Showing posts with label AUKU. Show all posts
Showing posts with label AUKU. Show all posts

R.A.D.H.A a.k.a RELEVANKAH AUKU DI HATI ANDA?


mahasiswa hari ini.......


Assalamualaikum...dan salam perjuangan..

Buat pengetahuan saudara pembaca sekalian, entri pada kali ini, ditulis oleh penulis jemputan, saudari Ummi Umairah... Penulis mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudari ummi umairah diatas entri yang beliau sediakan kali ini. Buat saudari, harapnya teruskan perjuanganmu di meja pena, semoga segala usahamu diberkati Allah swt.Buat pembaca sekalian, harapnya kita dapat mengambil iktibar daripada tulisan beliau...


Insan anti-AUkUisme,


Ibn Qadir

........................................................................................................................................

Assamualaikum w.b.t diucapkan kepada semua, salam tinta dari seorang penulis mentah yang sedang meniti tikar kehidupan. Sebagai seorang penuntut, saya tidak dapat menolak soalan soalan yang bangkit di minda. Ini disebabkan oleh senario yang berlaku di sekeliling saya sendiri. Apa yang berlaku saban hari, membuatkan saya berfikir dan terus berfikir. Sebut sahaja tentang AUKU, tiada lain yang dapat saya fikirkan selain kesannya terhadap belia terutama pelajar universiti selaku penyambung warisan negara. Tidak dapat dinafikan, ramai lagi penuntut di luar sana yang masih belum mengetahui apakah itu AUKU. Tidak cukup dengan itu, perkataan AUKU itu langsung tidak pernah didengari . Apa sudah terjadi kepada ‘pewaris’ negara kita? Sudah digelapkan mata hati dan mata minda oleh akta yang menyekat penuntut penuntut untuk terus berfikir tentang negara atau lebih tepat lagi tentang kerosakan sistem pemerintahan serta agenda kotor yang dimainkan oleh ahli politik (yang kononnya golongan elit serta terpelajar). Hatta kenalan serta sahabat-sahabat rapat saya sendiri masih dibelenggu kebingungan dan keliru dengan keadaan yang berlaku sekarang. Lebih tepat lagi, kesan AUKU terhadap mereka. Sedar tidak sedar, seperti ‘ulat dalam buah’ (ranum di luar tetapi rosak di dalam), AUKU memakan serta meratah minda penuntut dalam diam. Akta yang membuatkan golongan penuntut dihantui rasa takut untuk berfikir, rasa takut untuk menilai, rasa takut untuk bersuara, serta rasa takut untuk memilih. Mereka bukannya robot kawalan jauh yang bisa dikawal segala pergerakan serta gaya pemikiran. Mereka juga bukanlah bateri energizer yang mampu bertahan lama tetapi hanya mampu melakukan satu kerja sahaja dalam satu masa. Tugas mereka bukanlah hanya menuntut serta mengadap buku sahaja. Sesekali minda mereka harus dijamu dengan skop skop pemikiran yang lebih kritikal. Ini akan menghasilkan graduan yang berkualiti. Tetapi apa yang AUKU telah lakukan? Dengan wujudnya akta ini, penuntut penuntut yang ‘penakut’ akan terhasil. Inikah yang kita mahu? Jangan ditutup laluan pemikiran mereka yang sepatutnya cergas berfikir. Jangan disekat sel sel otak mereka yang sedang berkembang dengan idea idea baru. Ingin saya sertakan di sini perbualan saya bersama kenalan rapat yang kiranya ‘mangsa’ kepada AUKU…




Situasi 1: (keliru)

Saya: Kebanyakannya golongan educated lebih banyak berfikir kan? Yalah, pasal politik serta agenda agenda yang berlaku…sebab diorang lebih tahu and lebih banyak pendedahan

Mangsa 1: Aah…memang pun…

Saya: Untunglah diorang yang belajar jurusan undang- undang. Lagi banyak tau pasal constitution..and diorang patutnya lagi bijaklah decide mana baik mana buruk

Mangsa 1: Itulah..memang banyak yang kitorang belajar…( dengan nada bosan)

Saya: Seronoknya…celik hati..celik minda..habis, awak pelajar undang-undang tapi still pangkah pihak yang tidak sepatutnya? Camne tu?

Mangsa 1: Memangla aku belajar…tapi malaslah aku nak fikir…ni assignment banyak lagi..takyahla fikir..bukan tanggungjawab kita pun..

Saya: ( terdiam sambil ternganga)

Komen penulis: Malas nak berfikir? Bukan tanggungjawab kita? Inilah kesannya apabila hanya golongan veteran sahaja yang dibenarkan berfikir dan melibatkan diri dengan politik…




Situasi 2: (takut tak tentu pasal)

Saya: pernah dengar AUKU tak?

