Rukun muafakat elak sengketa M'sia-Indonesia



Dua pertubuhan pelajar Malaysia dan Indonesia hari ini menandatangani lima rukun permuafakatan dan pendirian bersama sebagai panduan dan inisiatif "untuk mencari titik noktah kepada pertikaian dan persengketaan yang telah berlarutan antara kedua negara.

Dua pertubuhan tersebut ialah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mewakili pelajar Malaysia dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) yang mewakili pelajar Indonesia.

Lima rukun permuafakatan dan pendirian bersama itu dipersetujui dan ditandatangani hari ini oleh Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz dan Ketua UMUM PII, Nashrullah Al-Ghifary.

Lima pendirian bersama itu adalah:

Menginsafi nilai persaudaraan Islam dan persamaan rumpun Melayu antara rakyat Malaysia-Indonesia dalam berhadapan dengan pelbagai isu yang melibatkan kedua-dua negara.

Memberi keutamaan kepada pendekatan yang bersifat musyawarah, diplomasi, perbincangan dalam menghadapi sesuatu isu yang melibatkan kepentingan bersama.

Menjauhi sebarang tindakan yang bersifat emosi semata-mata di mana akhirnya menjurumus kepada kekerasan dan kebuntuan dalam mencari jalan penyelesaian.

Menyeru generasi pelajar kedua-dua negara untuk memupuk persafahaman yang ampuh dan jitu dalam semua aspek termasuk kebudayaan, idealisme, ekonomi, sosial, keselamatan dan sebagainya.

Melahirkan generasi pelajar Malaysia-Indonesia sebagai agen penyatu masyarakat kedua-dua negara sekiranya terdapat sebarang konflik terkemudian yang timbul.

Dalam kenyataan bersama hari ini, PKPIM dan PII mengharapkan agar pendirian bersama dua pertubuhan pelajar Malaysia dan Indonesia itu, dijadikan sumber rujukan dalam menghadapan dengan masalah yang timbul.

"PKPIM dan PII bersedia untuk meneruskan wacana perbincangan yang menghubungkan generasi muda kedua-dua negara sebagai pentas untuk mencari titik pertemuan dan persamaan di antara kedua belah pihak," kata kenyataan itu lagi.


KONFLIK MALAYSIA- INDONESIA: GERAKAN PELAJAR DUA NEGARA CAPAI PENDIRIAN BERSAMA.


Dalam zaman di mana usia negara Malaysia dan Indonesia telah menggapai tempoh kematangan sebagai sebuah negara yang berdaulat, seharusnya isu pertikaian tentang soal-soal asasi berkaitan dengan kedua-dua negara tidak lagi timbul. Jika kita menyusuri kembali rentetan sejarah, sejak era 60-an sehingga kini, situasi hubungan kedua-dua negara tidak pernah sunyi dari konflik pertikaian yang kian lama kian menular tanpa diakhiri dengan usaha untuk mencari titik persamaan.

Permasalahan-permasalahan serumpun seperti yang dibangkitkan seringkali berlarutan dan sentiasa berulang dari semasa ke semasa, malah lebih mengecewakan, pendekatan yang diambil oleh kedua-dua pihak dalam menyambut permasalahan ini seringkali dicemari dengan kegagalan akibat dari mengambil pendekatan yang bersifat emosi semata-mata tanpa menitikberatkan soal permuafakatan yang lebih berwajah segar dan rasional. Ini bertentangan dengan wadah diplomasi yang bertujuan untuk merungkai punca dan merangka penyelesaian secara kritikal.

Sepertimana yang dinyatakan, konflik antara kedua-dua negara bukanlah suatu perkara yang segar dan baru. Malah ianya seakan-akan bersifat pengulangan akibat dari kegagalan untuk menyaksikan penyelesaian ampuh berkenaaan dengan isu-isu lampau. Akibat dari kegagalan ini, dunia telah menyaksikan permasalahan yang pada asalnya adalah mudah dan kerdil, menjadi soal yang begitu merumitkan.

Sebagai contoh, Peristiwa Konfrantasi yang tercetus antara Malaysia- Indonesia pada era 1960-an telah memberi impak buruk ke atas istilah hubungan antara kedua-dua belah negara. Hal ini diburukkan lagi apabila disusuli dengan isu-isu yang lebih terkemudian seperti isu kedaulatan Ambalat, isu berkenaan dengan tenaga buruh dan pembantu rumah, soal keaslian budaya serta identiti dan sebagainya.

