SPRM WAJAR SIASAT JIKA ADA RASUAH LOMPAT PARTI






KENTAAN MEDIA GERAK MALAYSIA

16 FEBUARI 2009




Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia ) menolak keras mana-mana agenda rasuah politik bagi membeli atau memancing ADUN atau mana-mana Ahli-ahli Parlimen Malaysia untuk melompat parti. Gerak Malaysia menggesa agar SPRM menjalan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah ini.



Situasi ketidakstabilan politik yang berlaku di Perak akibat lompat parti atau bertukar menjadi ADUN Bebas harus dihindarkan daripada perilaku rasuah dan ugutan. Gerak Malaysia menggesa mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh termasuk transaksi, wang, cek, surat-surat berkaitan agar tampil membuat laporan kepada SPRM. Gerak Malaysia menyokong apa-apa usaha oleh mana-mana pihak bagi mendedahkan dan melaporkan jenayah rasuah yang berlaku bagi membeli ADUN-ADUN daripada mana-mana parti politik.



Walaupun tindakan melompat parti atau bertukar parti adalah suatu tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 10, namun tindakan ini perlu dihindarkan daripada anasir-anasir rasuah, ugutan, salah guna kuasa dan bersifat kepentingan peribadi.



Gerak Malaysia juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang bersedia menjadi saksi dan membawakan dokumen fizikal kes-kes rasuah politik yang berkaitan dalam isu lompat parti agar Gerak Malaysia dapat mengambil tindakan bersama dan lebih agresif untuk mendedahkan kepada masyarakat. Jika laporan bersumpah yang dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri adalah benar melibatkan rasuah politik, Gerak Malaysia menggesa agar SPRM bertindak pantas untuk melakukan siasatan dan tindakan. Timbalan Perdana Menteri juga wajar digantung tugas jika terlibat dalam kes yang didakwa. Pelapor juga boleh bertemu Gerak Malaysia untuk kita mengambil tindakan yang boleh mencetuskan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya rasuah untuk membeli kuasa politik.



Gerak Malaysia menyarankan agar secara segera undang-undang berkaitan masalah lompat parti digubal. ADUN atau Ahli Parlimen yang melompat parti wajar meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihanraya kecil dijalankan bagi kawasan mereka. Walaubagaimanapun, kita mencadangkan agar mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan wajar diberi peluang untuk bertanding semula sejurus meletak jawatan bagi mewakili parti barunya . Situasi ini penting bagi memberikan keadilan kepada calon dan rakyat dalam proses demokrasi. Undang-undang yang konklusif wajar dibentuk bagi memastikan keterjaminan integriti politik. Kita juga mengecam mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen yang mengambil kesempatan daripada kebebasan berpersatuan yang dijamin Perlembagaan untuk melompat parti atas unsur-unsur sogokan, rasuah dan kepentingan diri. Gerak Malaysia menyarankan agar rakyat menolak kepimpinan yang rasuah dan lebih mementingkan kepentingan diri.



MOHD NAZREE MOHD YUNUS

Pengerusi

GERAK MALAYSIA

1 Comentário:

Soffian Shariff said...

lompat parti ini adalah satu perbuatan yang tidak beretika didalam arena politik tak kira di mana jua..asalkan ada sistem demokrasi melompat parti adalah sesuatu yang dianggap biasa...pada hemat saya penyokong kerajaan pada mulanya tidak menghalalkan pertukaran parti ketika dalam jawatan, dan penyokong pembangkang pula sibuk menantikan tarikh 16 sept yang dijanjikan DSAI untuk ahli Barisan Nasional melompat parti ke PR untuk membentuk kerajaan baru...
situasi sekarang sudah bertukar..

PR menyatakan BN ridak bermoral dalam menerima ahli2 yang melompat itu...

sekarang saya nak tanya kedua2 pihak...dimana ketelusan anda dalam perjuangan politik???

kalau diikutkan zaman Rasulullah, parti2 politik tiada, semuanya dalam satu parti...yang keluar dan membuat perti sendiri dikira keluar jemaah..ini lah, yang mencetuskan serpihan2 islam seperti muktazilah, syiah dan lain2...bermula dengan taksub kepada ideologi dan pemimpin...

sistem yang dibawa Rasulullah telah diambil guna oleh kerajaan2 komunis.dimana semua orang dalam satu perti dan didalam parti tersebut proses pemilihan dan penentuan apa sahaja akan debuat didalam mesyuarat ahli parti (semua rakyat adalah ahli parti yang sama)...

demokrasi adalah senjata barat untuk memecahkan umat Islam...

maaf tulis banyak sangat..saya kurang berminat dengan politik, sekarang lebih minat dengan perjuangan alam sekitar kita..
assalamualaikum...

selamat berjuang...