Showing posts with label Kenyataan media. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan media. Show all posts

Pihak IPT harus ambil langkah proaktif untuk membendung wabak H1N1




Sejak beberapa bulan yang lalu, masyarakat dunia telah dikejutkan dengan penularan wabak Influenza A atau lebih dikenali sebagai virus H1N1. Virus yang dikesan bermula di Mexico, hasil daripada penternakan Khinzir, telah melumpuhkan keadaan sosial dan ekonomi negara tersebut dan seterusnya telah merebak ke serata pelusuk dunia.



Malaysia juga turut tidak terkecuali daripada menjadi mangsa jangkitan virus ini. Sejak 23 Julai yang lalu sehingga kini, seramai ratusan warga Malaysia telah dijangkiti virus ini membabitkan sebanyak 51 nyawa terkorban. Menurut perangkaan yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus ini berpotensi untuk mengorbankan seramai 5,000 hingga 28,000 penduduk sekiranya seramai 0.1%-0.5% dijangkiti wabak ini. Justeru itu, keadaan ini menuntut kerjasama, kesedaran dan kesepakatan daripada segenap lapisan masyarakat dengan tujuan bersama demi membendung penularan Virus ini daripada terus merebak.



Secara peribadi, saya memuji tindakan pihak berwajib terutamanya pihak kementerian kesihatan atas tindakan proaktif yang telah diambil bagi membendung penularan wabak ini. Sekalung tahniah buat pihak terbabit yang telah bertungkus lumus dalam menyediakan bantuan seperti perubatan, fasiliti, dan sebagainya bagi memerangi wabak H1N1 ini. Semoga usaha sedemikian dapat dilakukan secara berterusan sehingga wabak tersebut dapat ditangani secara berkesan.



Dari perspektif masyarakat kampus dan pelajar, sesungguhnya kami juga tidak terkecuali dari menaggung kesulitan akibat penularan wabak ini. Banyak sekolah-sekolah terpaksa ditutup, tidak kurang juga kuliah-kuliah pengajian yang terpaksa ditunda demi menjamin keselamatan para penuntut daripada dijangkiti Influenza A.



Namun, saya ingin melahirkan kekesalan terhadap tindakan pihak pentadbiran di beberapa buah pusat pengajian tinggi yang dilihat kurang memberi perhatian terhadap soal keselamatan dan kebajikan pelajar. Hal ini terbit bukan sahaja di beberapa Kolej Swasta, malahan turut membabitkan beberapa pusat pengajian tinggi terkemuka di ibu negara. Di sini saya tidak menolak anggapan bahawa sudah terdapat beberapa amaran bertulis yang telah dikeluarkan oleh pihak terbabit, namun, apa yang mendukacitakan, amaran tersebut hanya sekadar tertulis di kain rentang dan notis-notis ringkas yang dikeluarkan oleh pihak pentadbiran Institusi Pengajian terbabit. Penularan wabak seperti ini tidak seharusnya dipandang enteng memandangkan ia membabitkan soal keselamatan dan kebajikan golongan pelajar.



Sementara itu, saya turut berasa kecewa dengan polisi sesetengah Universiti yang merahsiakan jumlah jangkitan sebenar wabak ini di sesebuah pusat pengajian. Memang benar, keadaan ini dapat membendung gejala panik di kalangan penuntut. Namun, dari perspektif yang lain, pelajar akan lebih cenderung untuk bersikap acuh tidak acuh di dalam mempersiapkan diri untuk menangani penularan wabak ini.



Lebih memalukan, terdapat beberapa pusat pengajian tinggi yang bertindak menafikan hak pelajar untuk menangguhkan kuliah pengajian sedangkan wabak tersebut dilihat semakin rancak menular di dalam kawasan kampus. Mungkin sahaja alasan yang paling munasabah oleh pihak terbabit adalah bagi mengelakkan tanggungan kos kerugian yang besar, mahupun hendak mengelakkan gangguan takwim akademik sesebuah universiti. Walaubagaimanapun, alasan sedemikian dilihat tidak tepat oleh kerana kebajikan dan keselamatan para mahasiswa atau pelajar haruslah diutamakan berbanding faktor keuntungan semata-mata.



Dalam perkembangan berkaitan, tindakan yang lebih efektif haruslah dijana oleh pihak-pihak terbabit. Hal ini merangkumi aspek kebersihan persekitaran, pemerkasaan kempen kesedaran bagi menangani penularan virus H1N1 serta menagguhkan kuliah pengajian sekiranya keadaan memerlukan. Sebagai cadangan, pihak-pihak berwajib boleh bertindak melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma ditempat-tempat tumpuan yang difikirkan sesuai, serta mengedarkan topeng muka secara percuma kepada semua pelajar dan mahasiswa. Ini bertepatan dengan lunas-lunas pertanggungjawaban pihak pentadbiran Institusi Pengajian di mana keselamatan dan kebajikan penuntutnya haruslah diutamakan.



