Showing posts with label Seruan. Show all posts
Showing posts with label Seruan. Show all posts

One Malaysia Untuk Saya, Dan Juga Untuk Kamu!

Demi Allah, Tuhan yang telah memberi akal fikiran kepadaku supaya diterjemahkan segalanya kepada tulisan ini. .

Selawat dan salam buat Rasul Junjungan, serta doa kesejahteraan ku buat kerabat serta sahabat-sahabat baginda.

Ku panjatkan doa-doa kasih serta cinta buat sahabat-sahabat pejuang yang masih mencari -cari formula kemenangan abadi.Moga segala kekuatan dan kehebatan akan bersama kamu.

Assalamualaikum dan Salam Perjuangan..


"ONE MALAYSIA"


Ianya slogan keramat, Ianya slogan baru, namun ideanya lama.Lebih menarik, ianya motto utama Perdana Menteri Malaysia yang baru menaiki takhta.

Soal slogan bagi seseorang pemimpin adalah dikira sebagai perkara yang amat normal atas dasar mahu menarik keyakinan rakyat yang mahu diterajuinya. Ia tiada bezanya jika dibandingkan dengan slogan "we believe in change" dari Barrack Obama, mahupun "Harapan Baru buat Malaysia" dari Anwar Ibrahim, sedangkan ianya serupa, namun intipatinya mungkin berbeda.

ONE MALAYSIA, atau dalam erti bahasa kebangsaanya "SATU MALAYSIA" adalah difikirkan sebagai satu cita-cita mulia, ataupun sebuah senjata propaganda terbaik untuk meraih keyakinan masyarakat madani di bumi bertuah ini. Timbul juga persoalan segar dibenak fikiran penulis, apakah Malaysia ini tidak pernah menjadi sebuahPersekutuan? sedangkan kesatuan ini sudah berdiri teguh sejak berpuluh tahun yang lalu. Tidakkah seharusnya kita sudah menjadi satu?




Persekutuan Malaysia dibentuk melalui berkat ilham Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, yang pada mulanya atas dasar mahu mengimbangi populasi Melayu dan bukan melayu. Atas sebab itu, Sabah dan Sarawak amatlah diperlukan dalam keanggotaan persekutuan ini, maka lahirlah terma Bumiputra bagi mengharmonikan Kaum-kaum asal yang lain dengan Kaum melayu. Walaupun Malaysia menempuh pelbagai halangan di awal kelahirannya, termasuk gerakan konfrontasi dari pihak Indonesia mahupun ancaman daripada negara Filipina, Malaysia akhirnya tetap selamat dibentuk menjadi sebuah persekutuan yang berdaulat.

Tetapi, adakah kita masih tidak menjadi satu?

Malangnya, persekutuan ini hanyalah bersifat fizikal dan lahiriah, bukannya bersifat rohaniah. Ianya bagai hanya mempunyai susuk tubuh badan, tetapi tiada roh sebagai tunjangnya. Penulisan ini menyorot kembali tentang peristiwa 13 Mei 1969, dimana pertumpahan darah berlaku diantara Melayu dan Cina sehingga mencetus darurat. MAGERAN telah dibentuk,dan dikenal pasti ianya adalah disebabkan ketidaksamaan taraf ekonomi antara kaum, maka lahirlah Dasar Ekonomi Baru sebagai ubatnya.Namun, sejarah telah membuktikan dasar ini tidak berjaya menjadi azimat untuk menyatu padukan kaum yang sedang bergelut dengan bayang-bayangnya sendiri. Tidakkah kita lupa peristiwa di Jalan Klang Lama? Kenyataan ini terus menyatakan bahawa jiwa-jiwa rakyat ini masih lagi tidak bersatu, malah masih dibelenggu rasa jijik, sangsi, dan dendam diantara satu sama lain.



Realitinya, Malaysia ini tidaklah sama seperti Soviet Union, walaupun negara soviet itu terdiri daripada pelbagai etnik mahupun kaum, tetapi mereka berkongsi Ideologi, maka kukuhlah semangat perpaduan diantara mereka. Tidak pula boleh disamakan dengan Jepun, negara satu bahasa, satu bangsa, satu agama, satu budaya. Jauh sekali jika mahu disamakan dengan Indonesia sedangkan negara itu memaksa rakyatnya menjadi satu, sehingga nama yang tidak selari dengan keindonesiaan akan diindonesiakan. Atas alasan itu, Malaysia ini berbeda, kadangkala dilihat sebagai terlampau demokratik, sehingga wujud kelonggaran dalam gerakan toleransi bangsa. Sesungguhnya Malaysia ini rapuh, tiada ideologi mendokong, tiada tiang menyokong, maka ada sahaja yang menggoyang, kadangkala bak belah menanti rebah.

Adalah kiranya, terlintas juga agenda "One Malaysia" ini seolah-olah senada dengan seruan yang dibawa oleh parti tindakan rakyat (PAP) sebelum perpecahan Malaysia-Singapura di era 60-an dahulu. Seruan mereka "MALAYSIA FOR MALAYSIAN" telah ditolak mentah oleh kepimpinan Negara di Kuala Lumpur yang seterusnya telah membawa kepada perpisahan Singapura dari Malaysia. Lantaran itu, Singapura telah menjadi sebuah negara merdeka.



"One Malaysia" ini juga seolah-olah senada dengan cadangan Dato' Onn bagi membuka keahlian UMNO kepada seluruh kaum di Tanah Melayu pada zamannya, namun ia telah ditolak mentah-mentah oleh ahli-ahli parti yang diasaskannya sendiri, membawa kepada keluarnya beliau daripada UMNO.

Bahkan, kiranya slogan ini turut sama artinya dengan lunas-lunas Perlembagaan Rakyat yang telah dibawa oleh AMCJA-PUTERA sebagai alternatif kepada perlembagaan Persekutuan yang dibawa oleh UMNO dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dahulu. Konsep "One Malaysia" ini dapat dilihat dari perspektif konstitusi terbabit apabila, seluruh rakyat Malaysia akan dikira sebagai Melayu tanpa mengira warna kulit atau keturunan. Maka atas keabsahan itu, akan lahirlah masyarakat yang satu bangsanya, tetapi kaya variasinya. Perlembagaan Rakyat ini telah dipersetui oleh semua bangsa termasuk oleh Tan Cheng Lock sendiri. Tetapi pihak British dan UMNO pada ketika itu telah menolak sementah-mentahnya, malahan melancarkan penangkapan kepada mereka yang bertanggungjawab atas Konstitusi Rakyat dengan alasan mahu menghapus gerakan Komunisme.

Maka rasionallah pada akal penulis, yang menjadi duri dalam daging didalam penyatuan antara kita bukanlah dari sudut persempadanan fizikal, tetapi politik yang berasaskan pendekatan Rasisme.



Buktinya lihatlah, sudah lebih 50tahun rakyat negara ini diacu dengan politik rasisme. Tidak asingkah kita mendengar parti-parti politik ini memperjuangkan hak hanya atas nama kaum masing-masing tetapi bukanlah untuk kepentingan Nasional?. Inilah yang dikata sebagai penjajahan moden dimana kuasa-kuasa besar mahu negara ini mengekalkan rangkaian pemikiran terjajah bagi mengelak kesatuan baru yang mampu menggugat mereka. Masihkah kita ingat pada dasar pecah perintah yang dianjurkan oleh British seabad yang lalu? Melayu itu letaknya di pekan-pekan nelayan, yang India itu letaknya di estate-estate getah, dan yang cina itu letaknya di kotaraya. Bukankah kita sedang menuruti telahan dan ajaran yang dianjurkan mereka, sedangkan sudah lebih 50tahun kita dimerdekakan?

Pada hemat penulis, politik dangkal dan cetek ini seharusnya diganti dengan pemikiran yang baru. Sesungguhnya iltizam "One Malaysia" itu bukanlah sesuatu yang mustahil, sekiranya ia diberi perhatian yang bersungguh-sungguh oleh setiap pihak bagi menangkis penyakit perkauman yang semakin membarah ini. Sedangkan sebuah kampung tidaklah boleh dibina jika tiada kesatuan, apatah lagi sebuah negara yang cukup kompleks seperti Malaysia.

Janganlah iltizam ini hanya tinggal sekadar slogan, seperti slogan-slogan lapuk yang lain - "dadah musuh No 1 Negara", "Mesra, Cepat dan betul" atau "saya anti Rasuah". Ia seharusnya difahami dan dihayati dengan semangat berintikan kesepekatan bersama, bukannya digunakan bagi memenangi kepentingan politik kangkung semata-mata.

Dikesempatan ini saya menyeru penyatuan buat seluruh anak bangsa, tidak mengira agama atau kepercayaan diatas semnagat untuk membina negara ini dengan penuh tulus dan tanggungjawab. Bersatulah atas norma-norma ideologi yang dianjurkan Islam, bukan hanya kerna syahadahnya, tetapi lunas-lunas humanitarian yang telah dianjurkan olehnya.

Maka Misi "One Malaysia" ini tidaklah semustahil namanya.



Dan saya berbangga, kerana saya anak Bangsa Malaysia!


Ibn Qadir
www.seruankebangkitan.blogspot.com

let us make a comparison, shall we?

we have heard the Palestinian side of story, as we can see from the images below:












now let see the other side of story as well, shall we?

the carnage, the destruction, the the annihilation, the sorrow, the pain, resulted from Qassam rockets launched by Hamas...












It seems the United Nations security council never get wiser to me...

Dont you think the same??




Ibn Qadir

For Gaza!





Kalau orang Feringghi pon boleh terpekik-pekik membela orang palestin, kita yang berkongsi syahadah ni, bile lagik???!!!!!

Lemahnya Semangat Anti Korupsi kita.. Salah siapa???


Dengan Nama Allah satu-satunya tuhanku, Izinkanlah aku meninta...

Bismillahirrahmannirrahim...


