Merdeka & Sarwa Pandang Anak Muda
Abad ini telah menyaksikan dunia Islam telah mengalami proses untuk membebaskan dirinya daripada cengkaman penjajah. Akan tetapi perkembangan dunia Islam selepas perjuangan kemerdekaan rata-ratanya kosong dari segi roh penghayatan dan pengisian kemerdekaan. Sebagai contoh, di setengah negara, penjajah telah digantikan dengan diktator pribumi yang adakalanya lebih kejam dari penjajah yang diusir. Sementara itu, krisis akhlak dan jati diri anak muda di negara yang disebut semakin menular dan telah melepasi garis kebimbangan. Ditambah pula dengan sifat dan adab murninya yang sudah ditutupi oleh tabir kenyataan masyarakat yang secara zahir dhaif budinya.
Situasi ini menuntut suatu rencah baru untuk disajikan kepada generasi muda hari ini. Secara umumnya, perencanaan yang kita laksanakan secara rutin dengan tujuan untuk menghargai peristiwa 31 Ogos 1957 masih memperlihatkan kekurangan yang harus diperbaiki. Ini mungkin dapat dilihat dengan lebih ketara menerusi sambutan kemerdekaan tanpa disusuli dengan penghayatan dan dijiwai roh pengisian kemerdekaan sebenar.
Hakikat kemerdekaan sebenar tidak seharusnya dipandang dari sudut simbolik semata-mata, tetapi harus juga dijiwai dari sudut maknawiat. Lantaran, pemupukan fahaman merdeka yang lebih meluas harus terus diterapkan dalam diri kita sebagai generasi penerus kepimpinan negara. Secara asas, kemerdekaan ditakrifkan sebagai pembebasan sesebuah bangsa dan negara dari penjajahan. Namun, kemerdekaan sesuatu bangsa sendiri dari perspektif pemodenan harus dirumus meliputi aspek kemerdekaan jiwa, pemikiran dan budaya dari dipengaruhi dan diracuni sumber asing yang negatif sifatnya.
Penghayatan kemerdekaan yang dicari itu bertitik-tolak dari penghayatan sejarah kemerdekaan yang meliputi sudut perjuangan pembebasan dari penjajah biadap. Hari ini nama-nama seperti Dato Onn Ja’far dan Tunku Abdul Rahman mungkin dikenali generasi hari ini. Namun, tokoh pejuang lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ust Abu Bakar Al-Baqir, Pak Sako, Shamsiah Fakeh, Keris Mas dan sebagainya mungkin sudah pupus dari kamus sejarah kemerdekaan anak muda.
Penghayatan sejarah tersebut bukan hanya sekadar untuk kita bernostalgia kosong, tetapi menyambut saranan Allahyarham Pak Natsir kepada kita khususnya generasi Islam untuk berfikir dalam perspektif sejarah memandangkan kita hidup dalam rangka umat manusia yang usianya lebih panjang dari usia kita sebagai individu. Maka sejarah pengorbanan perjuangan mereka tidak hanya wajib diketahui tetapi juga dijiwai.
Dalam pada itu, Ibn Khaldun juga mengingatkan bahawa apabila tamadun sampai ke tangan generasi yang jauh dan melupakan pengorbanan generasi pertama, serta sudah tenggelam dengan kemewahan, maka tamadun tersebut akan menghadapi bibit-bibit kemerosotan dan seterusnya mengalami kejatuhan.
Perit jerih pembinaan asas sesebuah negara dan peradaban itu adalah suatu kebenaran yang tidak mampu disangkal. Namun, itulah yang disunnahkan dalam perjuangan iaitu mengejar sesuatu impian walaupun impian tersebut tidak akan dinikmati pejuangnya. Maka saranan yang terbit hasil renungan panjang pemikir tersebut telah melahirkan tanggungjawab yang harus digalas oleh kita sebagai golongan terkemudian dengan tidak melupai generasi pembina atau generasi awal ini.