Dalam berdepan situasi yang kurang pasti seperti ini, kami dari Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyeru agar seluruh warga pelajar menyokong sepenuhnya usaha-usaha murni agensi kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan dalam membanteras penularan wabak H1N1. Garis panduan yang telah dikeluarkan oleh agensi kesihatan haruslah dipatuhi, di samping inisiatif individu dalam memerangi wabak ini amatlah dialu-alukan. Ini termasuklah penggunaan antiseptik yang disyorkan untuk mengelakkan jangkitan, serta melaporkan kepada pusat kesihatan terdekat dengan kadar sesegera mungkin jika mengalami simptom-simptom berkaitan seperti batuk, demam, selsema dan sebagainya. Sebagai agen masyarakat, perlu saya tegaskan bahawa, pihak mahasiswa dan pelajar harus menerima saranan tersebut untuk bersama-sama menyumbang dalam menyelesaikan permasalahan mutakhir ini.



Saranan akhir saya kepada rakan-rakan pelajar, sebagai kelompok yang tidak terlepas dari jangkitan virus ini, kita seharusnya mengutamakan kesihatan dengan harapan agar kita terselamat dari segala jenis wabak termasuklah jangkitan virus Influenza A. Semoga segala pandangan yang telah diutarakan oleh saya ini menjadi iktibar kepada kita semua, khususnya warga pelajar dan pihak universiti.



"Hidup Biar Berjasa"



Hafidz Hakimi Bin Haron
Exco Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

SPRM WAJAR SIASAT JIKA ADA RASUAH LOMPAT PARTI






KENTAAN MEDIA GERAK MALAYSIA

16 FEBUARI 2009




Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia ) menolak keras mana-mana agenda rasuah politik bagi membeli atau memancing ADUN atau mana-mana Ahli-ahli Parlimen Malaysia untuk melompat parti. Gerak Malaysia menggesa agar SPRM menjalan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah ini.



Situasi ketidakstabilan politik yang berlaku di Perak akibat lompat parti atau bertukar menjadi ADUN Bebas harus dihindarkan daripada perilaku rasuah dan ugutan. Gerak Malaysia menggesa mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh termasuk transaksi, wang, cek, surat-surat berkaitan agar tampil membuat laporan kepada SPRM. Gerak Malaysia menyokong apa-apa usaha oleh mana-mana pihak bagi mendedahkan dan melaporkan jenayah rasuah yang berlaku bagi membeli ADUN-ADUN daripada mana-mana parti politik.



Walaupun tindakan melompat parti atau bertukar parti adalah suatu tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 10, namun tindakan ini perlu dihindarkan daripada anasir-anasir rasuah, ugutan, salah guna kuasa dan bersifat kepentingan peribadi.



Gerak Malaysia juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang bersedia menjadi saksi dan membawakan dokumen fizikal kes-kes rasuah politik yang berkaitan dalam isu lompat parti agar Gerak Malaysia dapat mengambil tindakan bersama dan lebih agresif untuk mendedahkan kepada masyarakat. Jika laporan bersumpah yang dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri adalah benar melibatkan rasuah politik, Gerak Malaysia menggesa agar SPRM bertindak pantas untuk melakukan siasatan dan tindakan. Timbalan Perdana Menteri juga wajar digantung tugas jika terlibat dalam kes yang didakwa. Pelapor juga boleh bertemu Gerak Malaysia untuk kita mengambil tindakan yang boleh mencetuskan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya rasuah untuk membeli kuasa politik.



Gerak Malaysia menyarankan agar secara segera undang-undang berkaitan masalah lompat parti digubal. ADUN atau Ahli Parlimen yang melompat parti wajar meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihanraya kecil dijalankan bagi kawasan mereka. Walaubagaimanapun, kita mencadangkan agar mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan wajar diberi peluang untuk bertanding semula sejurus meletak jawatan bagi mewakili parti barunya . Situasi ini penting bagi memberikan keadilan kepada calon dan rakyat dalam proses demokrasi. Undang-undang yang konklusif wajar dibentuk bagi memastikan keterjaminan integriti politik. Kita juga mengecam mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen yang mengambil kesempatan daripada kebebasan berpersatuan yang dijamin Perlembagaan untuk melompat parti atas unsur-unsur sogokan, rasuah dan kepentingan diri. Gerak Malaysia menyarankan agar rakyat menolak kepimpinan yang rasuah dan lebih mementingkan kepentingan diri.



MOHD NAZREE MOHD YUNUS

Pengerusi

GERAK MALAYSIA

Kenyataan Media PKPIM Berkenaan Isu Serangan Israel keatas Semenanjung Gaza


KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)


2 Januari 2009




PKPIM KECAM SERANGAN KE ATAS GAZA




Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengecam sekeras-kerasnya segala bentuk serangan yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap bumi Gaza . Dalam laporan akhbar Berita Harian pada 2 Januari 2009, serangan yang telah masuk hari ke enam itu telah mengorbankan 410 penduduk awam Palestin dan mengakibatkan 1,900 yang lain cedera.