Tidak lama dahulu, satu kajian mengenai isu korupsi telah dilakukan terhadap penuntut-penuntut di institusi pengajian tinggi di seluruh negara oleh Institut Integriti Malaysia. Kajian ini dilakukan untuk menilai sejauh mana kepekaan dan kesedaran tentang isu korupsi dikalangan mahasiswa mutakhir ini.




Apa yang amat mengejutkan, dan tidak kurang pula mengecewakan, hasil daripada kajian tersebut, didapati 40% daripada golongan mahasiswa sanggup menerima rasuah dan mengamalkan korupsi di tempat kerja mereka kelak. Hal ini ternyata membimbangkan dan sedikit sebanyak telah membuka mata penulis bahawa betapa melemahnya semangat membenci apatah lagi menentang korupsi dikalangan generasi muda hari ini.

Perlu diingatkan, tinjauan rambang tersebut dilakukan keatas golongan mahasiswa, yang sepatutnya dianggap kumpulan masyarakat yang mempunyai tahap kependidikan yang tinggi, justeru seharusnya memiliki kesedaran sivik dan akhlak yang lebih baik daripada lapisan masyarakat yang lain.

Mengapa kelumpuhan nilai moral ini tetap berlaku dimana ia seharusnya dinafikan oleh kesedaran pendidikan???

Apakah sistem pendidikan negara ini sudah gagal, sehingga mencipta sekelumit generasi yang bakal membangsatkan harta rakyat?


Fikiran penulis yang kecelaruan, dan kehairanan membuatkan mata ini sukar dilelapkan, tatkala pedih mengenangkan keputusan kajian tersebut.

Rontaan fikrah muda ini tidak semena-mena membawa kepada penelitian semula zaman kanak-kanaknya.Zaman kanak-kanak generasi 70an dan 80an yang diindahi dengan warna-warna kehidupan yang pelbagai. Manakan tidak, pada ketika itu negara ini sedang berpadu, sedang melangkah hebat membangun, ekonomi negara kian gagah, seolah-olah melupakan segala kesengsaraan yang telah diharungi oleh negara muda ini.

Proses modernasisasi begitu rancak berlaku pada ketika itu, pendapatan isi rumah rakyat kian meningkat, taraf kehidupan bertambah baik.Namun apa yang uniknya, ajaran-ajaran agama dan moral masih lagi tidak dilapokkan oleh ibu bapa pada ketika itu.

Maka selalulah kita sebagai anak mendengar leteran ibu bapa kita seperti :

"Apis, jangan mencuri, itu adalah kecurangan besar disisi agama"

Ataupun,

"Apis, sesungguhnya berbohong itu salah, berdosa, nanti tuhan marah"

Paling tidak pun,

"Apis, tak baik cakap "aku", berdosa, nanti jadi paku!!"


Tapi pernah atau tidak kita dengar ibu bapa kita berkata begini, atau mungkin sekali jarang kedengaran lafaznya begini :


"Apis, dah besar nanti, jangan jadi kaki makan rasuah, jangan salah guna kuasa yang Allah amanahkan kat kita, nanti masuk neraka jahanam! Berkawanlah kamu dengan syaitan laknatullah!!"

Penulis kira, tentu pembaca sekalian kehairanan. Mungkin sekali ada diantara kamu semua yang berasakan saranan tersebut tiada logikanya, apatah lagi jika ianya harus disampaikan pada kanak-kanak tahun 1 yang baru sahaja menjejaki alam persekolahan yang penuh berliku.

Namun sedikit provokasi yang penulis ingin timbulkan:

Adakah seorang kanak-kanak dapat memahami konsep mencuri dengan tiadanya didikan ibu bapanya?

Bagaimana pula dengan Konsep Tauhid? Konsep ketuhanan, konsep syurga dan neraka? konsep dosa dan pahala? Mengapa seorang anak kecil itu mampu memahami satu falsafah yang tidak tercapai akalnya, yang ghaib dimata mereka tetapi tahu pula mereka berhujah:

"tak baik melakukan perkara ini, nanti tuhan marah, tuhan kasi dosa kat kita, tuhan akan humban kita dalam neraka kalau dosa kita banyak setinngi gunung.."

Maka rakan si kecil itu bisa sahaja akan bertanya:

"siapa yang kata begitu?"

Lalu akan pantas sahaja dia menjawab:

"ayahku/Abiku/Abahku/Papaku/Bondaku/Ibuku/mamaku/cikguku/Ustazku/Ustazahku yang kata!..."

Kebiasaannya si penanya akan tertunduk dan diam membisu tanda setuju.

Mari sama-sama kita renungkan kembali frasa diatas.... "Ayahku yang berkata begitu"...


Masyaallah, itulah kurniaan Allah terhadap autoriti yang mampu diwartakan oleh golongan Ibu bapa dan para pendidik! Apa sahaja yang dikatakan oleh mereka, mentah-mentah akan ditelan oleh kanak-kanak yang belum mencapai kematangan.

Apa yang diperkatakan oleh penulis diatas, menunjukkan betapa pentingnya pendidikan awal tentang sentimen anti korupsi dan rasuah diterapkan kepada golongan anak-anak yang masih didalam era ketidakmatangan. Seharusnya budaya keibubapaan dan pendidikan di bangku sekolah wajar digubal bagi membendung masalah korupsi sejagat demi melahirkan pemimpin yang berkredibiti, amanah, dan cekap menguruskan khazanah negara yang diwarisi turun temurun oleh generasi terdahulu.