Mangsa 2: apa benda tu? Pelik je…

Saya: akta universiti dan kolej universiti…

Mangsa 2: owh…untuk apa?

Saya: sekat kebebasan pelajar universiti dan macam-macam lagi…

Mangsa 2: aku taknak fikir..yang aku tau time election, aku pangkah je..

Saya: kenapa camtu?

Mangsa 2: aku bukannya apa…aku ‘takut orang cina jadi pemerintah and melayu dipinggirkan’…

Saya: (terdiam tak percaya)

Komen penulis: jelaslah, fikiran mahasiswa dan mahasiswi sudah digodam oleh AUKU. Dengan adanya AUKU, graduan graduan yang membawa perkataan ‘takut’ kemana mana sahaja akan lahir…

Akhir kata, apa tujuan menuntut ilmu itu jika tidak digunakan sebaiknya? Apa gunanya mengadap buku berjam jam tetapi berfikir tentang ini barang seminit dua pun tidak mahu? Buka minda anda para penuntut, kamu bukan alat mainan kawalan jauh yang menggunakan bateri…bila diperlukan, dipasang baterinya..bila tidak mahu,di cabut pula bateri itu..

p/s: maaf di atas penggunaan bahasa rojak di dalam perbualan dan terima kasih kepada Ibn Qadr kerana banyak memberikan input kepada saya

wassalam, Ummi Umairah

AUKU 1970 : Duri dalam daging yang hakiki







Selawat dan salam Buat pejuang terhebat sepanjang zaman,Rasulullah saw .....

Segunung doa dan penghormatan buat sahabat-sahabat Rasul pilihan, yang tidak pernah kenal erti putus asa di dalam berjuang..

Salamku buat rakan-rakan di sekalian benua yang tidak pernah putus-putus berjuang mempertahankan hak kebebasan mahasiswa, menyerang segala penentangnya…




Dan Salam kebangkitan buat saudaraku sekalian…


Pertamanya, penulis amat berterima kasih atas segala komen, pendapat, mahupun kritikan yang telah diutarakan oleh pembaca sekalian kepada penulis. Untuk pengetahuan pembaca sekalian, penulis telah meneliti setiap komen dan segala pendapat yang dikemukakan, harapnya segala komen dan kritikan anda mendapat balasan yang sewajarnya daripada Allah swt…

Di atas permintaan sahabat penulis, saudara Faisal Abdul Aziz, penulis akan cuba menyuarakan pendapatnya mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti 1970 atau lebih dikenali sebagai AUKU dikalangan kita semua. Insyaallah, penulis akan cuba memberikan pendapatnya sewajar mungkin dan pada masa yang sama, penulis secara rasmi memohon maaf sekiranya berlaku kesilapan yang disengaja atau tidak disengajakan sekiranya terdapat salah silap di dalam fakta yang bakal dikemukan. Tulisan berikutnya hanyalah secebis buah fikiran penulis, terpulanglah kepada pembaca sekalian untuk menilainya.

Sebelum penulis pergi lebih jauh, suka penulis menyorot kembali sejarah terbentuknya AUKU itu sendiri …



peristiwa 13 mei






Akta Universiti dan Kolej Universiti telah diluluskan pada 1970 oleh Parlimen dengan matlamat untuk mengekang segala kegiatan mahasiswa yang dianggap sebagai satu ancaman kepada keselamatan Negara pada ketika itu. Perlu diingatkan, pada era 1960 an, Malaysia telah mengalami berbagai situasi yang cukup mendebarkan seperti ketidaksamaan pembangunan ekonomi diantara kaum, tersingkirnya Singapura daripada gagasan Malaysia, konfrontasi Malaysia dan Indonesia, pemborontakan Brunei, dan yang paling diingati ialah peristiwa 13Mei 1969 yang menyaksikan perbalahan kaum Melayu dan bukan melayu. Amat penting untuk kita fikirkan kembali, walaupun Malaysia telahpun merdeka selama 13tahun pada ketika itu, tetapi pada hakikatnya, pembentukan Persekutuan Malaysia itu sendiri masih pada usia yang amat hijau (Malaysia dibentuk pada 16 september 1963). Iklim politik yang tidak menentu telah serba sedikit memberi kesan kepada pemikiran mahasiswa pada ketika itu. Berbagai jenis ideology dan fahaman telah meresapi pemikiran mahasiswa sehingga menyebabkan mereka menjadi sukar untuk dikawal dan permasalahan ini telah merunsingkan pemerintah pada ketika itu yang sudah pun dibebani dengan pelbagai kekalutan seumpamanya. Hal ini telah menyebabkan pihak pemerintah menerusi Kementerian Pelajaran mengusulkan AUKU sebagai instrumen untuk menyekat kegiatan mahasiswa secara total sebelum ia berubah menjadi permasalahan tegar didalam proksi pemerintahan Negara. Maka hilanglah kerungsingan sang Perdana Menteri apabila AUKU diwartakan sebagai undang-undang…


Pada awalnya, hasilnya cukup untuk membuatkan pemerintah pada ketika itu tersenyum lebar.. Manakan tidak, apabila ada sahaja suara-suara sumbang di sisi kampus, dicampakkan sahaja seperti bangkai ke luar universiti atau sumbatkan sahaja mereka ke dalam sel-sel berhampiran, harapannya, jiwa muda yang membara dengan api juang itu kian malap dan terus terpadam buat selamanya. Sesiapa yang menentang merasa nahasnya, sesiapa yang berjuang, diganyang selumatnya!.

Ya… tahniah kepada mereka, Negara hebat ini kian aman dan stabil (kata mereka)…, tiada lagi demonstrasi pelajar di kaki lima …tumpukan sahaja perjuangan anda di medan peperiksaan, lupakan segala apa yang berlaku di luar, biarkanlah pemerintah yang mengendalikannya..Fikirkan kuliah sahaja, berpada-padalah berpersatuan, sertailah badan-badan yang mesra rakyat (mesra kerajaan?) , nescaya anda tidak perlu gusar mengenai peruntukan kewangan dan sebagainya… anda akan disayangi, anda akan dihormati,sekiranya ada rezeki, mungkin menjadi Menteri kabinet di kemudian hari.

Nah, bertebaranlah mereka ke dewan-dewan kuliah, mengikuti aktiviti kokurikulum yang disyariatkan oleh pihak universiti, mengangotai badan-badan yang hanya berdiam diri walaupun kecurangan sosial berlaku dihadapan mata mereka. Mahasiswa terus menjauhkan diri daripada permainan politik yang dianggap kotor, dan terpencil, maka bekejarlah mereka untuk mendapatkan segulung ijazah dengan keputusan secemerlang mungkin, dan ada pula yang begitu asyik dengan keseronokan dunia remaja. Merasakan diri masih lagi muda, lantaran itu, mereka terus menghindari perbincangan-perbincangan matang yang dianjurkan. Program-program hiburan yang dikejar, program-program ilmiah dirasa semakin membosankan, membantutkan segala cita-cita dan semangat generasi mahasiswa sebelumnya.




Hampir 30 tahun selepas itu, Negara bertuah ini merasa kesan buruknya. Produk-produk AUKU ini menjadi robot bernyawa yang taat dengan perintah si tuan. Rakyat yang bijak hanya diukur dengan segulung skrol kehormatan, tetapi hakikatnya tiada daya saing. Generasi merbahaya ini lebih cintakan periuk nasi sendiri daripada memikirkan masalah yang dihadapi Negara. Sebagai akibat, Malaysia semakin hilang pelapis kepimpinan yang mampu menggegar dunia. Tiada lagi Tun Mahathir atau Anwar Ibrahim yang kedua, yang lahir, hanyalah robot pengampu yang semakin tamak memenuhkan kantung-kantung yang semakin melimpah, yang mementingkan diri, yang jelek memikirkan isu-isu masyarakat kontemporeri.

Penulis juga berasa amat kecewa, apabila fenomena ini berlaku dikalangan rakan-rakan penulis sendiri, ramai diantara mereka yang hanya memikirkan kesoronokan duniawi, ada kalanya, wujud dikalangan mereka yang langsung tidak peka dengan isu-isu semasa melainkan segmen hiburan atau dunia sukan. Yang hangat diperkatakan bukanlah masalah krisis kepimpinan, tetapi juara Akedemi fantasia yang difikirkan…

Ya… memang benar, secara fizikalnya AUKU hanyalah helaian-helaian bertulis yang berintikan dakwat, cukup membosankan untuk di baca. Namun, buku inilah yang bertanggungjawab membantutkan kematangan berfikir segenap lapisan mahasiswa. Mungkin pembaca sekalian dapat merujuknya sendiri melalui link di bawah :


http://www.usm.my/bhepp/AktaU&K.pdf



Berkenaan dengan cetusan oleh Menteri pengajian Tinggi untuk meminda AUKU, ya, memang benar, penulis menyokong tindakan tersebut. Namun, besar harapan penulis, agar AUKU dihapuskan sepenuhnya. Pada hemat penulis, AUKU sudah tiada relevannya. Cukuplah dengan 30tahun penindasan tegar yang telah menyahmatangkan mahasiswa, kami telah bosan menjadi robot AUKU (seperti robot AIBO di jepun). Walaupun begitu, sekiranya ada pindaan, harapnya pihak bertanggungjawab benar-benar ikhlas dalam perbuatan mereka. Janganlah ada tipu helah yang terus menista, janganlah ianya dijadikan medium permainan politik semata-mata.



