Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Keputusan Kabinet Tentang status Agama anak wajar ditarik balik!

Assalamualaikum Warahmatullah,

Dan salam perjuangan buat teman-teman sekalian...

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi Maha Mengasihani, Engkau telah mengurniakan kami sebaik-baik agama, dan sebaik-baik rezeki. Lindungilah Agama kami dari segala ancaman mahupun penindasan, Kami Memohon kepadamu Ya Rabbbul Alamin..


Baru-baru ini, pola peningkatan pertikaian terhadap isu-isu sensitiviti terutamanya terhadap Agama Islam dilihat semakin membimbangkan. Proses sekularisasi didalam situasi politik yang semakin mencabar ini, dilihat sebagai salah satu usaha menangguk air yang keruh oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bertujuan untuk menjatuhkan martabat agama Islam di mata Masyarakat.

Saya merujuk kepada Keputusan Kabinet Berkenaan dengan Isu Pertikaian Mohd Ridzuan dan isterinya tentang status keagamaan anak-anak mereka.

Secara terang-terangan saya mengkritik keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa kabinet yang lalu. Hal ini kerana saya telah dapat mengamati terdapat beberapa kelemahan yang pasti ketika keputusan sedemikian dilakukan.


Pertamanya saya merujuk kepada jawatankuasa yang telah dibentuk dilihat sebagai tidak menghormati lunas-lunas perlembagaan dan sentimen penganut agama Islam itu sendiri. Ini bersesuaian dengan kehendak Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bahawa, Islam adalah Agama rasmi Persekutuan Malaysia. Justeru itu, tindakan Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Menteri bukan Islam seolah-olah memperlihatkan kurangnya kepekaan daripada pihak kerajaan terhadap sensitiviti Masyarakat Islam di negara ini . Ini diiburukkan lagi pabila keputusan tersebut dibuat secara terburu-buru tanpa merujuk kepada Majlis Mufti sedangkan Isunya seara langsung berkaitan dengan hak-hak dan lunas agama Islam.




Kekesalan ini jelas telah diluahkan oleh Mufti Perak, Dato' Harussani berkenaan dengan tindakan autotarian Jawatankuasa tersebut.

Seterusnya, pada hemat saya, keputusan ini juga telah menimbulkan Ultra Vires diantara badan kehakiman dan badan eksekutif. Didalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, ketiga-tiga organ utama (Eksekutif, Perundangan,Kehakiman) seharusnya dipisahkan secara kuasanya. Keputusan sedemikian secara rasionalnya diputuskan oleh pihak mahkamah, dan bukannya jawatankuasa peringkat kabinet. Ia adalah sebuah kewajipan untuk dinilai oleh hakim-hakim yang berkelayakan, bukannya ditangan ahli politik!.



Saya juga mengkritik tindakan Jawatankuasa Kabinet yang mengarahkan bahawa kes tersebut haruslah dibicarakan di Mahkamah Sivil. Pada pandangan saya, didalam resam perundangan, kedua-dua belah pihak terbabit berhak menyatakan petisyen kepada mahkamah yang difikirkan layak untuk membicarakan kes tersebut, dan pihak mahkamah sendiri akan memberi keputusan berkenaan dengan bidang kuasanya tentang perihal sesuatu kes. Ini selaras dengan kehendak Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa, sekiranya Ia jatuh didalam jurisdiksi mahkamah syariah, maka mahkamah sivil tidak mempunyai hak untuk mencampuri perihal tersebut. Perlu saya tegaskan disini bahawa, Jurisdiksi Mahkamah Syariah tidaklah datang secara Automatis, namun seperti yang saya perkatakan sebentar tadi, ia terpulang kepada keputusan mahkamah mengikut peruntukan-peruntukan yang sedia ada. Kejahilan sesetengah pihak berkenaan Institusi Mahkamah Syariah juga wajar diperbetulkan. Tidaklah sekiranya sesebuah kes dibawa kepada mahkamah Syariah, maka pihak yang berkepentingan Islam akan diberikan kemenangan. Sebaliknya, kes tersebut akan diadili, dan diteliti sebaiknya, dan tidak semestinya akan memihak kepada parti yang beragama Islam. Ini telah dibuktikan sejelas-jelasnya didalam kes Nyonya Tahir lawan MAIPP, dimana pihak mahkamah telah membenarkan permohonan murtad diatas dasar-dasar yang munasabah.



