Melihat PPSMI dari sudut perundangan

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Oleh Abdul Aziz Abdul Rahman



SEJAK beberapa tahun yang lepas banyak perdebatan dan perbincangan berlangsung tentang bahasa pengantar bagi mata pelajaran Matematik dan Sains.

Di peringkat permulaannya bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar, kemudian kerajaan membuat keputusan untuk menukarkannya ke bahasa Inggeris.

Sekarang pihak kerajaan sedang mengkaji semula perkara ini dan banyak perbahasan telah dan sedang berjalan. Adalah elok bagi kita memfokuskan perkara ini dari sudut undang-undang sebelum pihak kerajaan membuat apa- apa keputusan.

Kegunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains pada pendapat saya adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Ia adalah tidak sah kerana bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550 Akta Pendidikan 1996 dan dengan sendirinya bercanggah dengan kehendak dan tujuan Artikel 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi seperti berikut:

Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa 'Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa:

- (a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

Perkara 152(6) pula menyebut dengan perkara ini "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Perkara-perkara berhubung dengan sistem pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kerajaan melalui kementerian pendidikan adalah bagi 'maksud rasmi' seperti dinyatakan oleh Artikel 152 (6) Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 152 hendaklah dipatuhi oleh kerajaan.

Mengikut sistem pendidikan kebangsaan, bahasa kebangsaan adalah ditetapkan sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan sebagaimana ternyata oleh seksyen 17 (1) Akta 550 yang berbunyi seperti berikut:

''Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada sub seksyen ini".

Peruntukan seksyen 17(1) Akta 550 adalah sebagai mematuhi kehendak Artikel 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut seksyen 18(2) Akta 550, kurikulum kebangsaan adalah ditetapkan oleh Menteri Pendidikan dan beliau sudah pun menetapkan mata pelajaran teras yang menjadi asas utama pendidikan murid di semua sekolah. Sebagaimana ditetapkan, mata pelajaran teras pada peringkat sekolah rendah yang memerlukan bahasa pengantar ialah Matematik, Sains, Kajian Tempatan dan Pendidikan Islam bagi murid Islam atau Pendidikan moral bagi murid bukan Islam.

Pada peringkat sekolah menengah, mata pelajaran teras yang memerlukan bahasa pengantar ialah Matematik, Sains dan Pendidikan Islam bagi murid Islam atau Pendidikan moral bagi murid yang tidak beragama Islam.

Berasas kepada kehendak Artikel 152(1),(6) Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 17(1) Akta 550, adalah wajib bagi kesemua mata pelajaran teras yang tersebut diajar di semua sekolah menggunakan bahasa pengantar utama iaitu bahasa Melayu. Tetapi sebagaimana kita tahu sekarang mata pelajaran Matematik dan Sains adalah diajar dalam bahasa Inggeris.

Adalah jelas bahawa sudah ada pelanggaran undang-undang iaitu apabila seksyen 17 (1) Akta 550 tidak dipatuhi.

Mungkin ada pihak yang menghujah bahawa mata pelajaran teras yang disenaraikan dalam Jadual mengikut seksyen 18 Akta 550 itu bukanlah mata pelajaran yang memerlukan bahasa pengantar utama (Bahasa Melayu) pada keseluruhannya.

Pada mereka sebahagian besar daripada mata pelajaran teras sudah mencukupi, untuk mematuhi syarat, tetapi itupun sudah ada pelanggaran seksyen 17 (1) Akta 550 juga.

Ini kerana bagi kurikulum sekolah rendah, mata pelajaran yang memerlukan bahasa pengantar ialah dua mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris dan dua mata pelajaran diajar dalam bahasa Melayu.

Maknanya Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris manakala kajian tempatan dan pendidikan Islam dalam bahasa Melayu.

Ini adalah nyata bahawa tidak sebahagian besar dari mata pelajaran teras diajar dalam bahasa pengantar utama (Bahasa Melayu). Bagi sekolah menengah pula, dua mata pelajaran iaitu Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris, dan satu mata pelajaran sahaja iaitu pendidikan Islam dalam bahasa Melayu. Ini adalah lebih jelas bahawa seksyen 17 (1) Akta 550 tidak dipatuhi dan adalah salah di sisi undang-undang.

Kesimpulannya kegunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Matematik dan Sains adalah tidak sah di sisi undang-undang dan perkara itu mesti diberi perhatian oleh pihak-pihak yang terlibat dalam perbincangan meja bulat PPSMI hari ini.

0 comments: