Kuasa Rakyat!!!

Assalamualaikum warah matullah…

Selawat dan salam buat junjungan besar, Muhammad sallallah hualaihi wassallam, serta sekalung doa buat sahabat-sahabat baginda, pejuang yang sebenar-benar pejuang, pembawa kepada gerakan demokrasi Islam, pembawa gelombang tawhid ke sekalian pelusuk bumi Allah..

Malamnya bagai rahib merintis sayu,
Dihiris dosa air mata,
Siangnya bagaikan singa di rimba,
Memerah keringat,
Mencurah tenaga..
Itulah sunnah orang berjuang…

(petikan lagu : sunnah orang berjuang, Hijjaz)



Seketika tadi, fikiran penulis melayang, lantaran memikirkan , adakah benar sejarah itu bak roda? Pusingannya tidak terhenti, sekejap dia atas, sekejap di bawah?


Fikiran ini telah membawa penulis terbang ke zaman permulaan pembentukan empayar Rom, di mana pada asalnya dibina atas asas perpaduan rakyat, dilahirkan sebagai republic yang bebas merdeka, republik yang berdaulat, di mana prinsip demokrasi mula-mula diperjuangkan sebagai sebuah idea bebas, mengikut lunas-lunas hak asasi manusia. Namun Rom yang dikenali telah berubah wataknya, menjadi sebuah Negara diktator, bukan lagi Negara proletariat, bukan lagi Negara rakyat. Kaisar yang dilantik menghancurkan amanah rakyat, terus tamak menjajah Negara-negara kecil, menghenyak Negara-negara lemah. Akhirnya membawa kepada perpecahan empayar Rom, seterusnya melenyapkan tamadun yang telah terbina ratusan tahun itu, kerana kuasa itu bukan di tangan rakyat tapi ditangan maharaja-maharaja yang hanya mementingkan kepuasan nafsu sendiri.

Kemudian, fikiran ini terbawa kepada Revolusi Perancis – Bapa segala revolusi moden. Ya, ia berlaku pada abad ke 16, pada tahun 1789-1799. Pendek kata, revolusi ini berlaku kerana ketidak puashatian rakyat kepada sistem tadbir urus Negara itu sendiri, di mana, rakyat sudah begitu membenci Raja Louis XVI yang boros, membelanjakan wang rakyat demi kepentingan peribadi, lantaran membiarkan rakyat terus tersepit dihinjak wabak penyakit dan kemiskinan. Apa kesannya? –Kemarahan.


Sakit itu telah menjadi dendam, rakyat bangkit, menyembelih sekalian keluarga di raja, menghukum sekalian bangsawan menggunakan Gilloutine, memancung siapa sahaja yang setia kepada monarki. Maka tidak salah jika penulis katakan, revolusi Perancis adalah revolusi rakyat pertama berkiblatkan fahaman sekular.—revolusi berdarah.

Kebangkitan Rakyat di Perancis terus membawa kesan perubahan politik bukan sahaja di eropah, malahan ke seluruh dunia, lihatlah betapa jayanya ia dipromosikan. Sehingga membawa kepada revolusi Inggeris, serta Revolusi rakyat oleh parti-parti komunis di Russia, China, dan Negara- Negara Amerika latin. Malahan, Idea revolusi ini juga telah serba sedikit menyusup masuk ke Negara-negara Islam, misalnya revolusi Islam di Iran pada era 70 an pimpinan Imam Khomeini. Satu gerakan rakyat yang telah menumbangkan monarki terkuat ketika itu, hasil daripada kesedaran Islam dan kebencian terhadap pentadbiran Shah Reza Pehlavi, Syah Iran yang terakhir.


Penulis percaya, revolusi-revolusi pemikiran dan politik sentiasa berlaku, walaupun hingga ke hari tua ini. Pada sudut pandang penulis, kemenagan Obama dalam pilihanraya Presiden di US itu adalah satu revolusi, revolusi yang menuntut kesamaan hak, tidak kira warna kulit, agama atau kaum. Tidak keterlaluan jika penulis mengandaikan perkara ini adalah salah mustahil untuk dibayangkan pada 40 tahun yang lampau. Namun hari ini, Nah! Ini dia coloured President pertama untuk Amerika.

Bagai satu wabak, revolusi ini terus merebak ke merata pelusuk dunia. Paling menarik perhatian penulis berkenaan dengan kejayaan Rakyat menumbangkan Kerajaan proksi Thaksin di Thailand baru-baru ini. Penulis memandang situasi tersebut sebagai unik, kerana, Thailand terkenal dengan pengaruh Raja dan angkatan tenteranya. Ada sahaja kepincangan atau penyelewengan dalam Kerajaan pemerintah, Tentera akan bingkas bangun merampas kuasa, darurat akan diisytihar, pilihanraya baru akan dibuat, Kerajaan baru akan di bentuk.



Namun, apa yang membuatkan penulis berasa takjub, terdapat sedikit anjakan perubahan politik di Thailand di dalam suasana yang lebih matang telah berlaku. Di kala kekalutan di Bangkok, di mana rakyat telah mengepung bangunan-bangunan pentadbiran, seterusnya menduduki lapangan terbang utama di Thailand, pihak tentera mengambil sikap berdiam diri, seolah-olah merestui kebangkitan rakyat di Thailand. Protes ini walau pada mulanya di pandang remeh, namun lihatlah gelombangnya, Berjaya melumpuhkan pentadbiran Kerajaan memerintah, membawa kepada perlucutan kuasa perdana menteri, serta pengharaman 3 parti proksi thaksin di Thailand. – INILAH KUASA RAKYAT!

Sekilas pandang di Malaysia, penulis melahirkan rasa sedih, kerana rakyat di Negara ini masih kurang kesedaran hak dan politiknya. Usah diharapkan kutu-kutu jalanan, malahan golongan mahasiswa itu sendiri kelihatan tumpul semangat juangnya. Sedarlah sahabat, masih wujud undang-undang zalim tanpa bicara, masih wujud kawad berduri mengikat kita untuk bersuara, masih wujud penyelewengan wang Negara, masih wujud agenda kejam menodai agama Allah.. Bangunlah sahabat, ia bukan untuk kita, tapi demi masa depan anak-anak kita! Ini bukanlah sebuah provokasi, tetapi hanya kepercayaan kepada kuasa rakyat dan demokrasi!


Apakah revolusi perancis itu akan berlaku di timur?

Fikir-fikir kanlah…


Ibn Qadir

0 comments: