Pengkhianat Negara

Assalamualaikum warahmatullah...

Sebelum saya meneruskan penulisan ini, saya kira masih tidak terlambat untuk mengucapkan takziah dan tahniah kepada barisan kepimpinan baru Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), semoga segala usaha anda dirahmati Allah swt.

Seterusnya, berkaitan dengan penulisan ini, saya ingin menegaskan, saya bukanlah seorang penyokong atau "orang penting" mana-mana parti politik, sebaliknya saya hanya lontarkan pandangan peribadi yang bersifat non-partisan ini. Di harapnya segala maklum balas selepas ini akan diberikan dengan penuh budi bicara, dan rasional.

Beberapa hari yang lepas, susulan gerakan Demonstrasi Anti-ISA yang telah dianjurkan di ibu kota, telah menerima pelbagai reaksi daripada segenap lapisan pihak. Ada yang marah, katanya menggugat keselamatan negara, merugikan peniaga dan segala macam. Tidak kurang juga yang memuji malahan memberikan sokongan padu kepada para demonstran, dan ada kalanya mereka dianggap seperti wira.

Berturutan dengan itu, timbullah beberapa isu-isu baru yang sedang membelenggu senario politik negara kini. Ini termasuklah kenyataan kontroversi yang telah dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri terhadap dato' Seri Anwar Ibrahim dimana beliau telah melabelkan saudara Anwar sebagai Pengkhianat Negara.

Apa yang saya ingin utarakan didalam wacana pendek ini, hanyalah kehairanan saya.

Apa itu Pengkhianat Negara?

Pada intrepetasi saya, pengkhianat sama ertinya dengan pembelot, di mana adanya isu pelanggaran dogma kepercayaan terhadap amanah, tanggungjawab dan sebagainya, kepada sesebuah janji yang telah dipersetujui.

Ya, sebagai warga Malaysia, sudah menjadi satu kenyataan yang tulus dan jelas, bahawa kita telah diberi kepercayaan sepenuhnya untuk memelihara kedaulatan, dan keselamatan negara. Bagi sesetengah pihak, tindakan demonstrasi itu menggugat keselamatan asasi. Ini pandangan penyokong Barisan Nasional secara amnya.

Tetapi, jika diteliti pula dari perspektif berbeza, kita seharusnya melihat sebab musabab mengapa para demonstran turun ke jalanan untuk berdemonstrasi; tidak lain tidak bukan kerana membantah tindakan Kerajaan yang enggan memansuhkan ISA yang dilihat kejam itu.Mereka bukanlah melakukan perkara ini dengan semborono, sudah berkali-kali mereka menggunakan saluran yang benar dan tepat, namun suara mereka tidak diendahkan, malahan diperkecilkan.Suara-suara kecil ini semakin meronta-ronta mahukan perhatian sewajarnya, seterusnya meletup di kaki lima.

Saya enggan mengulas lanjut tentang itu, mungkin para pembaca sudah arif dengannya.

Seketika tadi saya menerima berita bahawa ahli UMNO bahagian Kulai melakukan demonstrasi menuntut DSAI dimasukkan kembali kedalam ISA, alasannya sama - menggugat keselamatan Negara.Katanya sehingga 2000 orang menganggotai demonstrasi tersebut, tetapi senampak saya, hanya mencapai ratusan sahaja. Maafkan saya jika ada khilaf tentang soal ini.

Sebut sahaja perkataan "pengkhianat negara" saya teringatkan nama-nama besar, daripada George Washington, Lenin, sehinggalah ke Chin Peng. Rata-rata mereka mengangkat senjata, bertempur dengan darah bagi menjatuhkan puak establishment. Ada diantara mereka yang berjaya, ramai juga yang gagal, dilenyap sejarah.

Saya terfikir, adakah saudara Anwar sama tarafnya dengan mereka? sungguhkah beliau mengancam keselamatan negara? adakah beliau telah merancang coup de etat, atau beliau boleh menimbulkan kekacauan sebegitu besar didalam negeri?.

Atau, beliau hanya menggunakan laluan demokrasi untuk bersuara, menuntut akta zalim dihapuskan, menggerakkan kembali agenda rakyat yang dicemari pelbagai soal kebejatan?

Apa yang saya mahu tegaskan disini, saya lebih ambil peduli tentang perasuah, pemecah amanah, pendusta, penyebar fitnah. Bukankah mereka ini juga adalah pengkhianat bangsa, perosak negara?. Mereka membelanja wang rakyat sesuka hati, mereka menabur kekayaan pada kroni, mereka menindas golongan miskin, mereka tindas, dan terus menindas!

Maka saya kira, tidak adillah saudara Anwar saja dilabel sebagai pengkhianat negara. Bukankah masih ramai pengkhianat Agama, Bangsa, dan negara bertebaran diatas bumi Malaysia ini? Malangnya mereka bukanlah didalam sel-sel sungai Buloh, mereka sedang merayakan kekayaan rakyat diatas bot-bot mewah, atau sedang beradu didalam kastil-kastil besar disini atau disana.


Ibn Qadir

1 Comentário:

Sartika said...

Assalamualaikum,

artikel yang bagus ya akhi...di negara saya pun banyak yang menjadi pengkhianat negara..teruslah menulis ya akhi..

Wassalam

www.indonesiabisnis.co.cc