Malangnya, beberapa persoalan utama seperti nilai serumpun Melayu dan persaudaraan Islam seringkali dilupakan dan dikesampingkan oleh rakyat kedua-dua pihak dalam melihat konflik yang berlaku. Konflik seperti ini tidak seharusnya terjadi sekiranya kita menginsafi hakikat bahawa terdapat jalinan kekeluargaan di antara rakyat kedua-dua belah negara di mana secara realitinya susur galur keturunan rakyat kedua-dua belah pihak adalah sama. Ini terbukti dengan terdapatnya beberapa etnik Melayu di Malaysia seperti bugis, jawa, dan minang yang pada asalnya menetap di Indonesia .

Atas keinsafan berdasarkan hakikat tersebut, maka pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mewakili seluruh pelajar Malaysia dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) yang mewakili seluruh pelajar Indonesia telah mencapai lima rukun permuafakatan dan pendirian bersama sebagai panduan dan inisiatif untuk mencari titik noktah kepada pertikaian dan persengketaan yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Pendirian bersama yang telah dicapai adalah :

1) Menginsafi nilai persaudaraan Islam dan persamaan rumpun Melayu antara rakyat Malaysia-Indonesia dalam berhadapan dengan pelbagai isu yang melibatkan kedua-dua Negara.

2) Memberi keutamaan kepada pendekatan yang bersifat musyawwarah, diplomasi, perbincangan dalam menghadapi sesuatu isu yang melibatkan kepentingan bersama.

3) Menjauhi sebarang tindakan yang bersifat emosi semata-mata di mana akhirnya menjurumus kepada kekerasan dan kebuntuan dalam mencari jalan penyelesaian.

4) Menyeru genereasi pelajar kedua-dua Negara untuk memupuk persefahaman yang ampuh dan jitu dalam semua aspek termasuk Idea, budaya, kebajikan, keselamatan dan sebagainya.

5) Melahirkan generasi pelajar Malaysia- Indonesia sebagai agen penyatu masyarakat kedua-dua negara sekiranya terdapat sebarang konflik terkemudian yang timbul.

Maka, pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) mengharapkan agar pendirian bersama yang dicapai oleh pertubuhan pelajar kedua-dua belah negara ini dijadikan sumber rujukan utama oleh masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda Malaysia dan Indonesia dalam berhadapan dengan permasalahan semasa dan mendatang yang timbul. Pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) bersedia untuk meneruskan wacana perbincangan yang menghubungkan generasi muda kedua-dua negara sebagai pentas untuk mencari titik pertemuan dan persamaan di antara kedua-dua belah pihak.

Lima rukun permuafakatan dan pendirian bersama ini telah dipersetujui dan ditandatangani pada 10hb September 2009 bersamaan dengan 19 Ramadhan 1430H oleh:


Muhammad Faisal Aziz Nashrullah al Ghifary

Presiden PKPIM Ketua Umum PII


PKPIM Anjur MIFTAH 2009


Kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia akan sekali lagi diraikan dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh oleh seluruh umat. Di peringkat Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), kehadiran bulan Ramadhan tahun 1430H ini sekali lagi tepat dengan suasana dan keadaan semasa. Kesempatan untuk berpesta ibadah, untuk melakukan muhasabah, membersihkan jiwa serta mendidik diri perlu dimanfaatkan oleh seluruh ahli PKPIM yang baru sahaja selesai melaksanakan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) yang ke-48.

Sebagai sebuah gerakan pelajar Islam peringkat kebangsaan, PKPIM sekali lagi akan mengadakan program tradisinya dalam bulan Ramadhan yakni Majlis Iftar Mahabbah (MIFTAH) dengan tema “Sentuhan Kasih Ramadhan Pertaut Hati Umat”. Peluang untuk bersama-sama meraikan bulan Ramadhan, mengukuhkan ukhuwwah sebagai elemen penting dalam gerakan ini, serta bersama-sama melaksanakan ibadah secara berjemaah adalah kesempatan yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Selain daripada itu, peluang untuk melakukan pendidikan dan pembaikan diri sempena bulan Ramadhan ini juga tidak harus dilepaskan.

Justeru, bagi sambutan MIFTAH 1430H ini, PKPIM mengambil kesempatan yang sangat baik ini bagi mengeratkan lagi ukhuwwah, serta memperkukuh kesatuan hati, fikir dan tindakan para ahli. Di samping ibadah-ibadah khusus yang biasa dilakukan dalam bulan Ramadhan, MIFTAH 1430H ini juga akan memberikan penekanan kepada pengisian-pengisian yang fundamental dan penting tentang hal-hal gerakan (harakiyyah) dan da’wah. Selain itu, PKPIM mengambil inisiatif untuk membincangkan isu perundangan Islam yang menjadi topik perbualan hangat hari ini agar seluruh mahasiswa mendapat kefahaman yang jelas tentang isu yang berlegar di sekeliling kita.

Perutusan Kemerdekaan oleh Presiden PKPIM

Merdeka & Sarwa Pandang Anak Muda

Abad ini telah menyaksikan dunia Islam telah mengalami proses untuk membebaskan dirinya daripada cengkaman penjajah. Akan tetapi perkembangan dunia Islam selepas perjuangan kemerdekaan rata-ratanya kosong dari segi roh penghayatan dan pengisian kemerdekaan. Sebagai contoh, di setengah negara, penjajah telah digantikan dengan diktator pribumi yang adakalanya lebih kejam dari penjajah yang diusir. Sementara itu, krisis akhlak dan jati diri anak muda di negara yang disebut semakin menular dan telah melepasi garis kebimbangan. Ditambah pula dengan sifat dan adab murninya yang sudah ditutupi oleh tabir kenyataan masyarakat yang secara zahir dhaif budinya.

Situasi ini menuntut suatu rencah baru untuk disajikan kepada generasi muda hari ini. Secara umumnya, perencanaan yang kita laksanakan secara rutin dengan tujuan untuk menghargai peristiwa 31 Ogos 1957 masih memperlihatkan kekurangan yang harus diperbaiki. Ini mungkin dapat dilihat dengan lebih ketara menerusi sambutan kemerdekaan tanpa disusuli dengan penghayatan dan dijiwai roh pengisian kemerdekaan sebenar.

Hakikat kemerdekaan sebenar tidak seharusnya dipandang dari sudut simbolik semata-mata, tetapi harus juga dijiwai dari sudut maknawiat. Lantaran, pemupukan fahaman merdeka yang lebih meluas harus terus diterapkan dalam diri kita sebagai generasi penerus kepimpinan negara. Secara asas, kemerdekaan ditakrifkan sebagai pembebasan sesebuah bangsa dan negara dari penjajahan. Namun, kemerdekaan sesuatu bangsa sendiri dari perspektif pemodenan harus dirumus meliputi aspek kemerdekaan jiwa, pemikiran dan budaya dari dipengaruhi dan diracuni sumber asing yang negatif sifatnya.

Penghayatan kemerdekaan yang dicari itu bertitik-tolak dari penghayatan sejarah kemerdekaan yang meliputi sudut perjuangan pembebasan dari penjajah biadap. Hari ini nama-nama seperti Dato Onn Ja’far dan Tunku Abdul Rahman mungkin dikenali generasi hari ini. Namun, tokoh pejuang lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ust Abu Bakar Al-Baqir, Pak Sako, Shamsiah Fakeh, Keris Mas dan sebagainya mungkin sudah pupus dari kamus sejarah kemerdekaan anak muda.

Penghayatan sejarah tersebut bukan hanya sekadar untuk kita bernostalgia kosong, tetapi menyambut saranan Allahyarham Pak Natsir kepada kita khususnya generasi Islam untuk berfikir dalam perspektif sejarah memandangkan kita hidup dalam rangka umat manusia yang usianya lebih panjang dari usia kita sebagai individu. Maka sejarah pengorbanan perjuangan mereka tidak hanya wajib diketahui tetapi juga dijiwai.

Dalam pada itu, Ibn Khaldun juga mengingatkan bahawa apabila tamadun sampai ke tangan generasi yang jauh dan melupakan pengorbanan generasi pertama, serta sudah tenggelam dengan kemewahan, maka tamadun tersebut akan menghadapi bibit-bibit kemerosotan dan seterusnya mengalami kejatuhan.

Perit jerih pembinaan asas sesebuah negara dan peradaban itu adalah suatu kebenaran yang tidak mampu disangkal. Namun, itulah yang disunnahkan dalam perjuangan iaitu mengejar sesuatu impian walaupun impian tersebut tidak akan dinikmati pejuangnya. Maka saranan yang terbit hasil renungan panjang pemikir tersebut telah melahirkan tanggungjawab yang harus digalas oleh kita sebagai golongan terkemudian dengan tidak melupai generasi pembina atau generasi awal ini.

