PKPIM Anjur MIFTAH 2009


Kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia akan sekali lagi diraikan dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh oleh seluruh umat. Di peringkat Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), kehadiran bulan Ramadhan tahun 1430H ini sekali lagi tepat dengan suasana dan keadaan semasa. Kesempatan untuk berpesta ibadah, untuk melakukan muhasabah, membersihkan jiwa serta mendidik diri perlu dimanfaatkan oleh seluruh ahli PKPIM yang baru sahaja selesai melaksanakan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) yang ke-48.

Sebagai sebuah gerakan pelajar Islam peringkat kebangsaan, PKPIM sekali lagi akan mengadakan program tradisinya dalam bulan Ramadhan yakni Majlis Iftar Mahabbah (MIFTAH) dengan tema “Sentuhan Kasih Ramadhan Pertaut Hati Umat”. Peluang untuk bersama-sama meraikan bulan Ramadhan, mengukuhkan ukhuwwah sebagai elemen penting dalam gerakan ini, serta bersama-sama melaksanakan ibadah secara berjemaah adalah kesempatan yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Selain daripada itu, peluang untuk melakukan pendidikan dan pembaikan diri sempena bulan Ramadhan ini juga tidak harus dilepaskan.

Justeru, bagi sambutan MIFTAH 1430H ini, PKPIM mengambil kesempatan yang sangat baik ini bagi mengeratkan lagi ukhuwwah, serta memperkukuh kesatuan hati, fikir dan tindakan para ahli. Di samping ibadah-ibadah khusus yang biasa dilakukan dalam bulan Ramadhan, MIFTAH 1430H ini juga akan memberikan penekanan kepada pengisian-pengisian yang fundamental dan penting tentang hal-hal gerakan (harakiyyah) dan da’wah. Selain itu, PKPIM mengambil inisiatif untuk membincangkan isu perundangan Islam yang menjadi topik perbualan hangat hari ini agar seluruh mahasiswa mendapat kefahaman yang jelas tentang isu yang berlegar di sekeliling kita.

1 Comentário:

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt. Tahniah dan Hidupkanlah malam2 di bulan Ramadhan dengan qiyamulai itulah sepatutnya dilakukan oleh anak2 muda di akhir zaman ini. Mudah2an nawaitu dan hasrat PKPIM dirahmati dan diberkati Allah s.w.t. Insya'allah.