Jumlah angka kematian ini menjelaskan kepada kita bahawa serangan yang dilakukan regim Israel tersebut bertujuan untuk mencari jalan supaya berlakunya pembersihan etnik secara besar-besaran terhadap penduduk Islam Gaza dan wajib ditentang oleh masyarakat dunia.



Dalam pada itu, PKPIM turut mengutuk alasan yang digunakan Israel untuk menghalalkan serangan. Serangan atas alasan untuk membunuh aktivis Hamas adalah suatu yang tidak masuk akal memandangkan serangan tersebut dilakukan secara terang-terangan ke atas kawasan bandar dan perumahan yang diduduki oleh ramai penduduk awam.



Sementara itu, PKPIM turut menggesa seluruh pihak khususnya Majlis Keselamatan PBB dan Persidangan Negara Islam (OIC) untuk melakukan sesuatu untuk mendesak regim zionis menghentikan serangan. Atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan Islam, sudah tiba masanya badan dunia seperti PBB dan OIC serta Kesatuan Eropah (EU) bersuara secara lantang dan mengenakan sekatan politik dan ekonomi terhadap Israel.



Serangan Israel ini merupakan bibit permulaan kepada peperangan besar-besaran dan PKPIM tidak menolak kemungkinan siri peperangan yang berlaku antara Arab – Israel yang berlaku sekitar tahun 1973 akan meletus kembali.



Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM turut menyelar kedegilan kerajaan Mesir pimpinan Hosni Mubarak untuk membuka sempadan Gaza melalui pintu lintasan Rafah. Keengganan ini sebenarnya telah membantu kepungan wilayah Gaza oleh Israel memandangkan penduduk awam Gaza tidak dapat lari ke sempadan Mesir untuk mencari tempat perlindungan.



MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ (860813-38-5543)

Naib Presiden Antarabangsa,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

GERAK MALAYSIA SARAN SKIM GAJI SPRM LEBIH BAIK



KENYATAAN MEDIA GERAK MALAYSIA

31 DISEMBER 2008


Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia ) menyarankan agar kerajaan mengkaji semula skim gaji pegawai BPR atau SPRM dan menawarkan satu skim gaji baru yang lebih baik bagi mereka. SPRM akan menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkuat kuasa pada 1 Januari 2009. Gerak Malaysia melihat skim gaji baru ini perlu lebih menarik dan memberangsangkan bagi para pegawai SPRM dan menarik minat orang awam terutamanya generasi muda untuk menyertai SPRM.


Pelbagai usaha dilakukan kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi untuk menjayakan penubuhan SPRM bagi menggantikan BPR bagi memantapkan lagi undang-undang membanteras rasuah. Namun pengumuman skim gaji baru bagi kakitangan SPRM tidak memberangsangkan.


Skim gaji baru BPR atau SPRM yang diumumkan hanya membolehkan pegawai BPR yang berkelulusan diploma memperoleh kenaikan lebih kurang RM68 sementara yang berkelulusan ijazah memperoleh RM 98 sahaja.


Gerak Malaysia menyarankan agar skim gaji baru pegawai SPRM kelak boleh diberikan kenaikan antara 25% hingga 35% berbanding kakitangan awam yang lain. Skim gaji baru yang lebih baik adalah perlu bagi para pegawai SPRM menjalankan tugas dengan lebih dedikasi. Selain itu, skim gaji ini juga harus benar-benar memberikan manfaat kepada pegawai SPRM.


Gerak Malaysia menyokong sekiranya ada usaha dipihak kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Penelitian Intensif Skim Gaji Baru SPRM yang lebih baik dan bersesuai berbanding yang telah diumumkan sebelum ini.


Kita berharap agar pihak Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dapat meneliti masalah ini dalam usaha kita membanteras rasuah adalah perlu bagi kerajaan juga memperkukuhkan struktur dalaman SPRM itu sendiri termasuk soal skim gaji pegawai SPRM.



MOHD NAZREE MOHD YUNUS

Pengerusi Gerak Malaysia

GERAK GESA SAIFUDDIN LAPOR BPR RASUAH CALON TIMB. PRESIDEN UMNO


KENYATAAN MEDIA
18 DISEMBER 2008

GERAK GESA SAIFUDDIN LAPOR BPR RASUAH CALON TIM. PRESIDEN UMNO


Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menggesa agar Ahli Parlimen PKR dari Machang, Saifuddin Nasution melaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkaitan rasuah politik salah seorang calon Timbalan Presiden UMNO seperti yang didakwanya di Parlimen.