Seharusnya, Isu berkenaan dengan penentuan agama anak-anak didalam kes ini tidak perlu timbul. Hal ini kerana, sudah ada judicial prececent daripada kes terdahulu yang telah mengadilinya. Harus diingatkan, keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah adalah binding precedent, dan sepatutnya diikuti oleh kes-kes yang terkemudian. Permasalahan ini telah diselesaikan didalam kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray dimana mahkamah persekutuan telah memutuskan bahawa si bapa mempunyai autoriti terhadap pengislaman anaknya diatas semangat Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan walaupun tanpa persetujuan Ibunya. Dimaklumkan bahawa, perkara 12(4) menjelaskan bahawa, agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun perlu ditentukan oleh ibu-bapa(salah seorang) atau penjaga. Ini diperkukuhkan lagi oleh autoriti daripada Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 yang telah memperuntukkan bahawa seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah boleh memeluk agama Islam sekiranya ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga anak tersebut memberi keizinan.

Mengikut pandangan sebahagian Ahli Fiqh pula, secara lahiriahnya, setiap insan dianggap sebagai Muslim walaupun tanpa pengucapan syahadah secara khusus, sehingga dia mengatakan sebaliknya selepas mencapai Akil Baligh. Oleh kerana itu, tidak hairanlah sekiranya mayat kanak-kanak dibawah umur akil baligh dijumpai, maka ia adalah satu kewajipan kepada umat Islam untuk menguruskan jenazah tersebut dengan kaedah-kaedah Islam. Justeru itu, isu berkenaan pengislaman anak oleh seorang Mualaf seharusnya tidak timbul, memandangkan anak-anaknya secara lahiriahnya telahpun bergelar seorang Muslim.

Diatas autoriti-autoriti yang saya kemukakan diatas, saya menggesa supaya jawatankuasa Kabinet menarik kembali keputusan yang telah dibuat keatas kes tersebut. Langkah ini juga bersesuaian demi menghormati kuasa Mahkamah syariah dimana kes itu masih didalam proses perbicaraan supaya tiada konflik baru yang akan dilahirkan kelak.

Saya juga menyeru dokongan dan sokongan kalian dalam membantah keputusan yang telah dibuat oleh jawatankuasa kabinet demi menjaga maruah agama Islam dan Perlembagaan Negara yang tidak henti-henti dicabuli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang berkehendakkan penularan fahaman sekularisme.



Biar Nyawa tergadai, bukan Agamaku.



Demi Agama, Bangsa, dan Negara

Ibn Qadir

Blog Menghina Rasulullah : Penyiasatan yang lebih terperinci wajar disegerakan!

Wahai Tuhanku, Izinkanlah aku meninta demi menegakkan Agamamu yang kian diselaputi dengan penghinaan... ......................................................................................................................................................................



Sudah tamat episod “kangaroo” kes Lina Joy dan Aishah Bukhari, kini Islam sekali lagi menjadi medan serangan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawaban. Cuma ceritanya sedikit berbeda, bukan lagi Isu murtad, namun kegiatan yang boleh dikatakan lebih subersif dan lebih skeptikal, iaitu penulisan yang bertujuan menghina junjungan kita, Rasulullah sallalahualaihiwasallam…


Ya, memang benar, ini bukanlah sebuah episod baru.Memang ada sahaja anasir-anasir yang buta hati perutnya sentiasa ingin menjatuhkan nilai kredibiliti junjungan besar kita.Propaganda ini telah langsung dimulakan sejak hari-hari kehidupan Nabi Muhammad itu lagi, dan apa yang pasti, bapa kepada segala penghina Rasulullah ialah bapa saudara baginda sendiri, Abu Lahab. Masyurnya Abu Lahab itu sebagai penghina kekasih Allah sehingga diturunkan oleh Ilahi dengan surah khusus bagi menghina kembali bapa saudara Rasulullah itu :

“Maka celakalah Abu Lahab….”

Namun, tohmahan yang dilemparkan oleh Allah terhadap Abu Lahab ini seolah-olah disepikan oleh segolongan manusia. Ironinya, lebih ramai “anak, cucu-cicit” Abu Lahab meniru tindakan seperti orang tuanya.


Lihatlah orientalis seperti Jimmy Sweggart, yang menghina Rasulullah sebagai seorang phidophelia dan seorang penagih seksualiti, begitu juga dengan karikatur yang dilukis oleh seorang kartunis terkemuka di Denmark, bermaksud untuk menghina Nabi Muhammad sallalahualaihiwassalam, mengundang tunjuk perasaan oleh Umat Islam seluruh dunia, selain membawa kepada pemboikotan barangan buatan Denmark di beberapa buah negara Islam.


Namun, benih si Abu Lahab nampaknya kian subur, kian mekar… Jika dahulu, kita hanya boleh mendengar segala cacian dan perlekehan sumbang keatas baginda datangnya daripada puak orientalis yang bukanlah seorang Muslim, namun apa yang mengejutkan, kali ini ia didakwa didokongi oleh seorang Melayu!

Ya, Melayu.. !!


Jika diturutkan konotasi daripada Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Melayu itu adalah seorang yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, dan mengamalkan cara hidup melayu. Cuba kita lihat sekali lagi sahabat? Seorang Muslim?? Masyaallah wa Nauzubillah…

Nampaknya benih kita kian dicemari. Dirosakkan oleh dokongan ideologi sekular yang kian menjahanamkan bangsa dan agama kita. Lihatlah di sekeliling kita, berapa ramai yang kononnya menjadi seorang pemikir bebas atau lebih dikenali sebagai “free thinker”?. Berapa ramai yang kelihatan begitu berani mencabar fatwa berkenaan dengan isu Yoga? Berapa Ramai diantara kita yang begitu lantang mempersendakan golongan Ulama’ muktabar?


Maka Benarlah Sabda Rasulullah, Umat akhir zaman itu sudah tidak lagi menghormati para ilmuwan dan ulama'...


Namun itulah kenyataan, itulah hakikat yang cukup memeritkan. Apabila seorang Melayu yang telah dimuliakan oleh sinar Islam, dimana sejurus lahirnya dari kandungan diperdengarkan seruan azan, mencabar kekasih Tuhannya dan juga Penciptanya…

Realitinya, bukan hanya sebuah laman blog dan secebis artikel di laman sesawang yang diltulis demi menghina kekasih Allah. Malahan kiranya,terdapat beratus-ratus lagi laman seumpamanya yang tumbuh bak cendawan selepas hujan dewasa kini.


Kadangkala terlintas juga kehairanan didalam sanubari penulis. Kenapa hanya kini baharulah hal sebegini mahu diketengahkan? Kenapa kini baru mahu dibawa campur tangan Pak Menteri? Kenapa hanya secebis artikel yang dijumpai?




……..Di mana pula Ayah Pin pemimpin kerajaan langit bertugukan teko??.......(menyorok dalam teko??)


Apapun, secara peribadi, penulis tetap meghargai ketegasan dan keseriusan yang diambil oleh pihak pemerintah bagi menangani isu mutakhir ini. Alhamdulillah… dan penulis tetap akan berada dibelakang pihak pemerintah dalam apa jua usaha bagi menegakkan agama Islam , Insyaallah…

Namun besar harapan penulis, harapnya isu ini tidaklah “diangkat” hanya kerana tujuan politik semata-mata. Biarlah ia dilakukan dengan nama Allah yang maha agung. Jangalah hanya kerana mahu menunjukkan imej bersih kerana pilihanraya yang berdekatan, kesungguhan menegakkan agama itu datang mencurah –curah. Janganlah kerana hanya mahu menyaingi parti berbinkan Islam, maka pihak pemerintah juga mahu menunjukkan “keislamannya” .




Sahabatku,

Ini soal agama, ini soal Islam.. bersatulah dalam menegakkannya.., mungkin perbezaan ideologi dan pemikiran itu harus diketepikan sebentar, demi kesatuan dalam berjuang diatas agama Islam yang tercinta!



Ya Allah,
Selamatkanlah Agamamu,
Satukanlah Hati kami Umat Muhammad,
Dalam menuntut keadilan yang semakin tidak pasti,
Bukakanlah pintu hidayah buat mereka yang kesesatan mencari Arti…



Aku hanya mahu syahadah terpelihara jua,


Ibn Qadir

Ahli PKPIM

Apa sudah jadi dengan Warisan Melayu-Islam?