Perjuangan kita masih Belum Selesai….

Hapuskan AUKU demi masa depan Negara!!!


Insan anti AUKUisme

Ibn Qadir




-p/s : penulis hairan... bukankah puteri umno itu sendiri telah mencabuli seksyen 15 Akta Universiti dan kolej universiti 1970? mengapa tiada tindakan undang-undang diambil? musykil berbinkan ajaib...

daripada MAHAsiswa ke MAHAturut






salam perjuangan kepada rakan-rakan semua....

Hari yang ditunggu menjelang tiba, hari penentuan kepada rakyat malaysia untuk menentukan siapakah yang bakal menerajui mereka dalam tempoh 5tahun akan datang akhirnya kembali..

terus terang, sejak dua tiga hari yang lalu, jiwa penulis menjadi agak kacau, bukanlah kerana dek tugasan akedemik yang bertimbun-timbun, mahupun final exam yang kian menghampiri, tidak, segalanya tidak berkaitan sama sekali.


pada mulanya, penulis berasa hairan, kegundahan ini datang secara tidak semena-mena, namun, setelah meneliti kembali hati ini, nah, rupanya keputusan pilihanraya yang digusarkan.

mungkin ada sebahagian daripada sahabat pembaca sekalian akan tertanya-tanya, adakah berbaloi memikirkan soal konstitusi, soal politik, soal pucuk kepimpinan negara, sedangkan penulis masih lagi mahasiswa cabok, yang belum layak diiktiraf sebagai pengamal undang-undang yang bertauliah???

pada hemat penulis... inilah perkembangan yang tidak begitu sihat yang semakin menular didalam minda golongan yang menggelarkan dirinya mahasiswa...adalah sedih, seorang insan yang terpelajar langsung tidak ingin memikirkan soal-soal politik atau pentadbiran negara atas "alasan, politik itu kotor, aku mahu 4.00, aku mahu enjoy" dan sebagainya..


anehnya, senario di negara "yang hebat" seperti Malaysia adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan di negara-negara asing... lihatlah di negara jiran, Indonesia, suara mahasiswa mampu meruntuhkan rejim soekarno, begitu ampuh hingga mampu mengubah rejim pemerintahan negara, dan masih lagi lantang hingga ke hari ini. Begitu juga di Iran, hebatnya mahasiswa disana berpolitik sehingga menjadi tulang belakang dalam penggulingan rejim syah reza pehlavi dalam revolusi Islam pada era 1970-an. Begitu juga dinegara-negara timur tengah, pantang ditindas, mahasiswa sentiasa mara di barisan hadapan masyarakat. Penulis percaya, sesetengah pembaca akan mempertikaikan fakta yang dikemukan penulis, kerana negara-negara yang diutarakan penulis dikategorikan oleh masyarakat barat sebagai negara "pelampau" atau "proksi kejahatan".




Namun saudaraku sekalian, lihatlah di hemisfera barat sekalipun, berapa pun latitudnya, berapa pon koordinatnya, senarionya tetap sama...misalnya, lihatlah Perancis, betapa aktifnya mahasiswa menganjurkan protes menentang dasar-dasar kerajaan yang menindas, sehingga perancis telah dilabel sebagai negara yang paling mesra rakyat didunia. Lebih menghairankan lagi, begitu juga dengan apa yang terjadi di amerika syarikat, mahasiswa sentiasa lantang memprotes segala kewujudan ketidakadilan terutamanya berkenaan isu-isu peperangan, tidak kira sejak daripada perang vietnam di era 60an, hinggalah kepada desas desus serangan keatas Iran hari ini.


Apakah yang terjadi kepada golongan mahasiswa di Malaysia hari ini? Semuanya alpa, dibutakan matanya, dipekakkan deria pendengarannya, ditutup segala pancainderanya untuk menentang segala ketidak adilan dan penyelewengan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.. di manakah kematangan kita sebagai seorang mahasiswa, yang telah lama terpinggir dari arus budaya ilmu, yang semakin meninggalkan identiti kita sebagai penggerak bangsa...


Dimana kita wahai saudara ku??



atau AUKU telah membataskan kita...



Bangkitlah teman...
Selesaikan perjuangan sebelum disesal

Tiada ampun yang ku pinta...


Ibn Qadir
mahasiswa jalanan