Sementara itu, penjiwaan kemerdekaan hanya dapat dirasai dengan kita kembali kepada pemikiran dan jiwa yang bebas serta asal usul budaya. Istilah “kembali kepada akar budaya” telah ditakrifkan dengan pelabagai definisi. Bagi setengah ‘melayu moden’ ia berupa seruan untuk mengajak kembali kepada cara hidup lama. Tanggapan sebegini telah mencerminkan ketidakfahaman kita terhadap maksud budaya memandangkan kita hanya melihat kulitnya, tanpa mengambil kira isinya.
Padahal yang penting pada budaya ialah sistem nilai yang tersirat dalam budaya itu. Menurut Dato’ Dr Hasan Ahmad adalah suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa budaya itu lahir dari pemikiran manusia dan pengalaman bersama anggota bangsa. Sebagai contoh nilai keadilan dan permuafakatan yang terbit dari proses tersebut.
Realitinya, proses perubahan hidup moden tidak berlaku secara meliar melainkan ditapis oleh peraturan asas. Asas ini terletak pada nilai yang dipegang anggota masyarakat sejak turun temurun sebagai panduan hidup bersama. Manakala, tradisi pula adalah proses penciptaan budaya yang sambung-menyambung, tidak kira dalam zaman apa. Maka, tidak wujud istilah tradisi lama dan tradisi baru melainkan hanya tradisi sezaman iaitu tradisi yang menjadi acuan bagi apa-apa perubahan. Melalui proses inilah budaya dan tamadun sesuatu bangsa kekal ampuh walau ditelan zaman. Maka yang dimengertikan sebagai maksud ‘kembali’ adalah kembali mengenali sistem nilai bangsa sendiri.
Garis panduan dan acuan ini telah mencorak sikap positif kita dalam menerima peradaban barat yang tidak memaksa kita mengorbankan prinsip dan ajaran dasar agama semata-mata untuk mengikut arus masa dan melayani ragam zaman.
Sememangnya, antara barat yang mempersonakan dan kebudayaan sendiri yang tampak hina, menjadikan akal pemikiran anak muda gusar dan gundah gulana. Maka, landasan tradisi dan budaya harus dijelmakan agar kita tidak dikenang sebagai si Tenggang yang derhaka kepada jati diri dan budaya sendiri. Suatu anjakan harus dilakukan dengan tidak hanya mengamalkan ciri-ciri luaran budaya semata-mata, tetapi turut melibatkan ciri dalamannya sebagai acuan dalam pembagunan bangsa.
Penjelmaan akar budaya dan tradisi ini dituntut dalam mendepani cabaran mendatang. Cabaran yang dilalui berupa dalam pelbagai bentuk. Mungkin dalam bentuk cubaan ‘bil-khair’ (kesenangan), dan mungkin juga dalam bentuk ‘bil-shar’(penderitaan). Ramai yang lulus apabila diuji dengan cubaan ‘bil-shar’, tetapi tidak demikian apabila diuji dengan ‘bil-khair’ seperti lebih banyaknya semut yang mati kerana gula dari yang mati kerana cuka.
Allahyarham Pak Natsir juga seringkali mengingatkan supaya ‘jangan sambil membangun kita robohkan” – membangun gedung sambil merobohkan akhlak, membangun industri sambil menindas pekerja, membina prasarana sambil memusnahkan lingkungan. Dalam erti kata lain, dalam kesibukan kita mengejar kemodenan tidak seharusnya kita nafikan peranan kita dalam membangun suatu generasi yang kukuh dari segi jati diri dan pemikirannya.
Maka, tugas dan perjuangan kita sebagai anak muda adalah kearah mengisi makna kemerdekaan sebagai penyambungan tradisi perjuangan mereka yang memperjuangkan kemerdekaan lebih 50 tahun lalu. Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d, “Bahawa Allah tiidak merobah nasib sesuatu kaum, kalau kaum itu tidak merobah keadaan dirinya”. Maka darjat bangsa yang rendah tidak akan kemana-mana tanpa dimulai dengan gagasan perjuangan anak mudanya.
Dari Robohan Kota Melaka,
Kita Bina Jiwa Merdeka,
Bersatulah Seluruh Baka,
Membela Keadilan Warisan Pusaka...
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
0 comments:
Post a Comment