Dengan nama Allah..


Sedang lena dibuai mimpi, tiba-tiba penulis telah dikejutkan dengan pesanan ringkas dari seorang kenalan;

“http;//sejarahnagarakedah.blogspot.com , baca dan tolong beri komen”

Dikala masih lagi di alam separa mimpi, penulis termanggu seketika, apa yang mustahaknya blog ini sehingga di amanatkan supaya memberi komen tentangnya… penulis terus menggapai tetikus disebelah katil, dan terus membacanya…

Ya, memang menarik, dan pelik.. rumusannya blog ini membicarakan tentang fakta-fakta sejarah yang sedikit “unik” dimensinya berbanding dengan apa yang telah kita dalami di alam persekolahan dahulu… Terima kasih sahabat, kerana mengesyorkan penulisan ini.

Antara perkara yang didedahkan, tentang dakwaan wujudnya Empayar Islam terawal yang diberi nama empayar islam benua Siam kedah. Sudah tentu, ia amat asing daripada kotak pemikiran masyarakat kita hari ini, yang mungkin tidak langsung tahu menahu tentang kewujudannya.

Antara hujah yang diberikan, mengapa kita masih lagi menggunakan istilah siam, jarang sekali di sebut “Thailand”? menurut penulis blog tersebut, hal ini kerana warisan daripada kehebatan empayar Islam siam itu sendiri, dan nama Thailand itu direka-reka oleh kerajaan Buddha di utara yang telah melanggar kerajaan Ayanthuai sebagai satu perang psikologi bagi menghakis sejarah kegemilangan Islam di rantau ini.

Pembacaan ini menjadi kian menarik, dan pelbagai soalan timbul tanpa diminta pada fikiran penulis… Mungkinkah kerana wujudnya sebuah gagasan empayar Islam itu membuatkan sukarnya Alam Melayu tunduk ditangan Feringghi? Bukankah berasas pemikiran begini?



Jikalah benar dakwaan tersebut, hujah-hujah yang diberikan telah membuka lembaran baru dalam pengkajian sejarah. Dimensi pemikiran bahawa wujudnya sebuah empayar berpusat itu sepatutnya rasional, hal ini kerana konsep Negara Islam itu tidak pernah membataskan sempadan Geografi, Ras, mahupun warna kulit. Setiap inci tanah di bumi ini adalah Daulah Islamiyyah..—Milik Allah

Maka, tidak hairanlah wujudnya gagasan sebuah empayar yang menaungi seluruh Negara Islam kecil yang lain… memungkinkan Wujudnya empayar Islam Benua Siam Kedah, yang mungkin menaungi kesultanan Patani, Kedah, walau kesultanan Melaka sekalipun.Inilah yang diperkatakan sebagai konsep Feudalisme.

Tetapi persoalan mungkin timbul, masakan ada logika berkaitan dengan dakwaan tersebut?

Jika dilihat kembali kepada tawarikh, terdapat beberapa bukti senada dengannya yang boleh diutarakan oleh penulis. Tidak terfikirkah kita, mengapa kesultanan kedah bertindak memilih untuk tidak menghantar ufti kepada kerajaan Siam? Mungkin ada sabab musababnya, ataupun adalah mungkin, tiada jiwa Islam yang sanggup menghambakan dirinya kepada kerajaan Buddha yang bertanggungjawab memusnahkan kerajaan Islam yang lain? Bukankah itu boleh diterima akal yang sempurna? Keduanya, pada ketika itu sudah diketahui bahawa kemudahan teknologi pelayaran sudah mampu mendaratkan pedagang-pedagang muslim ke asia tenggara. Jika tidak, manakan mungkin Saad Bin Abi Waqqas tiba ke china lebih awal membawa seruan Islam? Secara bijak pandainya, yang lebih dekat akan lebih mudah dicapai, bukankah begitu?
Jika ada pedagang yang membawa seruan dakwah yang tiba, sudah tentulah akan berlaku proses Asmilisasi dan Islamisasi dikalangan masyarakat setempat, maka ini, sudah tentu tidak mustahil bagi melahirkan sebuah Negara, mahupun sebuah empayar!