Gerak Malaysia juga menggesa agar BPR membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan berkaitan kenyataan Ahli Parlimen Machang itu. Tindakan ini perlu berasaskan seksyen 25 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 yang menyatakan kewajipan untuk melaporkan transaksi penyogokan. Seseorang hendaklah seawal yang mungkin melaporkan permintaan atau perolehan, atau percubaan untuk memperoleh suapan itu berserta dengan perihalan yang lengkap dan benar dan jika diketahui nama orang yang meminta atau memperoleh, atau cuba memperoleh, suapan daripadanya itu kepada pegawai Suruhanjaya atau pegawai polis yang paling hampir.

Laporan BPR adalah amat perlu bagi membersihkan pemilihan kepimpinan UMNO daripada gejala rasuah politik. Gerak Malaysia memandang serius kenyataan dan laporan Ahli Parlimen Machang itu dan melihat perlu ada usaha untuk melaporkannya sebagai tanda iltizam apatah lagi Saifuddin mendakwa mempunyai laporan lengkap mengenainya.

Gerak Malaysia juga menyarankan agar agen salah seorang calon Timbalan Presiden UMNO itu juga tampil untuk memberi keterangan jika beliau sedar bahawa apa yang dilakukannya itu adalah suatu bentuk kesalahan di bawah Akta SPRM 2008 yang baru sahaja diluluskan Parlimen semalam.

Rasuah politik yang diamalkan dalam pemilihan kepimpinan mana-mana parti politik harus dibanteras dan usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ahli-ahli parti. UMNO juga harus mengambil tindakan serius dan Gerak Malaysia berharap agar siasatan rasuah politik yang dinyatakan oleh BPR telah selesai perlu diteruskan dengan pendakwaan yang berkesan terhadap pemberi & penerima rasuah.

Dalam perkembangan lain, Gerak Malaysia menyokong penuh pembentangan rang Undang-undang Perlindungan Saksi 2008. Undang-undang ini perlu untuk melindungi keselamatan dan kebajikan saksi. Selain itu penubuhan Mahkamah Khas Rasuah juga perlu dipercepatkan agar kes-kes rasuah tidak terlalu lama tertangguh sehingga pendakwaan tidak dapat dijalankan.


MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi GERAK Malaysia

GERAK GESA LANTIK PEGUAM NEGARA MELALUI FIT&PROPER TEST


KENYATAAN MEDIA
17 DISEMBER 2008

GERAK GESA LANTIK PEGUAM NEGARA MELALUI ‘FIT&PROPER TEST’

Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK Malaysia) menggesa perlantikan Peguam Negara dilakukan secara ‘fit & proper test’. Perlantikan Peguam Negara perlu melalui proses saringan yang teliti seperti mana telitinya proses saringan pemilihan angkasawan negara.

Perlantikan Peguam Negara secara teliti amat penting kerana seksyen 58 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 masih lagi memberikan kuasa pendakwaan kepada Peguam Negara. Justeru Gerak Malaysia berpandangan adalah perlu proses saringan ini bagi memastikan tidak timbul pertikaian kredibiliti Peguam Negara di kemudian hari.

Dalam aspek yang lain, perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM juga wajar melalui saringan ‘fit & proper test’ ataupun ujian rintis kredibiliti kerana menurut subseksyen 6 seksyen 5 Akta SPRM memberikan apa-apa kuasa sebagai Timbalan Pendakwa Raya kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM. Maka sudah pasti penjawat jawatan Ketua Pesuruhjaya juga harus datang daripada mereka yang berkredibiliti, bersih dan dilihat bersih.

Hanya dengan methodologi perlantikan Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang teliti sahaja mampu untuk memperlihatkan usaha kerajaan yang lebih konsisten dan serius untuk membanteras rasuah . Ruang-ruang pertikaian kredibiliti Peguam Negara & Ketua Pesuruhjaya SPRM boleh dikurangkan dengan terlaksananya ujian ‘fit & proper test’ ini sebelum perlantikan seseorang sebagai Peguam Negara & Ketua Pesuruhjaya SPRM pada masa akan datang. Perlaksanaan ujian rintis kredibiliti ini boleh dilaksanakan walaupun kedua-dua jawatan tadi melibatkan perlantikan penjawat awam. Kewujudan Mahkamah Khas Rasuah juga boleh difikirkan buat memperkemaskan perjalanan pendakwaan kes-kes rasuah.

Gerak Malaysia menyambut baik pengesahan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2008 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kita berharap agar kewujudan SPRM kelak mampu untuk membanteras gejala rasuah secara berkesan serta membudayakan integriti dalam kehidupan pemimpin dan rakyat Malaysia . Langkah pembentangan SPRM di Parlimen ini merupakan langkah awal keazaman politik yang perlu diteruskan dan diberikan sokongan oleh semua pihak termasuk pembangkang.

MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi GERAK Malaysia

Siasat Tragedi Bukit Antarabangsa Jika Ada Rasuah


KENYATAAN MEDIA
10 DISEMBER 2008


Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK Malaysia) menggesa agar Badan Pencegah Rasuah (BPR) membuka kertas siasatan dan memulakan penyiasatan ke atas tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa bagi memastikan tindakan pendakwaan diambil jika wujud unsur-unsur rasuah dalam kelulusan projek berisiko tinggi di kawasan cerun bukit terbabit.

