Assalamualaikum Warahmatullah,
Dan salam perjuangan buat teman-teman sekalian...
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi Maha Mengasihani, Engkau telah mengurniakan kami sebaik-baik agama, dan sebaik-baik rezeki. Lindungilah Agama kami dari segala ancaman mahupun penindasan, Kami Memohon kepadamu Ya Rabbbul Alamin..
Baru-baru ini, pola peningkatan pertikaian terhadap isu-isu sensitiviti terutamanya terhadap Agama Islam dilihat semakin membimbangkan. Proses sekularisasi didalam situasi politik yang semakin mencabar ini, dilihat sebagai salah satu usaha menangguk air yang keruh oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bertujuan untuk menjatuhkan martabat agama Islam di mata Masyarakat.
Saya merujuk kepada Keputusan Kabinet Berkenaan dengan Isu Pertikaian Mohd Ridzuan dan isterinya tentang status keagamaan anak-anak mereka.
Secara terang-terangan saya mengkritik keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa kabinet yang lalu. Hal ini kerana saya telah dapat mengamati terdapat beberapa kelemahan yang pasti ketika keputusan sedemikian dilakukan.
Pertamanya saya merujuk kepada jawatankuasa yang telah dibentuk dilihat sebagai tidak menghormati lunas-lunas perlembagaan dan sentimen penganut agama Islam itu sendiri. Ini bersesuaian dengan kehendak Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bahawa, Islam adalah Agama rasmi Persekutuan Malaysia. Justeru itu, tindakan Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Menteri bukan Islam seolah-olah memperlihatkan kurangnya kepekaan daripada pihak kerajaan terhadap sensitiviti Masyarakat Islam di negara ini . Ini diiburukkan lagi pabila keputusan tersebut dibuat secara terburu-buru tanpa merujuk kepada Majlis Mufti sedangkan Isunya seara langsung berkaitan dengan hak-hak dan lunas agama Islam.
Kekesalan ini jelas telah diluahkan oleh Mufti Perak, Dato' Harussani berkenaan dengan tindakan autotarian Jawatankuasa tersebut.
Seterusnya, pada hemat saya, keputusan ini juga telah menimbulkan Ultra Vires diantara badan kehakiman dan badan eksekutif. Didalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, ketiga-tiga organ utama (Eksekutif, Perundangan,Kehakiman) seharusnya dipisahkan secara kuasanya. Keputusan sedemikian secara rasionalnya diputuskan oleh pihak mahkamah, dan bukannya jawatankuasa peringkat kabinet. Ia adalah sebuah kewajipan untuk dinilai oleh hakim-hakim yang berkelayakan, bukannya ditangan ahli politik!.
Saya juga mengkritik tindakan Jawatankuasa Kabinet yang mengarahkan bahawa kes tersebut haruslah dibicarakan di Mahkamah Sivil. Pada pandangan saya, didalam resam perundangan, kedua-dua belah pihak terbabit berhak menyatakan petisyen kepada mahkamah yang difikirkan layak untuk membicarakan kes tersebut, dan pihak mahkamah sendiri akan memberi keputusan berkenaan dengan bidang kuasanya tentang perihal sesuatu kes. Ini selaras dengan kehendak Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa, sekiranya Ia jatuh didalam jurisdiksi mahkamah syariah, maka mahkamah sivil tidak mempunyai hak untuk mencampuri perihal tersebut. Perlu saya tegaskan disini bahawa, Jurisdiksi Mahkamah Syariah tidaklah datang secara Automatis, namun seperti yang saya perkatakan sebentar tadi, ia terpulang kepada keputusan mahkamah mengikut peruntukan-peruntukan yang sedia ada. Kejahilan sesetengah pihak berkenaan Institusi Mahkamah Syariah juga wajar diperbetulkan. Tidaklah sekiranya sesebuah kes dibawa kepada mahkamah Syariah, maka pihak yang berkepentingan Islam akan diberikan kemenangan. Sebaliknya, kes tersebut akan diadili, dan diteliti sebaiknya, dan tidak semestinya akan memihak kepada parti yang beragama Islam. Ini telah dibuktikan sejelas-jelasnya didalam kes Nyonya Tahir lawan MAIPP, dimana pihak mahkamah telah membenarkan permohonan murtad diatas dasar-dasar yang munasabah.
Seharusnya, Isu berkenaan dengan penentuan agama anak-anak didalam kes ini tidak perlu timbul. Hal ini kerana, sudah ada judicial prececent daripada kes terdahulu yang telah mengadilinya. Harus diingatkan, keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah adalah binding precedent, dan sepatutnya diikuti oleh kes-kes yang terkemudian. Permasalahan ini telah diselesaikan didalam kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray dimana mahkamah persekutuan telah memutuskan bahawa si bapa mempunyai autoriti terhadap pengislaman anaknya diatas semangat Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan walaupun tanpa persetujuan Ibunya. Dimaklumkan bahawa, perkara 12(4) menjelaskan bahawa, agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun perlu ditentukan oleh ibu-bapa(salah seorang) atau penjaga. Ini diperkukuhkan lagi oleh autoriti daripada Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 yang telah memperuntukkan bahawa seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah boleh memeluk agama Islam sekiranya ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga anak tersebut memberi keizinan.
Mengikut pandangan sebahagian Ahli Fiqh pula, secara lahiriahnya, setiap insan dianggap sebagai Muslim walaupun tanpa pengucapan syahadah secara khusus, sehingga dia mengatakan sebaliknya selepas mencapai Akil Baligh. Oleh kerana itu, tidak hairanlah sekiranya mayat kanak-kanak dibawah umur akil baligh dijumpai, maka ia adalah satu kewajipan kepada umat Islam untuk menguruskan jenazah tersebut dengan kaedah-kaedah Islam. Justeru itu, isu berkenaan pengislaman anak oleh seorang Mualaf seharusnya tidak timbul, memandangkan anak-anaknya secara lahiriahnya telahpun bergelar seorang Muslim.