Senibina itu sendiri berperanan sebagai bukti hakiki. Tidakkah aneh, jika kita lihat candi lembah bujang dan Angkor wat itu mirip senibina Arab Islam dan Mongul? Tidakkah aneh jika ia dianggap sebagai rumah ibadat hindu dan Buddha? Atau ia adalah seharusnya tapak bekas Istana kesultanan Islam?

Bagaimana pula dengan cerita Hamzah Fansuri? Yang dikata menuntut ilmu pengajian Islamnya di Siam? Bukankah satu perkara yang Ironi jika Kerajaan Siam itu adalah sebuah kerajaan Buddha?

Apakah Ulama-ulama sejarah kita terlepas pandang, atau fakta tersebut sengaja diselewengkan demi memenuhi kepentingan pihak atau organisasi tertentu??


Penyelewengan sejarah dunia dan peradaban, bukanlah sesuatu perkara yang begitu asing didalam hidup kita, lihatlah bagaimana pemikir sosialis seperti Leon Trotsky itu disingkirkan lipatan sejarah oleh gerombolan Stalinist, begitu juga dengan kecacatan laporan Buku teks tingkatan 5 yang mengatakan peristiwa HARTAL itu adalah satu gerakan komunis, lihatlah bagaimana Injil itu diputar belitkan melalui new testement dan kitab versi King James --- Semua itu Dusta Belaka!


Terdapat pelbagai variasi kemungkinan yang timbul kerana keterdesakan penyelewengan tersebut. Antaranya, ia mungkin sebagai sebuah medium perang psikologi bagi melumpuhkan semangat solidariti dan kebanggaan terhadap kegagahan Islam itu sendiri.Semangat pejuang yang luntur, memudahkan anasir jahat memusnahkan dirinya. Begitu juga dengan empayar Islam, bukanlah mudah untuk merobeknya sekali gus, seperti mana Genghis Khan merobek seluruh empayar Rom yang tidak bertuhan itu. Berkat ketuanan Islam (bukan ketuanan bangsa Melayu) ,Maka terfikirkah kita, mengapa orang-orang feringghi dan belanda tidak meluaskan jajahan takluk mereka keseluruh tanah melayu serta merta? Mengapa selama 200 tahun mereka terbuku di Melaka sahaja? Mungkinkah Alfonso De Alburqaque sudah kekeringan strategi, atau ada wujudnya sebuah empayar yang kukuh, begitu mustahil untuk ditewaskan?




Strategi kelumpuhan minda dan keyakinan ini diteruskan, malah ke hari dewasa kini, umat melayu terus dilontarkan dengan tuduhan pemalas, bodoh, dan tidak berfikiran jauh. Inilah kata-kata yang bertanggungjawab melumpuhkan umat melayu – Islam kini.
Apabila keyakinan dan harga diri berjaya dikurangkan, pihak penjajah meneruskan strategi dengan melakukan dasar pecah perintah, misalnya, johor itu untuk orang johor, kedah itu adalah bagi orang kedah dan sebagainya. Strategi jahat ini semakin menebal didalam jiwa luhur umat Islam, sekaligus membentuk sifat asabiyyah, sifat prejudis antara satu sama lain.Sama sekali telah melenyapkan kesatuan Islam yang terbina, membawa kepada perpecahan, dan menyumbang kepada pertikaman sesama sendiri.

Seterusnya langkah pelengkap, sebagai memenuhi petak kosong yang tertinggal, transmisi budaya luar di bawa masuk ke dalam daulah islamiyyah.Bermula dengan sekadar pakaian, akhirnya dibawa kepada sistem perundangan, sekaligus menghancurkan lagi identiti masyarakat Islam itu sendiri.Hal ini bagai meniru strategi yang diajurkan Alexander the Great, dimana baginda telah memperkenalkan budaya greek-yunani diseluruh jajahan takluknya, bagi tujuan menghapuskan solidariti bangsa kepada negaranya, maka terbentuklah sebuah Bandar yang digelar Alexandria… (satu perbandingan: bermula dengan penghapusan tulisan jawi, kepada pengenalan sains dan matematik didalam bahasa inggeris, adakah ia hanya sekadar permodenan atau agenda globalisasi menghapuskan jati diri sesebuah bangsa? Tolong fikirkan..)




Kesannya dapat dilihat dimana sahaja pada hari ini; Melayu itu hanya sekadar melayu, seolah terlucut keislamannya, sejarah kegemilangan melayu Islam itu bagai dipinggirkan, bukan sahaja dijalanan, malahan juga didada-dada buku teks pengajian sekolah. Hal ini terus mendorong kearah pemabatutan pertumbuhan gerakan dakwah semasa, yang sering berhadapan dengan cabaran digelar kolot dan jumut kerana masyarakat ini sudah berkiblatkan budaya barat.Ia seterusnya membawa kepada krisis keraguan identiti melayu Islam itu sendri, memacu kepada masalah politik kontemporeri, masalah politik berasaskan Rasisme.Lebih memburukkan lagi, akibat terhakisnya jati diri itu, Melayu kian ragu terhadap kemampuan untuk berdiri sendiri, merasakan dirinya lebih inferior daripada kaum-kaum yang lain, lebih-lebih lagi kepada golongan kulit putih!. – Inilah masalah melayu SEBENAR!

Hasil daripada penelitian diatas, beberapa tindakan susulan haruslah disusun secara pro aktif bagi menangani permasalahan mutakhir ini. Sebetul-betulnya, Kajian yang lebih jujur dan adil haruslah dilakukan dan di teliti secara serius oleh pihak yang bertanggungjawaban, ini selaras dengan pembentukan semula kaum melayu Islam yang menuntut kepada pemupukan semangat untuk mengenal asal usul, diri, dan keturunan.

Pemwartaan lebih banyak kawasan yang membawa nilai estitika sejarah haruslah dilakukan dengan lebih serius. Hal ini kerana, melalui pemwartaan kawasan-kawasan tersebut, ia boleh menjadi satu simbol keyakinan kepada masyarakat yang semakin buta sejarah ditelan kebejatan pemikiran moden. Lebih mustahak, rombakan matapelajaran sejarah itu haruslah dilakukan, biarlah bagaimana peritnya sekalipun, harapnya generasi kita tidak terdidik dengan pembohongan dan penipuan oleh pihak-pihak tertentu dengan hanya bertujuan untuk menjaga kepentingan diri dan organisasi mereka sahaja!

USAH PANDANG KEPADA SAINS DAN MATEMATIK SAHAJA, SEDANGKAN WARISAN KITA TERABAI!!!


Pecinta warisan Dunia

Ibn Qadir


Salam perjuangan!

Buka sempadan!!!!

Assalamualaikum warah matullah

Selawat dan salam buat junjungan besar buat rasul pilihan, Muhammad saw..
Buat pejuang-pejuang agama Allah yang tidak pernah kenal erti lelah dalam berjuang, tekadkan I’tiqad, teruskan perjuangan, semoga bantuan Allah akan sentiasa bersama kamu…



Sahabat ku,

Seperti yang kita sedia maklum, krisis kemanusian di Palestine telah menjadi semakin meruncing dan semakin parah..
Hal ini kerana tindakan Kerajaan mesir yang telah menutup sempadan mereka dengan semenanjung Gaza sejak beberapa minggu yang lalu… Hal ini berikutan kononnya sebagai salah satu cara untuk memberi tekanan kepada pihak Hamas yang berkuasa di semenanjung Gaza supaya menghentikan serangan terhadap Israel bagi tujuan menghormati genjatan senjata yang telah dipersetujui bagi kedua-dua belah pihak.

Kini, semenanjung Gaza boleh dianggap sebagai penjara yang terbesar didunia, tiada bekalan elektrik, ubat-ubatan, bahkan diberitakan krisis bekalan air bersih telah menjadi semakin meruncing akibat tiada bekalan bahan kimia bagi tujuan pengitaran air tersebut..

Penulis melihat situasi ini sebagai langkah sistematik bagi tujuan penghapusan etnik di semenanjung Gaza, disamping sebagai salah satu cara untuk melemahkan semangat juang gerakan Hamas di Palestine.

Sebagai seorang muslim, penulis berasa cukup sedih kerana terdapat Negara islam yang sanggup mengorbankan nyawa saudaranya sendiri hanya kerana tekanan politik, lebih-lebih lagi ianya datang daripada Negara-negara yahudi yang sememangnya terkenal sebagai dalang dalam menjatuhkan umat Islam hari ini…



Penulis hairan, ke mana perginye OIC? Kemana perginya majlis keselamatan PBB? Kemana perginya gerakan-gerakan Islam yang sebelum ini lantang memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Palestine?

