Selawat dan salam buat junjungan besar, Muhammad saw…
Sejunjung pujian dan doa kesejahteraan buat seluruh kaum kerabat dan sahabat-sahabat baginda yang tidak pernah lari daripada perjuangan suci membawa rahmat kepada seluruh alam...
Sekalung tahniah buat sahabat-sahabatku diluar sana yang tidak pernah kenal erti lelah dan jemu memperjuangkan yang hak dan membanteras yang batil, dikala dihenyak arus kekejaman dan penindasan yang mengganas didunia ketandusan ketamudan hari ini.
Salam perjuangan buat sahabat-sahabatku sekalian....
Maafkan penulis, kerana setelah sekian lama menyepi dari arena penulisan untuk seketika... Bukanlah kerana merajuk atau berkabung, namun ada beberapa masalah teknikal telah membelenggu penulis sehinggakan penulis telah gagal untuk memperbaharui entri yang sedia ada...harapnya, segala kecacatan dan kenaifan ini dapat dimaafkan oleh pembaca sekalian.
Menyorot kembali peristiwa-peristiwa penting sejak 3bulan lalu, bermacam-macam perkara yang penulis merasakan pelik, namun benar telah berlaku. Bermula dengan isu kandang khinzir di Selangor, disusuli Isu DEB akibat kenyataan ketua menteri Pulau Penang, Lim Guan Eng, Kenyataan Akhbar kontroversi oleh YB Karpal Singh,Krisis makanan global, Isu kuota biasiswa 55-45, dan yang terkini, isu kenaikan harga minyak yang telah mengundang kecaman masyarakat kepada kerajaan memerintah.
Aaaahh....
Secara jujur, penulis agak bingung memikirkan keadaan dunia hari ini... bermacam-macam masalah menggigit tubuh isi rumahnya, begitu banyak kerunsingan yang direka, begitu banyak yang menindas, begitu kuat melanyak si tertindas.
Apapun, secara kesuluruhannya, penulis beranggapan kebanyakan masalah yang terjadi boleh ditakrifkan sebagai normal akibat daripada pasca pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Sungguh menarik jika difikirkan.... di sini penulis akan cuba mengupas setiap satu masalah secara ringkas untuk dikongsi bersama pembaca sekalian.
Khinzir... atau Babi dalam bahasa kasarnya, satu perkataan yang amat sensitif untuk golongan melayu muslim di negara ini. Malah lebih melucukan, perkataan tersebut lebih hina dan haram jika dibandingkan dengan beer, scotch atau – arak.Maka tidak hairanlah sekiranya kandang khinzir mahu didirikan secara besar-besaran, marah sungguh sekalian umat melayu, terus diacukan keris warisan ke udara, terus ditohmah kata-kata nista kepada si pembina,- apatah lagi penguasanya adalah seorang melayu, Islam, tokoh yang dihormati?,Sedangkan kilang minuman keras masih lagi berdiri megah, peminumnya bukan sahaja bukan muslim, malah muslim ”totok” turut menunggak ”air setan” itu sejak usia hijau walau dibangku sekolah lagi.Tiada siapa peduli, tiada siapa melalak atau melolong, tiada siapa meratap, tiada siapa menangis... wah! Sungguh ironi bukan?, Walhal, kedua-duanya adalah sama tara haramnya disisi agama Allah... bukankah begitu??. Begitu menakjubkan Malaysia ku ini.
Tidak dinafikan, adalah tanggungjawab seorang pemimpin Muslim untuk memelihara kebajikan penduduk bukan islamnya...Adalah tanggunjawab mereka untuk membenarkan makanan yang haram buat kita kepada mereka, dengan tertakluk kepada beberapa syarat dan peraturan..Sahabatku sekalian, masih ingatkah gejala virus nipah, coxakie, yang melanda negara beberapa ketika dahulu? Masih ingatkah gejala pencemaran najis khinzir di Negeri sembilan?. Mengapa ia terjadi? Mengapa ia mudah merebak?
Pada pendapat penulis, ianya terjadi kerana ketiadaan kawal selia secara moden yang berpusat oleh pihak berwajib. Ketika itu, kandang-kandang khinzir diuruskan secara tradisional, melalui teknik secara turun temurun, mengundang bau busuk, serta masalah penyorokan khinzir ketika virus nipah merebak akibat takut mengalami kerugian mendadak.... Fikirkan sejenak...apakah penyelesaiannya? Pada penulis, sudah tentulah penternakan berpusat, senang dijaga, senang diselia, senang DIHAPUSKAN ketika wabak penyakit melanda.
Alahai DEB.... indah khabar dari rupa...sudah hampir 30tahun DEB dilaksanakan, tetapi apakah hasilnya? KEGAGALAN...dasarnya cukup menarik, antaranya rancangan FELDA, tawaran pembelajaran yang meluas kepada kaum bumiputera, limpahan kekayaan melimpah ruah untuk sekalian umat melayu, pembangunan fizikal secara besar-besaran... namun, masih lagi ramai umat melayu terdesak, terpinggir, tersepit dek kemelut kerasukan kuasa ekonomi laissez fairre... Timbulnya persoalan perdana... Mengapa?? Kenapa?? Dan siapa???... berbillion dijana, berjuta tenaga gerak kerja dikumpul, beratus profesional seantaro dunia dipanggil untuk mempeloporinya, Namun masih lagi gagal dek kerana polisi berat sebelah yang dianjurkan, prinsip pembahagian kekayaan secara politik kepartian, si penentang terus dipingggir dari cabaran ekonomi perdana, si penyokong disumbat dengan kekayaan bak menatang minyak yang penuh... Maka tidak hairanlah jika rumah datuk Z sebesar istana raya ditengah-tengah setinggan kota!! Hah!! Dunia...
Rujuklah perlembagaan negara tercinta ini, mana katanya kuasa sultan seperti di zaman feudal?, faktanya sultan hanyalah simbol kehormatan, dan kuasanya telah disekat sebesar-sebesarnya sejak di zaman penjajahan British lagi. Jika Yb Karpal berkata begitu, kenapa mahu melatah? Bukankah ianya realiti yang tidak langsung janggal? Mengapa tergesa-gesa membawa Karpal ke muka pengadilan? Sana sini sedondong ke balai, melapor kekusutan kenyataan peguam itu? Secara jujurnya, penulis langsung tidak peduli sekiranya karpal disoal siasat atau didakwa... Namun apa yang menarik perhatian penulis, dimana si bacul yang mengutuk sultan terengganu sebagai ”natang (binatang)” ketika YB Idris jusoh tidak dilantik sebagai Menteri Besar selepas pilihanraya lalu? Di mana mereka? Disembunyikan? Didiamkan sahaja? Sungguh ironi, bila si singh mengutuk, terus menghunus parang, tetapi apabila simelayu hamba sultan itu sendiri mencela, di bela?
Adalah mengejutkan...apabila kuota peruntukan biasiswa yang sekian lama didominasi oleh kaum bumiputera telah diubah kepada margin 45-55...Tidak perlu betulkan skrin anda, kerana itulah kenyataan...Penulis, bukanlah seorang pemegang prinsip kolot ”ketuanan Melayu” atau ”hidup melayu”, namun, penulis tetap menentang kenaikan kuota yang pada hemat penulis boleh disifatkan sebagai drastik oleh pihak pemerintah. Tidakkah mereka sedar, masih berapa ramai penuntut-penuntut melayu tercicir dek arus pendidikan perdana kerana tiada bantuan kewangan? Apakah yang akan terjadi kepada mereka, apabila kos hidup yang semakin hari semakin menekan kehidupan rakyat, ditambah pula dengan kegagalan memperolehi biasiswa tajaan pihak kerajaan?. Penulis mencadangkan kertas kerja ini dikaji semula dengan lebih teliti, dan margin tersebut dikurangkan samada 30-70 atau 25-75, dimana ia dilihat sebagai lebih ”berpatutan” dengan masyarakat kontemporari hari ini.Hal ini kerana, masih lagi ramai masyarakat melayu yang terpinggir daripada arus ekonomi perdana, masih ada lagi peminta sedekah, masih ramai lagi menjual tisu dikaki lima, .. wahai pemerintah, janganlah kerana dek kekalahan dan kekalutan parti kompenan anda selepas pilihanraya memaksa anda bertindak sebegitu rupa demi mendapatkan sokongan mereka, janganlah jadikan rakyat sebagai mangsa permainan politik terdesak kamu....
Tidak cukup dengan itu, penderitaan rakyat semakin terbeban dengan kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah, baru-baru ini.Kenaikan sebanyak 30% itu cukup untuk membuatkan rakyat terseksa akibat keputusan yang dibuat dalam mesyuarat ”4 jam ” itu. Bergegaslah rakyat dari segenap pelusuk negara ke stesesn-stesen minyak berdekatan untuk membeli minyak, sehingga mendatangkan kekecohan disesetengah bandaraya.
Menangislah petani-petani, nelayan-nelayan, pengusaha bas dan teksi serta peniaga-peniaga kecil kerana kenaikan harga minyak mendadak ini. Bukalah mata anda wahai bangsaku! Di mana pembelaan dikala rakyat bergelumang dengan air mata darah? Di mana pengubat keresahan dikala dasar menindas dan rakus menjahanamkan negara bangsa kita? Di mana ’malaysia boleh’, ”ketuanan melayu” dan gelombang biru?? Sudah diganti dengan koridor-koridor baru yang bertunaskan pembangunan fizikal semata-mata?
Bangunlah pejuang!
Kita Gegarkan seantaro bumi ini
Demi yang tertindas
Demi agama
Demi bangsa
Demi negaraku Malaysia...
Salam
Ibn Qadir