Diatas autoriti-autoriti yang saya kemukakan diatas, saya menggesa supaya jawatankuasa Kabinet menarik kembali keputusan yang telah dibuat keatas kes tersebut. Langkah ini juga bersesuaian demi menghormati kuasa Mahkamah syariah dimana kes itu masih didalam proses perbicaraan supaya tiada konflik baru yang akan dilahirkan kelak.
Saya juga menyeru dokongan dan sokongan kalian dalam membantah keputusan yang telah dibuat oleh jawatankuasa kabinet demi menjaga maruah agama Islam dan Perlembagaan Negara yang tidak henti-henti dicabuli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang berkehendakkan penularan fahaman sekularisme.
Biar Nyawa tergadai, bukan Agamaku.
Demi Agama, Bangsa, dan Negara
Ibn Qadir
Keputusan Kabinet Tentang status Agama anak wajar ditarik balik!
Melihat PPSMI dari sudut perundangan
UTUSAN MALAYSIA ONLINE
Oleh Abdul Aziz Abdul Rahman
SEJAK beberapa tahun yang lepas banyak perdebatan dan perbincangan berlangsung tentang bahasa pengantar bagi mata pelajaran Matematik dan Sains.
Di peringkat permulaannya bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar, kemudian kerajaan membuat keputusan untuk menukarkannya ke bahasa Inggeris.
Sekarang pihak kerajaan sedang mengkaji semula perkara ini dan banyak perbahasan telah dan sedang berjalan. Adalah elok bagi kita memfokuskan perkara ini dari sudut undang-undang sebelum pihak kerajaan membuat apa- apa keputusan.
Kegunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains pada pendapat saya adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Ia adalah tidak sah kerana bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550 Akta Pendidikan 1996 dan dengan sendirinya bercanggah dengan kehendak dan tujuan Artikel 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi seperti berikut:
Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa 'Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:
Dengan syarat bahawa:
- (a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.
Perkara 152(6) pula menyebut dengan perkara ini "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.
Perkara-perkara berhubung dengan sistem pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kerajaan melalui kementerian pendidikan adalah bagi 'maksud rasmi' seperti dinyatakan oleh Artikel 152 (6) Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 152 hendaklah dipatuhi oleh kerajaan.
Mengikut sistem pendidikan kebangsaan, bahasa kebangsaan adalah ditetapkan sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan sebagaimana ternyata oleh seksyen 17 (1) Akta 550 yang berbunyi seperti berikut:
''Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada sub seksyen ini".
Peruntukan seksyen 17(1) Akta 550 adalah sebagai mematuhi kehendak Artikel 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan.
Mengikut seksyen 18(2) Akta 550, kurikulum kebangsaan adalah ditetapkan oleh Menteri Pendidikan dan beliau sudah pun menetapkan mata pelajaran teras yang menjadi asas utama pendidikan murid di semua sekolah. Sebagaimana ditetapkan, mata pelajaran teras pada peringkat sekolah rendah yang memerlukan bahasa pengantar ialah Matematik, Sains, Kajian Tempatan dan Pendidikan Islam bagi murid Islam atau Pendidikan moral bagi murid bukan Islam.
Pada peringkat sekolah menengah, mata pelajaran teras yang memerlukan bahasa pengantar ialah Matematik, Sains dan Pendidikan Islam bagi murid Islam atau Pendidikan moral bagi murid yang tidak beragama Islam.
Berasas kepada kehendak Artikel 152(1),(6) Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 17(1) Akta 550, adalah wajib bagi kesemua mata pelajaran teras yang tersebut diajar di semua sekolah menggunakan bahasa pengantar utama iaitu bahasa Melayu. Tetapi sebagaimana kita tahu sekarang mata pelajaran Matematik dan Sains adalah diajar dalam bahasa Inggeris.
Adalah jelas bahawa sudah ada pelanggaran undang-undang iaitu apabila seksyen 17 (1) Akta 550 tidak dipatuhi.
Mungkin ada pihak yang menghujah bahawa mata pelajaran teras yang disenaraikan dalam Jadual mengikut seksyen 18 Akta 550 itu bukanlah mata pelajaran yang memerlukan bahasa pengantar utama (Bahasa Melayu) pada keseluruhannya.
Pada mereka sebahagian besar daripada mata pelajaran teras sudah mencukupi, untuk mematuhi syarat, tetapi itupun sudah ada pelanggaran seksyen 17 (1) Akta 550 juga.
Ini kerana bagi kurikulum sekolah rendah, mata pelajaran yang memerlukan bahasa pengantar ialah dua mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris dan dua mata pelajaran diajar dalam bahasa Melayu.
Maknanya Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris manakala kajian tempatan dan pendidikan Islam dalam bahasa Melayu.
Ini adalah nyata bahawa tidak sebahagian besar dari mata pelajaran teras diajar dalam bahasa pengantar utama (Bahasa Melayu). Bagi sekolah menengah pula, dua mata pelajaran iaitu Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris, dan satu mata pelajaran sahaja iaitu pendidikan Islam dalam bahasa Melayu. Ini adalah lebih jelas bahawa seksyen 17 (1) Akta 550 tidak dipatuhi dan adalah salah di sisi undang-undang.
Kesimpulannya kegunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Matematik dan Sains adalah tidak sah di sisi undang-undang dan perkara itu mesti diberi perhatian oleh pihak-pihak yang terlibat dalam perbincangan meja bulat PPSMI hari ini.