Namun, jangan pula kita terus menunding jari melaungkan kesalahan ibu bapa kita, mengatakan merekalah penanggung dosa hakiki menyebabkan diri ini rela memakan harta rasuah!. Harus diingat, pada zaman mereka, tidaklah wujud acara memakan duit rakyat, acara menabur harta kepada kroni, atau memperkayakan diri melalui saman-saman trafik!, jika adanya sekalipun, mungkin hanya sekelumit kecil sahaja yang melakukan sedemikian, sehingga masyarakat dan pihak berkuasa tidak terperasan kewujudannya!.

Apa yang wajib dilakukan oleh kita semua, bakal ibu bapa, mahupun yang telah mempunyai keluarga, didiklah anak-anak kita dengan sifat anti korupsi yang mendalam sejak daripada mereka didalam kandungan lagi disamping ilmu-ilmu agama dan moral yang lain. Perlu ditegaskan, janganlah kita mengambil mudah tentang isu ini. Tidakkah kita rela melihat anak kita diheret ke neraka dunia mahupun di akhirat, lantaran keterlanjuran ketamakan harta dan kemewahan? Sudah tentu tidak!! Justeru itu, revolusi budaya pendidikan ini harus menjadi satu kewajipan yang sahih dan sah! Bukankah begitu??


"apis, dah besar nanti jangan makan rasuah, jangan tipu orang, jangan tak amanah dengan kerja yang masyarakat telah pertanggungjawapkan kepada kita. Nanti Allah humban kamu ke dalam neraka bersama-sama iblis!"


Harapnya revolusi seruan itu dapat kudengar pada hari esok.........




Wallahualam...


Kearah Masyarakat Demokrasi Islam dan Anti Korupsi,




Hafidz Hakimi Bin Haron (Ibn Qadir)
Exco,
Bahagian Kepimpinan dan Sukarelawan
Gerakan Rakyat Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) Mahasiswa
Malaysia.

Blog Menghina Rasulullah : Penyiasatan yang lebih terperinci wajar disegerakan!

Wahai Tuhanku, Izinkanlah aku meninta demi menegakkan Agamamu yang kian diselaputi dengan penghinaan... ......................................................................................................................................................................



Sudah tamat episod “kangaroo” kes Lina Joy dan Aishah Bukhari, kini Islam sekali lagi menjadi medan serangan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawaban. Cuma ceritanya sedikit berbeda, bukan lagi Isu murtad, namun kegiatan yang boleh dikatakan lebih subersif dan lebih skeptikal, iaitu penulisan yang bertujuan menghina junjungan kita, Rasulullah sallalahualaihiwasallam…


Ya, memang benar, ini bukanlah sebuah episod baru.Memang ada sahaja anasir-anasir yang buta hati perutnya sentiasa ingin menjatuhkan nilai kredibiliti junjungan besar kita.Propaganda ini telah langsung dimulakan sejak hari-hari kehidupan Nabi Muhammad itu lagi, dan apa yang pasti, bapa kepada segala penghina Rasulullah ialah bapa saudara baginda sendiri, Abu Lahab. Masyurnya Abu Lahab itu sebagai penghina kekasih Allah sehingga diturunkan oleh Ilahi dengan surah khusus bagi menghina kembali bapa saudara Rasulullah itu :

“Maka celakalah Abu Lahab….”

Namun, tohmahan yang dilemparkan oleh Allah terhadap Abu Lahab ini seolah-olah disepikan oleh segolongan manusia. Ironinya, lebih ramai “anak, cucu-cicit” Abu Lahab meniru tindakan seperti orang tuanya.


Lihatlah orientalis seperti Jimmy Sweggart, yang menghina Rasulullah sebagai seorang phidophelia dan seorang penagih seksualiti, begitu juga dengan karikatur yang dilukis oleh seorang kartunis terkemuka di Denmark, bermaksud untuk menghina Nabi Muhammad sallalahualaihiwassalam, mengundang tunjuk perasaan oleh Umat Islam seluruh dunia, selain membawa kepada pemboikotan barangan buatan Denmark di beberapa buah negara Islam.


Namun, benih si Abu Lahab nampaknya kian subur, kian mekar… Jika dahulu, kita hanya boleh mendengar segala cacian dan perlekehan sumbang keatas baginda datangnya daripada puak orientalis yang bukanlah seorang Muslim, namun apa yang mengejutkan, kali ini ia didakwa didokongi oleh seorang Melayu!

Ya, Melayu.. !!


Jika diturutkan konotasi daripada Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Melayu itu adalah seorang yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, dan mengamalkan cara hidup melayu. Cuba kita lihat sekali lagi sahabat? Seorang Muslim?? Masyaallah wa Nauzubillah…

Nampaknya benih kita kian dicemari. Dirosakkan oleh dokongan ideologi sekular yang kian menjahanamkan bangsa dan agama kita. Lihatlah di sekeliling kita, berapa ramai yang kononnya menjadi seorang pemikir bebas atau lebih dikenali sebagai “free thinker”?. Berapa ramai yang kelihatan begitu berani mencabar fatwa berkenaan dengan isu Yoga? Berapa Ramai diantara kita yang begitu lantang mempersendakan golongan Ulama’ muktabar?


Maka Benarlah Sabda Rasulullah, Umat akhir zaman itu sudah tidak lagi menghormati para ilmuwan dan ulama'...


Namun itulah kenyataan, itulah hakikat yang cukup memeritkan. Apabila seorang Melayu yang telah dimuliakan oleh sinar Islam, dimana sejurus lahirnya dari kandungan diperdengarkan seruan azan, mencabar kekasih Tuhannya dan juga Penciptanya…

Realitinya, bukan hanya sebuah laman blog dan secebis artikel di laman sesawang yang diltulis demi menghina kekasih Allah. Malahan kiranya,terdapat beratus-ratus lagi laman seumpamanya yang tumbuh bak cendawan selepas hujan dewasa kini.


Kadangkala terlintas juga kehairanan didalam sanubari penulis. Kenapa hanya kini baharulah hal sebegini mahu diketengahkan? Kenapa kini baru mahu dibawa campur tangan Pak Menteri? Kenapa hanya secebis artikel yang dijumpai?




……..Di mana pula Ayah Pin pemimpin kerajaan langit bertugukan teko??.......(menyorok dalam teko??)


Apapun, secara peribadi, penulis tetap meghargai ketegasan dan keseriusan yang diambil oleh pihak pemerintah bagi menangani isu mutakhir ini. Alhamdulillah… dan penulis tetap akan berada dibelakang pihak pemerintah dalam apa jua usaha bagi menegakkan agama Islam , Insyaallah…

Namun besar harapan penulis, harapnya isu ini tidaklah “diangkat” hanya kerana tujuan politik semata-mata. Biarlah ia dilakukan dengan nama Allah yang maha agung. Jangalah hanya kerana mahu menunjukkan imej bersih kerana pilihanraya yang berdekatan, kesungguhan menegakkan agama itu datang mencurah –curah. Janganlah kerana hanya mahu menyaingi parti berbinkan Islam, maka pihak pemerintah juga mahu menunjukkan “keislamannya” .




Sahabatku,

Ini soal agama, ini soal Islam.. bersatulah dalam menegakkannya.., mungkin perbezaan ideologi dan pemikiran itu harus diketepikan sebentar, demi kesatuan dalam berjuang diatas agama Islam yang tercinta!



Ya Allah,
Selamatkanlah Agamamu,
Satukanlah Hati kami Umat Muhammad,
Dalam menuntut keadilan yang semakin tidak pasti,
Bukakanlah pintu hidayah buat mereka yang kesesatan mencari Arti…



Aku hanya mahu syahadah terpelihara jua,


Ibn Qadir

Ahli PKPIM

Gaza dibedil Lagi! - Darahku Membara Dengan Jihad!


"Ya Allah, Bantulah pejuang-pejuang agama mu di Palestin!

Bimbinglah mereka seperti para syuhada’ yang gagah menegakkan Agamamu!

Goncangkanlah Segala perancangan musuh-musuh kami!

Kurniakanlah kekuatan Tentera Ilahi seperti yang kau lakukan pada Syuhada’ yang terdahulu!

Selamatkanlah Palestin Wahai Tuhanku yang Maha agung!

Bekalkanlah mereka dengan semangat jihad yang tiada taranya!

Kurniakanlah Kemenangan Kepada Mereka!"






2 hari selepas memperingati Maulud Nabi Isa Alahissalam, Semenanjung Gaza sekali lagi menjadi medan pertumpahan darah penduduk Palestin.

Serangan udara yang dilancarkan oleh pihak Rejim zionis yang telah menelan 200 jiwa penduduk yang tidak berdosa kononnya sebagai satu tindakan serangan balas terhadap pergerakan Hamas diatas serangan roket yang dilancarkan keatas selatan Israel yang lalu.

Ya, alasannya mudah, bagi menghapus pengganas, dalam erti kata mereka adalah pergerakan Hamas. Washington pula seperti biasa, terus berlembut, kadang-kadang menutup mata. Negara Islam yang lain pula membisu, seperti hilang kejantanannya. Majlis Keselamatan PBB pula seperti boneka, menari mengikut rentak dendangan zionis dan sekutu- sekutunya. Tapi benarkah sasaran mereka adalah pergerakan Hamas semata-mata?? Mari kita tinjau apa kata New York Times :


"A military operation against Hamas, the militant group that controls Gaza, had been forecast and demanded by Israeli officials for weeks, ever since a rocky cease-fire between Israel and Hamas broke down completely in early November and rocket attacks began in large numbers against Israel. Still, there was a shocking quality to Saturday’s attacks, in broad daylight on about 100 sites, as police cadets were graduating, women were shopping at the outdoor market and children were emerging from school."

“The center of Gaza City instantly became a scene of chaotic horror, with rubble everywhere, sirens wailing, and women shrieking as dozens of mutilated bodies were laid out on the pavement and in the lobby of Shifa Hospital so that family members could identify them. The vast majority of those killed were Hamas police officers and security men, including two senior commanders, but the dead included several construction workers and at least two children in school uniforms.”

Nampaknya Rejim berhati syaitan ini sudah menganggap kanak-kanak Palestin sebagai pengganas? Bagaimana pula dengan anak-anak mereka? Malaikatkah ?

Apakah malang nasib penduduk Gaza? Sudahlah bantuan kemanusiaan disekat kerana penutupan sempadan, kini dibedil pula oleh Jet-jet puak Zionis? Bak kata orang-orang tua kita, Sudah jatuh ditimpa tangga!


Memang dasar pengecut, hanya tahu serang dari udara! Turunlah ke tanah! Kita lihat siapa pejuang sebenar! Allahuakbar!!!

Apa Pula kata pemimpin kita? Adakah sekadar berdiam diri? Atau sekadar mengeluarkan kecaman yang langsung tidak berbisa?


Sudahlah sahabat, tinggalkanlah program realiti Tv yang mengkhayalkan, tinggalkanlah acara rempit hujung minggu yang merosakkan, tinggalkanlah acara berfoya-foya di kelab-kelab malam dan pusat-pusat Karaoke yang menjelekkan! Aku merayu, Bangunlah semua! Sampai bila harus kita pejamkan mata??

Tidak berasa berdosakah kita dikala saudara kita meratap kematian keluarga mereka, kita disini sebok dengan persiapan parti menyambut tahun baru???


Ini soal jiwa! Ini soal Kedaulatan! Ini soal Islam!


Bangkitlah Semua! Hulurkan Bantuan, Hulurkan sokongan! Walau Hanya dengan sepotong Doa!

......Atau mungkin setelah jutaan gelen darah mengalir dibumi Palestin, baharulah kamu mahu membuka mata???



Darahku Membara Dengan Jihad!
Ibn Qadir

Secebis memori dari Teater Bilik Sulit (Anti - ISA!)





Salam juang!

Imej-imej diatas baru sahaja diperolehi daripada seorang rakan tentang pementasan teater bilik sulit yang lalu.

Tahniah kepada sidang produksi! Harapnya lebih banyak teater sebegini dapat dianjurkan..

Kearah Masyarakat Bebas ISA!


Ibn Qadir

Ulang Tahun yang Terlepas Pandang!


assalamualaikum warahmatullah...

sedar atau tidak, blog ini telah menyambut ulang tahun yang pertamanya pada 11 oktober yang lalu.. Masyaallah... terus terang penulis tidak menyedari hakikat tersebut sehingga sebentar tadi...

Lantaran itu, penulis membuat sedikit perubahan pada layout blog ini, atas tindakan maklum balas pembaca setia . Alhamdulillah, harapnya dengan sedikit perubahan yang dilakukan, dapat mempertingkatkan lagi kepuasan pembacaan teman-teman sekalian.

Di kesempatan ini, penulis juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih diatas sokongan dan dorongan yang diberikan oleh anda semua, semoga Allah menjamin kejayaan dan kebahagiaan hidup kamu di dunia dan akhirat!..

Penulis juga disini memohon seribu satu kemaafan jika ada terkasar bicara dan sebagainya, sesungguhnya segala kelemahan datang daripada diri penulis sendiri, segala kelebihan datangnya dari Allah swt.

Teruskan teguran, nasihat, kritikan dan dorongan anda kepada penulis, harapnya dengan segala itu, dapatlah penulis memajukan diri ini.. Insyaallah...

Teruskan Perjuangan!

Salam juang dan Salam Kebangkitan


Ibn Qadir

Kuasa Rakyat!!!

Assalamualaikum warah matullah…

Selawat dan salam buat junjungan besar, Muhammad sallallah hualaihi wassallam, serta sekalung doa buat sahabat-sahabat baginda, pejuang yang sebenar-benar pejuang, pembawa kepada gerakan demokrasi Islam, pembawa gelombang tawhid ke sekalian pelusuk bumi Allah..

Malamnya bagai rahib merintis sayu,
Dihiris dosa air mata,
Siangnya bagaikan singa di rimba,
Memerah keringat,
Mencurah tenaga..
Itulah sunnah orang berjuang…

(petikan lagu : sunnah orang berjuang, Hijjaz)



Seketika tadi, fikiran penulis melayang, lantaran memikirkan , adakah benar sejarah itu bak roda? Pusingannya tidak terhenti, sekejap dia atas, sekejap di bawah?


Fikiran ini telah membawa penulis terbang ke zaman permulaan pembentukan empayar Rom, di mana pada asalnya dibina atas asas perpaduan rakyat, dilahirkan sebagai republic yang bebas merdeka, republik yang berdaulat, di mana prinsip demokrasi mula-mula diperjuangkan sebagai sebuah idea bebas, mengikut lunas-lunas hak asasi manusia. Namun Rom yang dikenali telah berubah wataknya, menjadi sebuah Negara diktator, bukan lagi Negara proletariat, bukan lagi Negara rakyat. Kaisar yang dilantik menghancurkan amanah rakyat, terus tamak menjajah Negara-negara kecil, menghenyak Negara-negara lemah. Akhirnya membawa kepada perpecahan empayar Rom, seterusnya melenyapkan tamadun yang telah terbina ratusan tahun itu, kerana kuasa itu bukan di tangan rakyat tapi ditangan maharaja-maharaja yang hanya mementingkan kepuasan nafsu sendiri.

