana kepincangannya?
di bumi atau di langit?
di laut atau di darat?
pagi atau malam?
pada hemat penulis, punca utama kegagalan DEB itu sendiri adalah amalan nepotisme, birokrasi, korupsi, dan rasuah dikalangan mereka (siapa mereka? fikir2kan)...
Korupsi dan rasuah, adalah dua penyumbang penting didalam kejatuhan sesekecil kerajaan, mahupun sebesar-besar empayar.
Begitu juga empayar Byzantine, runtuh akibat ketamakan pemerintah mengaut kekayaan, mengamalkan dasar pilih kasih, dan didokongi oleh pembesar-pembesar korup.
Malah, diberitakan, Empayar agung Uthmaniyyah di Turki,
diruntuhkan oleh Kamal Attarturk dengan mudahnya, akibat daripada kealpaan sultan, bermandikan kekayaan yang melimpah ruah, dengan memakan wang yang diamanahkan oleh rakyat, untuk membina mahligai-mahligai indah, bagi memenuhi nafsu duniawi.Renungkanlah sahabatku, jika empayar sehebat itu boleh diranapkan dengan mudah akibat daripada korupsi dan rasuah, apatah lagi negara kerdil ini seperti malaysia?
Ya, cabaran hari ini lebih sukar dari hari semalam.. persaingan untuk terus maju semakin sengit, justeru, penulis percaya, faktor utama dalam resipi kejayaan sesebuah kerajaan adalah kredibiliti dan integriti sesebuah kerajaan itu sendiri. Keupayaan sesebuah negara mentadbir negara dalam unsur kritikal dengan menjamin ketelusan dan pertanggungjawaban adalah kayu ukur terhadap kemajuan sesebuah negara.Pendek kata, urus tadbir bersih (good governance) amatlah dituntut bagi membina keyakinan segenap lapisan pihak tidak kira dari barisan rakyat itu sendiri, mahupun pemodal-pemodal asing. Ini adalah satu tuntutan penting bagi menjamin kestabilan politik dan ekonomi semasa di sesebuah negara.
Namun realitinya di Malaysia, permasalahan rasuah dan korupsi telah menjadi suatu budaya tegar didalam masyarakat ini.Penulis percaya, ramai yang tidak bersetuju dengan penulis mengenai kenyataan ini...namun, disini penulis bertanyakan kepada pembaca semua, pernahkah terlintas, terdengar, atau mengalami situasi-situasi dibawah ataupun seangkatan dengannya?
Situasi 1:
Anda sedang melalui sebuah lebuhraya di ibu kota, tanpa anda sedari, anda telah memecut lebih daripada had laju yang ditetapkan...anda terus memecut, 110,120, dan akhirnya 160km sejam.. tidak lama kemudian, dalam keadaan terkejut anda terpaksa memberhentikan kereta kerana sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa dihadapan...
Perlahan-lahan anda dihampiri pegawai berkuasa tersebut...
Lans kopral A : Encik, laju ni...salah ni...encik boleh kena saman ni!
Anda: Maaflah encik, saya nak cepat nak ke tandas...dah tak tahan ni... (tipu sunat konon)
Lans kopral A: Mana boleh camni encik, ni salah ni... rm300 ni kalau encik bayar kat balai...
Anda: sorrylah encik, saya tak perasan tadi... errmm... tak boleh kurang ke encik..
Lans Kopral A: Encik boleh mintak kurang kat balai... buat rayuan...
Anda: Takkan camtu je Encik... takde care lain ke ...
Lans kopral A: Camnilah, sebab awak ni x sengaja, dan boss saya takde, awak bayar RM 50 je la,macam mana? settle?
Anda: (bingung)..........
Situasi 2
Anda seorang usahawan muda, yang baru memulakan perniagaan separa berjaya...satu hari anda terjumpa rakan sebaya anda, seorang usahawan muda seperti anda, tetapi jauh lebih berjaya daripada apa yang anda kecapi. Di sebuah restoran, anda mulakan perbualan dengannya..
Anda: pergghh....cantikla hanset ko...mahu 3ribu sebijik ni, wah, ko datang dengan BMW? aiii...jeles sungguh aku dengan ko.!!
Rakan: Biasalah beb...nak meniaga kene pandai-pandailah hidup...kena la kenal-kenal orang...
Anda: wah...nak meniaga pon kene kenal orang ke? aku pon ramai jugak kawan-kawan dekat friendster, haram tak kaya pon!(lawak murahan tak menjadi)
Rakan: Bukan friendster la.... ko ni... kenela baik dengan "orang-orang dalam" baru la senang dapat tender... masyuk wooo...bile dah dapat tu, jangan la makan sorang, kasikla "hadiah" skit lepas tu...

Anda:Bolehke macam tu ?(pura-pura bodoh)
Rakan: aiii..nak kaya hari ni kene la ada Cable...mana boleh kaya kalo buat betul-betul ikut buku...sampai mati pon tak kaya... mujola ade pak cik aku kerja kat kementerian x, senangla aku nak dapat tender...
Anda: ooooooo..... (ternganga ketamakan)
Sekiranya benar kata penulis, lihatlah, betapa meruncingnya masalah korupsi dan rasuah di negara ini. Kadangkala, situasi diatas seringkali dianggap sebagai satu "perkara biasa" didalam masyarakat kita, jauh sekali persepsi negatif terlintas difikiran..
Sedarlah, serba sedikit, ia telah mencacatkan nilai moral masyarakat kita, menghalalkan jenayah terkutuk ini bak menggali kubur generasi mendatang.
Sedarlah sahabatku, seorang bapa yang menyuap anaknya dengan makanan yang diperolehi secara haram dan tidak sah di sisi Allah, akan membawa bencana kepada anak tersebut...
Maka, tidak hairanlah mengapa krisis permasalahan sosial dan jenayah semakin meruncing.. Mungkin sebab pemakanan? Atau sumber kewangan untuk membeli makanan?
Ke arah Masyarakat anti rasuah dan korupsi!
Ibn Qadir
Bahagian kepimpinan dan sukarelawan,
Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (GERAK)
Malaysia