Sehinggakan di Malaysia sendiri, tiada protes secara aman yang dilakukan kepada Kerajaan mesir dan kuasa-kuasa besar, tiada kenyataan rasmi dibuat bagi tujuan mendesak agar sempadan Gaza-Mesir dibuka kembali.. Lebih memalukan, pada pengetahuan penulis, hanya jawatankuasa menteri-menteri Negara Eropah (EU) yang lantang membuat kritikan terhadap penutupan sempadan tersebut.. EU? Dimana Malaysia, Arab Saudi, Brunei, Qatar, UAE dan Negara-negara Islam yang lain?? Mengapa tiada tekanan politik dilakukan keatas Mesir?


Baru-baru ini, penulis telah berkesempatan mengikuti delegasi dari Pertubuhan kebajikan pelajar Islam Malaysia ke jabatan perdana menteri bagi menyerahkan memorandum berkenaan dengan isu pelarian Palestine kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ seri Abdullah Ahmad Badawi.


Serba sedikit mengenai memorandum tersebut, kami bersama 11 gerakan yang lain telah mencadangkan kepada Kerajaan Malaysia supaya mempertimbangkan rancangan untuk membawa sebahagian pelarian Palestine ke Malaysia bagi tujuan kemanusiaan. Alhamdulillah, majlis tersebut telah disempurnakan, dan besar harapan kami, agar Kerajaan persekutuan menimbang dengan searifnya terhadap cadangan yang telah dikemukakan.

Penulis menyeru, kepada rakan pembaca sekalian, terus berdoa, dan terus menyokong perjuangan menegakkan keadilan dan keamanan di bumi Palestine..


ALLAHUAKBAR!!!


Ibn Qadir
Ahli PKPIM

remembering natrah....


Ummat Islam sangat pantang kalau agama suci mereka disentuh atau dipermain-mainkan. Bila terkenang kembali kisah Natrah (bekas isteri Mansor Abadi) yang mana ummat Islam Tanah Melayu membuat rapat umum di Singapura dihadiri lebih 2,000 orang, yang mengakibatkan seramai 18 orang mati syahid dan 173 orang cedera parah bagi mempertahankan akidah seorang muslimah.Kini, timbul pula isu yang juga melibatkan seorang anak melayu (anak Mansor?) yang mana juga berpotensi membangkitkan kemarahan ummat Islam di Malaysia. Dan tak lupa juga yang sedang dibicarakan iaitu kes Azalina Jailani (Lina Joy).Berbalik kisah Natrah; ia amat menyayat hati....1937 24 Mac Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad.Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun. Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman , Terengganu . Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam. 15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah. 1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung ,Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda. September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai. 19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman. 12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh. 22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura 24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill,Singapura 28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co. 19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura. 28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill 1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang ,Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam ,perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhammad, Siti Aisyah. 2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan. Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya. 12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian. 12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan. 13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang , Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM. Ada protes orang Islam di Karachi , Pakistan yang bersimpati dengan Natrah. 15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya , Sarjan Hertogh. Di rumahnya di Bergen Op Zoom, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom ?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari . Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu. Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda. 9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu. 10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan. 17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah. Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh. 25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah 20 Julai 1953 Surat Natrah kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi. 1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Natrah yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen.
Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS. 26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Natrah ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia. 20 April 1956 Natrah berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu. 15 Februari 1957 Natrah bersalin anak lelaki pertama. Natrah mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline , Hands dan Paul. 20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah menceritakan dia sudah berkeluarga. 3 Februari 1959 Surat Natrah kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda. 25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Natrah dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Natrah, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Natrah telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah. 16 Ogos 1976 Natrah didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt . Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Natrah dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Natrah ditangkap. 26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah. 1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an Disember 1979 Natrah berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Natrah dan yang dikatakan bersepakat dengan Natrah untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht , Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda. 1983 Natrah bercerai dengan Tom Ballermans 1984 Natrah masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak. 15 September 1984 Natrah meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga ...? Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat. Natrah kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarkat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Natrah hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.
Kisah ini diabadikan dalam buku 'Tragedi Natrah' dan 'Maria Hertogh riots' di Singapura dan perpustakaan utama di Belanda.