Penyiasatan dan pendakwaan adalah perlu kerana kita tidak mahu lagi tragedi yang telah meragut nyawa 4 orang penduduk Bukit Antarabangsa dibiarkan tanpa ada suatu bentuk penyiasatan terperinci. Sudah pasti lambakan pembinaan projek-projek pembangunan dilereng dan kaki bukit yang diluluskan tanpa memikirkan aspek jaminan keselamatan penduduk adalah bentuk-bentuk rasuah dan salah guna kuasa yang tidak seharusnya berlaku dalam sesuatu kelulusan projek pembangunan berisiko tinggi.

Gejala penyelewengan dan rasuah yang berlaku tidak boleh dibiarkan terus berlaku dalam tatacara perancangan pembangunan rakyat dan wajar dibongkarkan. Nyawa rakyat dan penduduk sesebuah kawasan pembangunan atau perumahan tidak wajar ditaruh dengan sikap ambil mudah, tidak bertanggungjawab dan rasuah oleh perlaksana atau pemaju termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam soal meluluskan sesuatu projek perumahan apatah lagi di kawasan tanah tinggi serta berisiko.

Gerak Malaysia menyarankan 3 langkah segera yang perlu diambil dalam konteks untuk membanteras gejala rasuah dan penyelewengan dalam kelulusan projek pembangunan dan perumahan berisiko tinggi yang akhirnya mengorbankan nyawa rakyat.

(1) BPR perlu dengan segera membuka kertas siasatan dan pendakwaan jika wujud unsur-unsur rasuah dalam projek pembangunan dan perumahan yang berisiko tinggi terutamanya di lereng-lereng Bukit Antarabangsa dan kawasan-kawasan berisiko lain.
(2) PBT juga wajar melaporkan kepada BPR jika wujud pegawainya yang terlibat dalam menyalahgunakan kuasa bagi meluluskan projek pembangunan yang berisiko.
(3) Pemaju perumahan yang gagal menjaga aspek-aspek keselamatan projek-projek pembangunan & perumahan mereka wajar digantung lesen serta merta oleh kerajaan.


Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi GERAK Malaysia


-- GERAK MalaysiaGerakan Rakyat Anti KorupsiCivil Movement Against CorruptionB-1012, Level 10, Block B, Kelana Square, Jln SS7/26, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor. MalaysiaTel: +603 7804 9632Fax: +603 7803 9423www.gerakmalaysia. org

Kenyataan Media 9 Disember 2008 : Deklarasi GERAK Malaysia

Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK Malaysia) ingin menyarankan agar ahli-ahli Parlimen Malaysia membahaskan secara serius, matang dan berkesan rang undang-undang Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM esok 10 Disember 2008. Atas kesedaran ini, GERAK Malaysia telah menggagaskan 17 Deklarasi berkaitan usaha-usaha membudayakan integriti dan anti rasuah. GERAK juga ingin menegaskan agar SPRM diberikan kuasa pendakwaan mutlak melalui undang-undang yang bakal dibentuk bagi mengendalikan kes-kes rasuah serta diletakkan secara independent di bawah Parlimen. GERAK Malaysia juga mencadangkan agar SPRM yang bakal ditubuhkan kelak mampu menjalinkan hubungan secara langsung dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran & Kementerian Pembangunan Wanati, Keluarga dan Masyarakat bagi menggalakkan lagi usaha-usaha memperkasakan pendidikan integriti & anti rasuah.

Berikut adalah DEKLARASI PERMUAFAKATAN INTEGRITI & ANTI RASUAH oleh GERAK Malaysia:


PERMUAFAKATAN INTEGRITI & ANTI RASUAH

DEKLARASI PERMUAFAKATAN INTEGRITI & ANTI RASUAH 2008

Menginsafi bahawa rasuah adalah gugatan terhadap iman dan nilai moraliti yang boleh meruntuhkan asas akhlak dan kepimpinan dengan merendahkan martabat bangsa dan tidak menjunjung undang-undang;

Menyedari bahawa rasuah adalah sering berpunca daripada perasaan tamak, pilih kasih, dorongan nafsu dan cita-cita melulu demi memenuhi kepentingan individu sama ada di dalam mengumpulkan kekayaan peribadi, di dalam memajukan perniagaan secara mudah, di dalam mencapai aspirasi politik menerusi jalan paling singkat atau menebus perilaku yang melanggar undang-undang;

Mengakui bahawa jenayah rasuah yang merebak secara parah boleh mendorong ke arah ketidakadilan, menindas golongan kurang berada dan melupuskan kos kecekapan (cost efficiency) serta mengancam keselamatan negara, menghuru-harakan kerajaan, meruntuhkan tamadun, membinasakan bangsa dan mengugat pendukungan demokrasi;

Menerima hakikat bahawa kepemimpinan yang bermaruah serta mempunyai iltizam yang tegas adalah pemimpin yang menjadi pemangkin gerakan massa untuk memerangi rasuah di semua peringkat secara komited, konsisten dan berkesan;

Menyokong, menghargai serta mengiktiraf bahawa iltizam politik serta ketegasan kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan memerangai rasuah dan ini merupakan tindakan positif ke arah negara yang sifar toleran terhadap rasuah;

Meyakini bahawa kewujudan masyarakat madani Malaysia akan menjadi pemangkin kebangkitan negara yang sifar rasuah dan mampu membentuk Good Governance;

Maka Permuafakatan Integriti dan Anti Rasuah mengambil ketetapan bahawa:

  1. Kerajaan hendaklah mengkaji semula kuasa, tugas dan tanggungjawab Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mencakupi aspek-aspek pendidikan, pencegahan, penyiasatan dan pendakwaan yang menyeluruh. Ini akan membolehkan BPR atau SPRM mempelopori gerakan pendidikan anti rasuah yang komprehensif di kalangan masyarakat, melakukan kegiatan pencegahan yang lebih berkesan, menjalankan penyiasatan dengan lebih cekap dan adil serta membuat perakuan-perakuan pindaan yang berwibawa ke atas segala amalan dan prosedur di sektor awam yang didapati menggalakkan rasuah.

  1. Kerajaan hendaklah memberikan kuasa penuh kepada BPR atau SPRM untuk meminta mana-mana individu yang disyaki melakukan rasuah untuk menjelaskan harta yang dimilikinya menerusi kenyataan bersumpah. Jika individu berkenaan gagal memberikan penjelasan yang memuaskan berhubung pemilikan harta yang melebihi pendapatannya, maka pendakwaan hendaklah dibuat ke atasnya. Sekiranya didapati bersalah, harta individu tersebut hendaklah diambil/disita oleh pihak kerajaan seadilnya dan dimanfaatkan semula untuk kepentingan rakyat.

  1. Kerajaan hendaklah menubuhkan sebuah jawatankuasa penilai peringkat tertinggi (review committee) yang bertanggungjawab mengkaji semula semua kes rasuah yang telah disiasat oleh BPR dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, tetapi kes berkenaan tidak dibawa ke makhkamah. Jawatankuasa ini hendaklah melantik Ketua Hakim Negara sebagai Ex-Officio dan dianggotai oleh perwakilan rakyat atau individu yang berwibawa tinggi serta bertanggungjawab terus kepada Parlimen. Jawatankuasa ini juga harus membincangkan kaedah terbaik bagi membentuk sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

  1. Di samping hukuman-hukuman berat yang dikenakan ke atas pesalah rasuah, Kerajaan hendaklah juga mengenakan juga hukuman sebat ke atas pesalah-pesalah tersebut.

  1. Kerajaan hendaklah mengutuk amalan rasuah sebagai musuh no.1 negara yang lebih dahsyat bahayanya daripada penagihan dadah. Justeru, kerajaan hendaklah merestui kewujudan sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Suruhanjaya ini hendaklah bertanggungjawab mengesan, mengkaji serta menganalisa amalan rasuah, kesan dan implikasinya terhadap sosio ekonomi, politik dan keselamatan negara. Suruhanjaya ini hendaklah dibentuk dan diwujudkan menerusi kerangka undang-undang, mempunyai jawatankuasanya di peringkat negeri dan daerah serta bergerak seiring dengan BPR atau SPRM ataupun terus menggantikan peranan BPR setelah BPR itu sendiri distrukturkan semula ke arah menjadi suruhanjaya bebas yang benar-benar efisyen.

  1. Kerajaan hendaklah menggalak serta mengiktiraf kewujudan satu gerakan anti rasuah sama ada dalam bentuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggembleng penyertaan rakyat jelata, sektor awam, sektor swasta, pertubuhan politik dan pertubuhan sukarelawan di semua peringkat, di seluruh negara. Gerakan bersepadu ini juga hendaklah bergerak seiring dengan BPR ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang bakal ditubuhkan kelak.

  1. Seluruh jentera, sistem, peraturan dan undang-undang yang boleh mendorong amalan rasuah dan didapati menyulit, menghalang atau melambat-lambatkan pembangunan, kemajuan dan modenisasi ekonomi dan perindustrian negara hendaklah dikaji semula dan dibaiki keberkesanannya. Kerajaan hendaklah memperkasakan peranan Kementerian Kewangan dengan membentuk sistem ekonomi dan sistem penyampaian ekonomi yang berkesan serta berupaya memantau dan menutup ruang-ruang yang boleh berlakunya rasuah dan penyelewengan.

  1. Sektor awam, swata dan kalangan politik hendaklah diberi kefahaman mendalam dan terperinci bahawa pembangunan, kemajuan dan modenisasi negara, khususnya di bidang ekonomi dan perindustrian, adalah tanggungjawab bersama selaras dengan semangat dan dasar untuk membentuk Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.