Sementara itu, penjiwaan kemerdekaan hanya dapat dirasai dengan kita kembali kepada pemikiran dan jiwa yang bebas serta asal usul budaya. Istilah “kembali kepada akar budaya” telah ditakrifkan dengan pelabagai definisi. Bagi setengah ‘melayu moden’ ia berupa seruan untuk mengajak kembali kepada cara hidup lama. Tanggapan sebegini telah mencerminkan ketidakfahaman kita terhadap maksud budaya memandangkan kita hanya melihat kulitnya, tanpa mengambil kira isinya.

Padahal yang penting pada budaya ialah sistem nilai yang tersirat dalam budaya itu. Menurut Dato’ Dr Hasan Ahmad adalah suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa budaya itu lahir dari pemikiran manusia dan pengalaman bersama anggota bangsa. Sebagai contoh nilai keadilan dan permuafakatan yang terbit dari proses tersebut.

Realitinya, proses perubahan hidup moden tidak berlaku secara meliar melainkan ditapis oleh peraturan asas. Asas ini terletak pada nilai yang dipegang anggota masyarakat sejak turun temurun sebagai panduan hidup bersama. Manakala, tradisi pula adalah proses penciptaan budaya yang sambung-menyambung, tidak kira dalam zaman apa. Maka, tidak wujud istilah tradisi lama dan tradisi baru melainkan hanya tradisi sezaman iaitu tradisi yang menjadi acuan bagi apa-apa perubahan. Melalui proses inilah budaya dan tamadun sesuatu bangsa kekal ampuh walau ditelan zaman. Maka yang dimengertikan sebagai maksud ‘kembali’ adalah kembali mengenali sistem nilai bangsa sendiri.

Garis panduan dan acuan ini telah mencorak sikap positif kita dalam menerima peradaban barat yang tidak memaksa kita mengorbankan prinsip dan ajaran dasar agama semata-mata untuk mengikut arus masa dan melayani ragam zaman.

Sememangnya, antara barat yang mempersonakan dan kebudayaan sendiri yang tampak hina, menjadikan akal pemikiran anak muda gusar dan gundah gulana. Maka, landasan tradisi dan budaya harus dijelmakan agar kita tidak dikenang sebagai si Tenggang yang derhaka kepada jati diri dan budaya sendiri. Suatu anjakan harus dilakukan dengan tidak hanya mengamalkan ciri-ciri luaran budaya semata-mata, tetapi turut melibatkan ciri dalamannya sebagai acuan dalam pembagunan bangsa.

Penjelmaan akar budaya dan tradisi ini dituntut dalam mendepani cabaran mendatang. Cabaran yang dilalui berupa dalam pelbagai bentuk. Mungkin dalam bentuk cubaan ‘bil-khair’ (kesenangan), dan mungkin juga dalam bentuk ‘bil-shar’(penderitaan). Ramai yang lulus apabila diuji dengan cubaan ‘bil-shar’, tetapi tidak demikian apabila diuji dengan ‘bil-khair’ seperti lebih banyaknya semut yang mati kerana gula dari yang mati kerana cuka.

Allahyarham Pak Natsir juga seringkali mengingatkan supaya ‘jangan sambil membangun kita robohkan” – membangun gedung sambil merobohkan akhlak, membangun industri sambil menindas pekerja, membina prasarana sambil memusnahkan lingkungan. Dalam erti kata lain, dalam kesibukan kita mengejar kemodenan tidak seharusnya kita nafikan peranan kita dalam membangun suatu generasi yang kukuh dari segi jati diri dan pemikirannya.


Maka, tugas dan perjuangan kita sebagai anak muda adalah kearah mengisi makna kemerdekaan sebagai penyambungan tradisi perjuangan mereka yang memperjuangkan kemerdekaan lebih 50 tahun lalu. Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d, “Bahawa Allah tiidak merobah nasib sesuatu kaum, kalau kaum itu tidak merobah keadaan dirinya”. Maka darjat bangsa yang rendah tidak akan kemana-mana tanpa dimulai dengan gagasan perjuangan anak mudanya.

Dari Robohan Kota Melaka,
Kita Bina Jiwa Merdeka,
Bersatulah Seluruh Baka,
Membela Keadilan Warisan Pusaka...

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)