“Dengan nama Allah, izinkanlah hambamu meninta…..”
Alhamdulillah, semalam, penulis berkesempatan untuk pergi menonton sebuah teater yang dikira cukup menarik, sekiranya ada rating yang mampu diberikan, maka sudah tentulah 5 bintang itu menjadi nilai yang selayaknya.
Sedikit kupasan yang boleh dikongsi dengan rakan pembaca sekalian, berkenaan dengan Teater bukan Teater: Bilik Sulit arahan Pak hisham, apa yang boleh diperkatakan, ia sebuah rencana yang mengisahkan tentang senario soal siasat didalam bilik siasatan bagi tertuduh yang didakwa dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
Wacananya, keadaan didalam bilik soal siasat itu berada dalam keadaan yang sentiasa tegang. Si tertuduh sentiasa dilemparkan dengan kata-kata menghina, kesat dan sentiasa dinasabkan dengan sentiment perkauman yang menjijikkan. Lebih menyedihkan, tertuduh diaibkan maruahnya, diperlakukan seperti anjing kurap, diterajang, di belasah, bahkan ditelanjang.Satu medan penderaan mental dan fizikal berpanjangan, yang hanya akan diberhentikan seksaan tersebut sekiranya si tertuduh mengaku salahnya dan menandatangani affidavit rekaan yang disediakan.
Pelbagai kejutan dalam pementasan itu yang telah menarik perhatian penulis. Masakan tidak penulis terjangka akal fikirannya apabila si tertuduh ditanggal seluarnya didepan mata penonton, dibelasah bak pelagak ngeri bertauliah, dilemparkan kata-kata carut yang semestinya tidak akan diluluskan untuk tontonan di istana budaya!
Ya, ia memang satu teater bebas yang sensitif, lebih-lebih lagi pabila isu perkauman kerap kali diutarakan.Memang amat menyakitkan mata, kepala dan telinga si penonton.Namun, penulis lebih selesa untuk menilai gelagat tersebut secara positif, mungkin inilah mesej sejagat yang cuba disampaikan oleh pihak produksi berkenaan dengan senario sebenar edisi soal siasat didalam tahanan ISA. Mungkin ia menyakitkan, dan penulis percaya itulah kesakitan yang mahu dikongsikan oleh pengarah teater tersebut, hishammudin rais, atau lebih dikenali sebagai Pak sham kepada penonton!
Teater ini boleh disifatkan sebagai teater yang ringkas namun padat dengan plot yang sesuai untuk segenap lapisan penonton. Walau ada kalanya terdapat jenaka politik yang mungkin sindiran itu agak asing dikalangan penonton yang kurang arif dengan isu politik semasa, namun secara keseluruhannya, ia masih mudah difahami.
Namun, terdapat beberapa kelemahan yang harus diperbaiki oleh pihak produksi dan pengajur. Antaranya keadaan susunan kerusi yang mendatar, kadangkala menimbulkan kesukaran kepada penonton untuk melihat adengan-adengan di atas pentas.
Besar juga harapan penulis, agar karya Pak sham ini dapat diketengahkan oleh produksi-produksi perfileman bebas yang peka terhadap kesengsaraan tahanan ISA, begitu juga dengan tempat pementasan, mungkin Pak sham boleh mencari tempat yang lebih baik dan lebih kondusif bagi menjamin keselesaan penonton kelak!
Sekalung tahniah buat BAR council dan produksi teater… Lebih membanggakan, segalanya dilakukan dengan sukarela kerana wang tiket kami akan disumbangkan segalanya kepada keluarga tahanan ISA, sekali lagi penulis mengucapkan tahniah kepada kamu semua! Bravo!
Kearah Masyarakat Bebas ISA
Kaki Teater Bebas,
Ibn Qadir
*maaf kerana tiada gambar yang dapat dikongsikan, hal ini kerana pihak penganjur tidak membenarkan sebarang kegiatan rakaman dijalankan di sepanjang pementasan tersebut.
1 Comentário:
Jeles sungguh hati ini pabila masa teman2 di tanah air penuh dgn aktiviti huhu.nanti lah aku balik.siap korang hek2
Post a Comment