Kemudian, fikiran ini terbawa kepada Revolusi Perancis – Bapa segala revolusi moden. Ya, ia berlaku pada abad ke 16, pada tahun 1789-1799. Pendek kata, revolusi ini berlaku kerana ketidak puashatian rakyat kepada sistem tadbir urus Negara itu sendiri, di mana, rakyat sudah begitu membenci Raja Louis XVI yang boros, membelanjakan wang rakyat demi kepentingan peribadi, lantaran membiarkan rakyat terus tersepit dihinjak wabak penyakit dan kemiskinan. Apa kesannya? –Kemarahan.


Sakit itu telah menjadi dendam, rakyat bangkit, menyembelih sekalian keluarga di raja, menghukum sekalian bangsawan menggunakan Gilloutine, memancung siapa sahaja yang setia kepada monarki. Maka tidak salah jika penulis katakan, revolusi Perancis adalah revolusi rakyat pertama berkiblatkan fahaman sekular.—revolusi berdarah.

Kebangkitan Rakyat di Perancis terus membawa kesan perubahan politik bukan sahaja di eropah, malahan ke seluruh dunia, lihatlah betapa jayanya ia dipromosikan. Sehingga membawa kepada revolusi Inggeris, serta Revolusi rakyat oleh parti-parti komunis di Russia, China, dan Negara- Negara Amerika latin. Malahan, Idea revolusi ini juga telah serba sedikit menyusup masuk ke Negara-negara Islam, misalnya revolusi Islam di Iran pada era 70 an pimpinan Imam Khomeini. Satu gerakan rakyat yang telah menumbangkan monarki terkuat ketika itu, hasil daripada kesedaran Islam dan kebencian terhadap pentadbiran Shah Reza Pehlavi, Syah Iran yang terakhir.


Penulis percaya, revolusi-revolusi pemikiran dan politik sentiasa berlaku, walaupun hingga ke hari tua ini. Pada sudut pandang penulis, kemenagan Obama dalam pilihanraya Presiden di US itu adalah satu revolusi, revolusi yang menuntut kesamaan hak, tidak kira warna kulit, agama atau kaum. Tidak keterlaluan jika penulis mengandaikan perkara ini adalah salah mustahil untuk dibayangkan pada 40 tahun yang lampau. Namun hari ini, Nah! Ini dia coloured President pertama untuk Amerika.

Bagai satu wabak, revolusi ini terus merebak ke merata pelusuk dunia. Paling menarik perhatian penulis berkenaan dengan kejayaan Rakyat menumbangkan Kerajaan proksi Thaksin di Thailand baru-baru ini. Penulis memandang situasi tersebut sebagai unik, kerana, Thailand terkenal dengan pengaruh Raja dan angkatan tenteranya. Ada sahaja kepincangan atau penyelewengan dalam Kerajaan pemerintah, Tentera akan bingkas bangun merampas kuasa, darurat akan diisytihar, pilihanraya baru akan dibuat, Kerajaan baru akan di bentuk.



Namun, apa yang membuatkan penulis berasa takjub, terdapat sedikit anjakan perubahan politik di Thailand di dalam suasana yang lebih matang telah berlaku. Di kala kekalutan di Bangkok, di mana rakyat telah mengepung bangunan-bangunan pentadbiran, seterusnya menduduki lapangan terbang utama di Thailand, pihak tentera mengambil sikap berdiam diri, seolah-olah merestui kebangkitan rakyat di Thailand. Protes ini walau pada mulanya di pandang remeh, namun lihatlah gelombangnya, Berjaya melumpuhkan pentadbiran Kerajaan memerintah, membawa kepada perlucutan kuasa perdana menteri, serta pengharaman 3 parti proksi thaksin di Thailand. – INILAH KUASA RAKYAT!

Sekilas pandang di Malaysia, penulis melahirkan rasa sedih, kerana rakyat di Negara ini masih kurang kesedaran hak dan politiknya. Usah diharapkan kutu-kutu jalanan, malahan golongan mahasiswa itu sendiri kelihatan tumpul semangat juangnya. Sedarlah sahabat, masih wujud undang-undang zalim tanpa bicara, masih wujud kawad berduri mengikat kita untuk bersuara, masih wujud penyelewengan wang Negara, masih wujud agenda kejam menodai agama Allah.. Bangunlah sahabat, ia bukan untuk kita, tapi demi masa depan anak-anak kita! Ini bukanlah sebuah provokasi, tetapi hanya kepercayaan kepada kuasa rakyat dan demokrasi!


Apakah revolusi perancis itu akan berlaku di timur?

Fikir-fikir kanlah…


Ibn Qadir

Juang Menentang Korupsi : Realiti atau Fantasi?

Asslamualaikum warahmatullah…

Selawat dan salam buat rasullullah sallallahualaihiwassaallam, marilah sama-sama kita panjatkan doa kesejahteraan buat sahabat-sahabat serta kaum kerabat baginda, semoga roh mereka ditempatkan bersama para-para anbiya’ yang banyak bekorban demi memperjuangkan agama Allah yang ulung ini..

Salam perjuangan buat sahabat sekalian.. berdoalah supaya hendaknya Allah menetapkan istiqamah dalam jiwa ini, meneruskan perjuangan tanpa gentar dan gugup, berniatlah hanya untuk mencari keredhaannya….


Sahabatku sekalian..

Sejak beberapa bulan lalu, penulis amat tertarik untuk mengikuti senario menjelang pemilihan agung UMNO yang akan dijalankan kelak. Penulis bukanlah seorang ahli UMNO, mahupun penyokong UMNO, namun, banyak perkara yang berlaku, kadangkala mencuit hati penulis ketika membaca coretan akhbar mengenainya.

Penulis amat teruja, berkenaan dengan pencalonan penuh yang diperolehi oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang mendapat mandat untuk dicalonkan bagi kerusi Presiden Umno bagi penggal yang mendatang. Apa yang menghairankan penulis, kedudukannya seolah-olah tidak tercabar, kerana tiada pemimpin parti yang lain mampu memperoleh pencalonan yang mencukupi bagi merebut kursi presiden UMNO bagi penggal hadapan. Hal ini membuatkan penulis berasa kagum dan takjub terhadap Dato’ Seri Najib, kerana, walaupun beliau debelenggu dengan masalah-masalah dalaman parti, dan seringkali dikaitkan dengan masalah-masalah luaran, seperti komisyen pembelian kapal selam, kes pembunuhan warga Mongolia, altantuya sharibuu, pembabitan didalam kes liwat dato’ seri anwar, serta bermacam-macam masalah lagi, membuatkan penulis berasa cemburu, kerana beliau masih lagi dipilih untuk menerajui UMNO, dan seperti yang kita ketahui , barangsiapa yang menerajui UMNO, beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia secara adatnya. Mengapa begitu? Adakah Dato’ seri Najib bakal menjadi penyelamat kepada parti nasionalis itu? Atau, UMNO sudah ketandusan pemimpin? Penulis berharap jawapannya datang daripada pemikiran pembaca sendiri, wallahualam…



Seperkara lagi yang menarik perhatian penulis, berkenaan dengan kesungguhan UMNO untuk membanteras amalan politik wang didalam pemilihan parti itu sendiri. Alhamdulillah, penulis mengecap syukur, kerana komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan Umno dalam membanteras gejala politik wang yang dikhabarkan semakin menular dikalangan ahli parti mereka. Jawatankuasa tata tertib parti juga kelihatan bertungkus lumus untuk membongkar keterlebitan ahli-ahli mereka yang terbabit dengan gejala politik wang dan rasuah, seperti yang terpampang didada-dada akhbar, ahli UMNO yang didapati terlibat dengan politik wang, akan dibuang parti! Satu komitmen yang harus dipuji oleh segenap lapisan pihak.



Namun, terdapat beberapa isu yang amat menghairankan penulis. Penulis tertanya-tanya, mengapa di kalangan media massa, terma politik wang yang bisa sekali kedengaran? Mengapa media massa tidak menggunakan terma rasuah? Bukankah Politik wang dan Rasuah itu sama ertinya, sama saudaranya, sama kerabatnya? Apakah bezanya dosa rasuah dan politik wang disisi agama? Ke syurgakah atau ke nerakakah? Ke Sg buloh atau ke seri perdana?

Seterusnya, mengapa pengamal politik wang tersebut akauntabilitinya tertakluk kepada jawatankuasa disiplin parti? Mengapa ia tidak disiasat oleh badan-badan neutral seperti Badan Pencegah Rasuah secara terus? Bukankah itu lebih baik bagi menangkis amalan nepotisme dan birokrasi. Di sini penulis melahirkan kegusaran kerana khuatir, matlamat yang dilaung-laungkan oleh pucuk pimpinan parti tidak akan kesampaian, kerana dek gejala pilih kasih, dek gejala menjaga hati “teman seperjuangan”

Sukacita penulis mencadangkan kepada pucuk pimpinan UMNO, supaya melantik badan-badan bukan berajaan sebagai agensi pemantau bagi memastikan pemilihan agung UMNO dapat dijalankan dengan bersih, tulus, dan cekap, serta bebas dari ancaman korupsi.

Kami di GERAK juga menegaskan kesediaan kami, untuk menjadi badan pemerhati bagi mencapai agenda masyarakat untuk melihat pemilihan yang bersih, adil, dan saksama, serta bebas daripada amalan korupsi yang menjadi seteru agung terhadap perjuangan demokrasi.

Ke Arah Masyarakat Demokratik Dan Anti Korupsi!

Ibn Qadir
Bahagian kepimpinan dan sukarelawan,
Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (GERAK)
Malaysia