  1. Hendaklah diwujudkan mekanisma perundangan yang berkesan untuk menyelia urusan yang melibatkan sektor perniagaan dan Kerajaan. Perilaku kakitangan awam yang memproses, menganalisa, membuat perakuan, mengendali, menyelia dan meluluskan semua aspek percukaian, perlesenan, projek pembangunan dan projek penswastaan di peringkat pusat, negeri dan daerah mestilah telus dan bebas daripada rasuah. Warga korporat yang berurusan dengan sektor awam mengenai penswastaan atau perlaksanaan projek pembangunan di semua peringkat juga dituntut berperilaku telus dan bebas daripada rasuah.

  1. Sebuah sistem kawalan dalaman bagi jabatan-jabatan utama Kerajaan yang mengendalikan projek-projek penswastaan dan projek pembangunan negara yang besar hendaklah dipastikan telus, amanah dan berintegriti dalam mengendalikan maklumat-maklumat penting supaya tidak berlaku pembocoran rahsia dan maklumat yang bernilai komersial dan yang dapat diperdagangkan dengan nilai pasaran ataupun dengan nilai rasuah yang tinggi.

  1. Semua anggota penguatkuasa undang-undang dan kakitangan awam di jabatan yang sering terdedah dengan amalan rasuah hendaklah mempunyai tatacara yang telus, berintegriti dan berkesan. Semua sektor swasta juga hendaklah mewujudkan Tatacara Etika Integriti & Anti Rasuah dalam organisasi masing-masing.

  1. Sumpah jawatan bagi seluruh perlantikan awam, swasta dan politik di semua peringkat hendaklah mengandungi elemen kemurnian akhlak, keluhuran undang-undang serta membudayakan integriti dan anti rasuah.

  1. Seluruh kakitangan awam, kepimpinan politik dan kepimpinan korporat di mana Kerajaan mempunyai saham hendaklah dimestikan mengisytiharkan harta masing-masing kepada sebuah jawatankuasa di bawah pimpinan Perdana Menteri dan juga Parlimen.

  1. Usaha mewujudkan masyarakat madani yang menjunjung keluhuran undang-undang, mengamalkan tradisi bermoral yang murni, berbudaya, berintegriti dan tidak berkompromi terhadap rasuah perlu diperhebat dan diperkasakan lagi gerakannya di setiap lapaisan masyarakat Malaysia. Seluruh jentera pembangunan generasi anjuran kerajaan, parti-parti politik, organisasi korporat dan badan-badan sukarela di semua peringkat perlu mendukung usaha mewujudkan masyarakat madani ini menerusi gerakan kesedaran dan modul latihan ketatanegaraan dan keagamaan yang rapi, khusus, bersepadu dan berterusan.

  1. Elemen-elemen dan mesej integriti dan anti rasuah hendaklah diterapkan ke dalam jiwa segenap generasi muda Malaysia menerusi kurikulum khas pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggi anjuran kerajaan dan swasta. Elemen dan mesej integriti dan anti rasuah ini juga hendaklah diterapkan ke dalam jiwa pelatih menerusi kurikulum khas di semua agensi latihan awam dan swasta. Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Malaysia harus memberikan keprihatinan terhadap usaha-usaha membentuk budaya integriti dan anti rasuah melalui sistem pendidikan negara.

  1. Pihak media massa hendaklah diberi galakan untuk melaporkan gejala dan amalan rasuah oleh segenap lapisan masyarakat secara jujur, adil dan berwibawa.

  1. Mengoptimumkan fungsi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membentuk keterlibatan langsung golongan wanita dalam usaha-usaha membudaya integriti dan anti rasuah bermula dengan pengukuhan budaya integriti dan anti rasuah dalam keluarga.

Berasaskan deklarasi ini GERAK Malaysia ingin menyatakan pendirian bahawa semua pihak sama ada Ahli Parlimen Malaysia, Pimpinan Parti-parti politik, mahasiswa, badan-badan bukan kerajaan dan pertubuhan atau persatuan belia dan anak muda harus menguatkan tekad dan iltizam untuk bangkit membentuk budaya integriti dan anti rasuah bagi memastikan terbentuknya permuafakatan bersepadu di kalangan kita dalam usaha membentuk Good Governance dan kepimpinan yang adil, amanah dan bertanggungjawab demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.


GERAK Malaysia juga menyatakan harapan tinggi kepada seluruh Ahli Parlimen Malaysia agar dapat membahaskan secara matang dan konstruktif rang undang-undang penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Parlimen pada awal Disember 2008 ini.


Semoga dengan terbentuknya SPRM ini mampu memberikan harapan, perubahan dan nafas baru terhadap kewibawaan dan kredibiliti BPR lantas memberikan erti yang lebih serius terhadap usaha-usaha kerajaan dengan kerjasama pihak pembangkang bagi memperkemaskan struktur, undang-undang dan pendidikan yang menjurus ke arah membentuk budaya integriti dan anti rasuah.


