Sepetang bersama Sheikh Dr Afifi Al-Akiti

Dengan nama Allah, Kayakanlah sekalian umat Kekasihmu, Muhammad, dengan para ilmuwan dan Ulama’…





Allahamdulillah, semalam, penulis berkesempatan untuk bertemu seorang tokoh ilmuwan Islam tersohor, Sheikh Dr M. Afifi Al-Akiti di Anjung Rahmat, Gombak.

Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, yang masih lagi belum mengenali beliau, Dr M. Afifi Al-Akiti merupakan rakyat Malaysia dan Melayu-Islam pertama yang menjawat jawatan pensyarah di university tersohor dunia, Universiti Oxford. Beliau bertugas sebagai pensyarah pengajian Islam di Pusat Oxford bagi pengajian Islam. Di fahamkan, sejak daripada usia mudanya beliau telah mendapat pendidikan di sebuah madrasah di Indonesia, sebelum meneruskan pengajian beliau ke United Kingdom.Beliau juga terkenal dengan sikap bersongkoknya, walaupun dilapangan oxford!

Dengan usia yang masih lagi muda, 32 tahun, sekilas pandang, perwatakan dan keperibadian beliau jelas menunjukkan kematangan ilmuwan Islam sebenar. Sikap zuhud beliau, memberi impak yang cukup mendalam kepada penulis. Ditemani oleh Presiden ABIM, Yusry Mohamed, yang menggelarkan beliau “sheikh”, beliau kelihatan kurang selesa dengan gelaran tersebut, kerana merasakan gelaran itu terlampau tinggi darjatnya kepadanya. “I prefer you call me Afifi, or Dr Afifi….” Kata seorang ilmuwan zuhud yang telahpun mengeluarkan sebuah fatwa pada ketika usianya di pengakhiran 20an.

Setelah selesai majlis minum teh yang diadakan didalam keadaan serba ringkas, kami bersama-sama Dr Afifi mengerjakan Solat Fardhu Maghrib di bilik solat yang telah disediakan. Setelah selesai bersolat, Dr Afifi sempat menyampaikan pesanan dan tazkirah (didalam bentuk usrah) kepada kami semua berkenaan dengan konsep syukur kepada Allah.”ingatlah, Allah akan dekat pada kamu jika kamu dekat kepadanya”, masyaallah..kata-kata itu sungguh memberi kesan yang amat mendalam kepada diri penulis…



Setelah selesai majlis tazkirah tersebut, kami mengerjakan solat Isya’, diikuti dengan majlis selawat dan bersalaman.Sebelum beliau meninggalkan kami, sempat lagi beliau berpesan.. “sesungguhnya kedudukan guru itu adalah tinggi darjatnya seperti ibu bapa kamu, maka hari ini saya adalah guru kamu, dan saya berperasaan seperti meninggalkan anak-anak saya, dan sekalian kamu didalam bulatan ini adalah saudara-saudara kamu…”, katanya kepada barisan anak-anak muda PKPIM, dan juga beberapa wakil daripada NGO seperti TERAS pengupayaan Melayu yang diwakili oleh saudara Wan Faysal atau lebih dikenali sebagai sosialis kanan di arena blog.Sedikit memori mencuit hati, apabila melihatkan ada sahabat-sahabat yang mahu bersalaman dan mencium tangan beliau, dengan pantas, beliau menarik tangannya, sambil menguntum senyum mengucapkan "masyaallah, dan alhamdulillah.."...renung-renungkan...

Walaupun kedatangan Dr Afifi hanya seketika, bermula daripada sebelum Maghrib, sehingga selepas selesai menunaikan solat Isya’, namun nasihat, dan sifat keperibadian beliau telah memberi kesan yang maha mendalam kepada diri penulis.Terdetik juga rasa rindu walaupun baru semalam bertemu….

Seharusnya, tokoh sebeginilah yang harus ditonjolkan oleh arus media perdana sebagai tanda sokongan kepada para ilmuwan islam yang semakin pupus bilangannya hari ini. Namun, apa yang cukup menggelisahkan penulis, masyarakat Islam dan media perdana hari ini lebih selesa menonjolkan artis-artis (perkahwinan mawi??),dan hiburan yang tidak membawa faedah, melebihi daripada menyanjunjungi budaya ilmu….

Semoga Allah mengurniakan lebih ramai tokoh ilmuwan Islam seperti beliau…


Penyanjung Ilmuwan,


Ibn Qadir,
Ahli PKPIM

p/s: terima kasih kepada saudara faisal aziz, kerana telah mengajak penulis ke majlis yang cukup bermakna ini...semoga Allah membalas jasa kamu!

1 Comentário:

rosfazila said...

salam saudara
mohon izizn share artikel. SubhanAllah, kagum dengan keilmuan Dr. Afifi