Deklarasi oleh:

Gerakan Rakyat Anti Korupsi

(GERAK Malaysia)

Mohd Nazree Mohd Yunus

Pengerusi GERAK Malaysia

sk: Badan Pencegah Rasuah (BPR)

Ahli-ahli Parlimen Malaysia

Institut Integriti Malaysia

Transparency International-Malaysia

Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Belia dan Anak Muda Malaysia

Pimpinan UMNO, PAS, PKR, DAP, MCA, MIC & Gerakan

Kementerian Pengajian Tinggi

Kementerian Pelajaran

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat

Institut Kajian Asas Kemasyarakatan (INSKA)

Pimpinan Mahasiswa Universiti Seluruh Malaysia

Bar Council (Majlis Peguam)

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS)

Belia 4B Malaysia

MAYC Malaysia

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

TERAS Pengupayaan Melayu

Petisyen membantah pelajaran sains dan matematik didalam bahasa inggeris



assalamualaikum warahmatullah...

sehubungan dengan ini penulis menyeru, sahabat-sahabat pembaca agar sama-sama mengembeling tenaga bagi tujuan membantah PPSMI. Hal ini kerana, PPSMI telah dilihat sebagai penyumbang kepada kecacatan bahasa melayu yang telah sekian lama menjadi bahasa ilmu di negara ini..

Apa lagi yang tinggal pada Bahasa ibunda kita? Apa lagi yang boleh diwarisi oleh anak cucu kita? Ayuh!! Selamatkan bahasa melayu!

Nyatakan sokongan anda disini !!---> klik


Ibn Qadir
Ahli PKPIM


-------------------------------------------------------------------------------------------------



PETISYEN MEMBANTAH PPSMI

Petisyen kepada Kementerian Pelajaran Malaysia PPSMI : Kembalikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar.

Kami warga Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, amat bimbang terhadap penghakisan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan yang berlaku di Malaysia.

Pada tahun 2003 lalu, kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk meminda dasar pendidikan negara dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di seluruh Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Situasi ini sebenarnya menyebabkan kedudukan Bahasa Melayu semakin tergugat dan meniti saat-saat untuk lenyap dari tanah air kita sendiri.


Menurut Dasar Pendidikan Kebangsaan 1996, kedaulatan bahasa melayu harus dipertahankan sebagai bahasa teras dalam sistem pendidikan negara. Dasar tersebut dengan jelas menyatakan bahawa “dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama”. Hakikatnya, jika dasar Pendidikan Kebangsaan ini tidak dipelihara, ia akan membebankan guru dan pelajar luar bandar untuk menggunapakai Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.


Dalam pada itu, pelaksanaan dasar PPSMI yang dilihat tergesa-gesa ini amat bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara. Sementara itu, Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah memberi definisi jelas kepada maksud sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.


Menurut Seksyen 2,
Sekolah Kebangsaan ditafsirkan sebagai sekolah Rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan— (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.
Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan pula ditakrifkan sebagai sekolah menengah kerajaan atau sekolah menengah bantuan kerajaan - (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.


Seksyen 17(1) Akta Pendidikan juga menyatakan “Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini”


Adalah amat mengecewakan apabila pemimpin Melayu kini sudah tidak memiliki sensitiviti untuk mempertahankan nasib bahasa kebangsaan dan dalam masa yang sama tidak menghormati peruntukan undang-undang tertinggi negara yang menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Dasar yang menjamin kedudukan bahasa Melayu yang diwariskan oleh pemimpin terdahulu juga sudah dianggap tidak relevan dan tidak dinali sebaik-baiknya.


Untuk memastikan agar kedudukan bahasa Melayu terjamin dalam negara ini dan tidak terus digugat, malah diangkat dan dimartabatkan, kami menyeru agar Kerajaan Malaysia:


• Mengembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains
dan Matematik di semua sekolah rendah kebangsaan dan menengah.
• Memelihara bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan perpaduan kaum.
• Menghormati dan menguatkuasakan sepenuhnya segala peruntukan undang-undang
yang ada yang menjamin kedudukan bahasa kebangsaan.
• Mengekalkan dasar-dasar negara yang menjamin kedaulatan bahasa melayu yang
diwarisi oleh generasi pemimpin terdahulu.


Kami, dengan ikhlas dan tegas, dan penuh rasa tanggungjawab percaya bahawa kemajuan negara akan tetap tecapai walaupun kita mengekalkan bahasa, budaya dan jatidiri kita yang tulin. Perlu disedari bahawa bahasa merupakan jiwa dan cerminan kepada bangsa dan jika tidak dipertahankan akan hilanglah jatidiri bangsa kita sebagai Melayu dan Islam.


Gerakan Anti PPSMI (GAP)
Sekretariat PKPIM Pusat,
Kompleks Anjung Rahmat,
Batu 6, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur.

Tel : 03-61879520
Faks : 03-61842570
www.pkpim.net
spp@pkpim.net