Kuasa Rakyat!!!

Assalamualaikum warah matullah…

Selawat dan salam buat junjungan besar, Muhammad sallallah hualaihi wassallam, serta sekalung doa buat sahabat-sahabat baginda, pejuang yang sebenar-benar pejuang, pembawa kepada gerakan demokrasi Islam, pembawa gelombang tawhid ke sekalian pelusuk bumi Allah..

Malamnya bagai rahib merintis sayu,
Dihiris dosa air mata,
Siangnya bagaikan singa di rimba,
Memerah keringat,
Mencurah tenaga..
Itulah sunnah orang berjuang…

(petikan lagu : sunnah orang berjuang, Hijjaz)



Seketika tadi, fikiran penulis melayang, lantaran memikirkan , adakah benar sejarah itu bak roda? Pusingannya tidak terhenti, sekejap dia atas, sekejap di bawah?


Fikiran ini telah membawa penulis terbang ke zaman permulaan pembentukan empayar Rom, di mana pada asalnya dibina atas asas perpaduan rakyat, dilahirkan sebagai republic yang bebas merdeka, republik yang berdaulat, di mana prinsip demokrasi mula-mula diperjuangkan sebagai sebuah idea bebas, mengikut lunas-lunas hak asasi manusia. Namun Rom yang dikenali telah berubah wataknya, menjadi sebuah Negara diktator, bukan lagi Negara proletariat, bukan lagi Negara rakyat. Kaisar yang dilantik menghancurkan amanah rakyat, terus tamak menjajah Negara-negara kecil, menghenyak Negara-negara lemah. Akhirnya membawa kepada perpecahan empayar Rom, seterusnya melenyapkan tamadun yang telah terbina ratusan tahun itu, kerana kuasa itu bukan di tangan rakyat tapi ditangan maharaja-maharaja yang hanya mementingkan kepuasan nafsu sendiri.

Kemudian, fikiran ini terbawa kepada Revolusi Perancis – Bapa segala revolusi moden. Ya, ia berlaku pada abad ke 16, pada tahun 1789-1799. Pendek kata, revolusi ini berlaku kerana ketidak puashatian rakyat kepada sistem tadbir urus Negara itu sendiri, di mana, rakyat sudah begitu membenci Raja Louis XVI yang boros, membelanjakan wang rakyat demi kepentingan peribadi, lantaran membiarkan rakyat terus tersepit dihinjak wabak penyakit dan kemiskinan. Apa kesannya? –Kemarahan.


Sakit itu telah menjadi dendam, rakyat bangkit, menyembelih sekalian keluarga di raja, menghukum sekalian bangsawan menggunakan Gilloutine, memancung siapa sahaja yang setia kepada monarki. Maka tidak salah jika penulis katakan, revolusi Perancis adalah revolusi rakyat pertama berkiblatkan fahaman sekular.—revolusi berdarah.

Kebangkitan Rakyat di Perancis terus membawa kesan perubahan politik bukan sahaja di eropah, malahan ke seluruh dunia, lihatlah betapa jayanya ia dipromosikan. Sehingga membawa kepada revolusi Inggeris, serta Revolusi rakyat oleh parti-parti komunis di Russia, China, dan Negara- Negara Amerika latin. Malahan, Idea revolusi ini juga telah serba sedikit menyusup masuk ke Negara-negara Islam, misalnya revolusi Islam di Iran pada era 70 an pimpinan Imam Khomeini. Satu gerakan rakyat yang telah menumbangkan monarki terkuat ketika itu, hasil daripada kesedaran Islam dan kebencian terhadap pentadbiran Shah Reza Pehlavi, Syah Iran yang terakhir.


Penulis percaya, revolusi-revolusi pemikiran dan politik sentiasa berlaku, walaupun hingga ke hari tua ini. Pada sudut pandang penulis, kemenagan Obama dalam pilihanraya Presiden di US itu adalah satu revolusi, revolusi yang menuntut kesamaan hak, tidak kira warna kulit, agama atau kaum. Tidak keterlaluan jika penulis mengandaikan perkara ini adalah salah mustahil untuk dibayangkan pada 40 tahun yang lampau. Namun hari ini, Nah! Ini dia coloured President pertama untuk Amerika.

Bagai satu wabak, revolusi ini terus merebak ke merata pelusuk dunia. Paling menarik perhatian penulis berkenaan dengan kejayaan Rakyat menumbangkan Kerajaan proksi Thaksin di Thailand baru-baru ini. Penulis memandang situasi tersebut sebagai unik, kerana, Thailand terkenal dengan pengaruh Raja dan angkatan tenteranya. Ada sahaja kepincangan atau penyelewengan dalam Kerajaan pemerintah, Tentera akan bingkas bangun merampas kuasa, darurat akan diisytihar, pilihanraya baru akan dibuat, Kerajaan baru akan di bentuk.



Namun, apa yang membuatkan penulis berasa takjub, terdapat sedikit anjakan perubahan politik di Thailand di dalam suasana yang lebih matang telah berlaku. Di kala kekalutan di Bangkok, di mana rakyat telah mengepung bangunan-bangunan pentadbiran, seterusnya menduduki lapangan terbang utama di Thailand, pihak tentera mengambil sikap berdiam diri, seolah-olah merestui kebangkitan rakyat di Thailand. Protes ini walau pada mulanya di pandang remeh, namun lihatlah gelombangnya, Berjaya melumpuhkan pentadbiran Kerajaan memerintah, membawa kepada perlucutan kuasa perdana menteri, serta pengharaman 3 parti proksi thaksin di Thailand. – INILAH KUASA RAKYAT!

Sekilas pandang di Malaysia, penulis melahirkan rasa sedih, kerana rakyat di Negara ini masih kurang kesedaran hak dan politiknya. Usah diharapkan kutu-kutu jalanan, malahan golongan mahasiswa itu sendiri kelihatan tumpul semangat juangnya. Sedarlah sahabat, masih wujud undang-undang zalim tanpa bicara, masih wujud kawad berduri mengikat kita untuk bersuara, masih wujud penyelewengan wang Negara, masih wujud agenda kejam menodai agama Allah.. Bangunlah sahabat, ia bukan untuk kita, tapi demi masa depan anak-anak kita! Ini bukanlah sebuah provokasi, tetapi hanya kepercayaan kepada kuasa rakyat dan demokrasi!


Apakah revolusi perancis itu akan berlaku di timur?

Fikir-fikir kanlah…


Ibn Qadir

Petisyen membantah pelajaran sains dan matematik didalam bahasa inggeris



assalamualaikum warahmatullah...

sehubungan dengan ini penulis menyeru, sahabat-sahabat pembaca agar sama-sama mengembeling tenaga bagi tujuan membantah PPSMI. Hal ini kerana, PPSMI telah dilihat sebagai penyumbang kepada kecacatan bahasa melayu yang telah sekian lama menjadi bahasa ilmu di negara ini..

Apa lagi yang tinggal pada Bahasa ibunda kita? Apa lagi yang boleh diwarisi oleh anak cucu kita? Ayuh!! Selamatkan bahasa melayu!

Nyatakan sokongan anda disini !!---> klik


Ibn Qadir
Ahli PKPIM


-------------------------------------------------------------------------------------------------



PETISYEN MEMBANTAH PPSMI

Petisyen kepada Kementerian Pelajaran Malaysia PPSMI : Kembalikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar.

Kami warga Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, amat bimbang terhadap penghakisan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan yang berlaku di Malaysia.

Pada tahun 2003 lalu, kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk meminda dasar pendidikan negara dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di seluruh Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Situasi ini sebenarnya menyebabkan kedudukan Bahasa Melayu semakin tergugat dan meniti saat-saat untuk lenyap dari tanah air kita sendiri.


Menurut Dasar Pendidikan Kebangsaan 1996, kedaulatan bahasa melayu harus dipertahankan sebagai bahasa teras dalam sistem pendidikan negara. Dasar tersebut dengan jelas menyatakan bahawa “dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama”. Hakikatnya, jika dasar Pendidikan Kebangsaan ini tidak dipelihara, ia akan membebankan guru dan pelajar luar bandar untuk menggunapakai Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.


Dalam pada itu, pelaksanaan dasar PPSMI yang dilihat tergesa-gesa ini amat bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara. Sementara itu, Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah memberi definisi jelas kepada maksud sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.


Menurut Seksyen 2,
Sekolah Kebangsaan ditafsirkan sebagai sekolah Rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan— (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.
Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan pula ditakrifkan sebagai sekolah menengah kerajaan atau sekolah menengah bantuan kerajaan - (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.


Seksyen 17(1) Akta Pendidikan juga menyatakan “Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini”


Adalah amat mengecewakan apabila pemimpin Melayu kini sudah tidak memiliki sensitiviti untuk mempertahankan nasib bahasa kebangsaan dan dalam masa yang sama tidak menghormati peruntukan undang-undang tertinggi negara yang menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Dasar yang menjamin kedudukan bahasa Melayu yang diwariskan oleh pemimpin terdahulu juga sudah dianggap tidak relevan dan tidak dinali sebaik-baiknya.


Untuk memastikan agar kedudukan bahasa Melayu terjamin dalam negara ini dan tidak terus digugat, malah diangkat dan dimartabatkan, kami menyeru agar Kerajaan Malaysia:


• Mengembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains
dan Matematik di semua sekolah rendah kebangsaan dan menengah.
• Memelihara bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan perpaduan kaum.
• Menghormati dan menguatkuasakan sepenuhnya segala peruntukan undang-undang
yang ada yang menjamin kedudukan bahasa kebangsaan.
• Mengekalkan dasar-dasar negara yang menjamin kedaulatan bahasa melayu yang
diwarisi oleh generasi pemimpin terdahulu.


Kami, dengan ikhlas dan tegas, dan penuh rasa tanggungjawab percaya bahawa kemajuan negara akan tetap tecapai walaupun kita mengekalkan bahasa, budaya dan jatidiri kita yang tulin. Perlu disedari bahawa bahasa merupakan jiwa dan cerminan kepada bangsa dan jika tidak dipertahankan akan hilanglah jatidiri bangsa kita sebagai Melayu dan Islam.


Gerakan Anti PPSMI (GAP)
Sekretariat PKPIM Pusat,
Kompleks Anjung Rahmat,
Batu 6, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur.

Tel : 03-61879520
Faks : 03-61842570
www.pkpim.net
spp@pkpim.net

Juang Menentang Korupsi : Realiti atau Fantasi?

Asslamualaikum warahmatullah…

Selawat dan salam buat rasullullah sallallahualaihiwassaallam, marilah sama-sama kita panjatkan doa kesejahteraan buat sahabat-sahabat serta kaum kerabat baginda, semoga roh mereka ditempatkan bersama para-para anbiya’ yang banyak bekorban demi memperjuangkan agama Allah yang ulung ini..

Salam perjuangan buat sahabat sekalian.. berdoalah supaya hendaknya Allah menetapkan istiqamah dalam jiwa ini, meneruskan perjuangan tanpa gentar dan gugup, berniatlah hanya untuk mencari keredhaannya….


Sahabatku sekalian..

Sejak beberapa bulan lalu, penulis amat tertarik untuk mengikuti senario menjelang pemilihan agung UMNO yang akan dijalankan kelak. Penulis bukanlah seorang ahli UMNO, mahupun penyokong UMNO, namun, banyak perkara yang berlaku, kadangkala mencuit hati penulis ketika membaca coretan akhbar mengenainya.

Penulis amat teruja, berkenaan dengan pencalonan penuh yang diperolehi oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang mendapat mandat untuk dicalonkan bagi kerusi Presiden Umno bagi penggal yang mendatang. Apa yang menghairankan penulis, kedudukannya seolah-olah tidak tercabar, kerana tiada pemimpin parti yang lain mampu memperoleh pencalonan yang mencukupi bagi merebut kursi presiden UMNO bagi penggal hadapan. Hal ini membuatkan penulis berasa kagum dan takjub terhadap Dato’ Seri Najib, kerana, walaupun beliau debelenggu dengan masalah-masalah dalaman parti, dan seringkali dikaitkan dengan masalah-masalah luaran, seperti komisyen pembelian kapal selam, kes pembunuhan warga Mongolia, altantuya sharibuu, pembabitan didalam kes liwat dato’ seri anwar, serta bermacam-macam masalah lagi, membuatkan penulis berasa cemburu, kerana beliau masih lagi dipilih untuk menerajui UMNO, dan seperti yang kita ketahui , barangsiapa yang menerajui UMNO, beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia secara adatnya. Mengapa begitu? Adakah Dato’ seri Najib bakal menjadi penyelamat kepada parti nasionalis itu? Atau, UMNO sudah ketandusan pemimpin? Penulis berharap jawapannya datang daripada pemikiran pembaca sendiri, wallahualam…



Seperkara lagi yang menarik perhatian penulis, berkenaan dengan kesungguhan UMNO untuk membanteras amalan politik wang didalam pemilihan parti itu sendiri. Alhamdulillah, penulis mengecap syukur, kerana komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan Umno dalam membanteras gejala politik wang yang dikhabarkan semakin menular dikalangan ahli parti mereka. Jawatankuasa tata tertib parti juga kelihatan bertungkus lumus untuk membongkar keterlebitan ahli-ahli mereka yang terbabit dengan gejala politik wang dan rasuah, seperti yang terpampang didada-dada akhbar, ahli UMNO yang didapati terlibat dengan politik wang, akan dibuang parti! Satu komitmen yang harus dipuji oleh segenap lapisan pihak.



Namun, terdapat beberapa isu yang amat menghairankan penulis. Penulis tertanya-tanya, mengapa di kalangan media massa, terma politik wang yang bisa sekali kedengaran? Mengapa media massa tidak menggunakan terma rasuah? Bukankah Politik wang dan Rasuah itu sama ertinya, sama saudaranya, sama kerabatnya? Apakah bezanya dosa rasuah dan politik wang disisi agama? Ke syurgakah atau ke nerakakah? Ke Sg buloh atau ke seri perdana?

Seterusnya, mengapa pengamal politik wang tersebut akauntabilitinya tertakluk kepada jawatankuasa disiplin parti? Mengapa ia tidak disiasat oleh badan-badan neutral seperti Badan Pencegah Rasuah secara terus? Bukankah itu lebih baik bagi menangkis amalan nepotisme dan birokrasi. Di sini penulis melahirkan kegusaran kerana khuatir, matlamat yang dilaung-laungkan oleh pucuk pimpinan parti tidak akan kesampaian, kerana dek gejala pilih kasih, dek gejala menjaga hati “teman seperjuangan”

Sukacita penulis mencadangkan kepada pucuk pimpinan UMNO, supaya melantik badan-badan bukan berajaan sebagai agensi pemantau bagi memastikan pemilihan agung UMNO dapat dijalankan dengan bersih, tulus, dan cekap, serta bebas dari ancaman korupsi.

Kami di GERAK juga menegaskan kesediaan kami, untuk menjadi badan pemerhati bagi mencapai agenda masyarakat untuk melihat pemilihan yang bersih, adil, dan saksama, serta bebas daripada amalan korupsi yang menjadi seteru agung terhadap perjuangan demokrasi.

Ke Arah Masyarakat Demokratik Dan Anti Korupsi!

Ibn Qadir
Bahagian kepimpinan dan sukarelawan,
Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (GERAK)
Malaysia

secebis sajak ..

assalamualaikum...

disini penulis ingin berkongsi sajak yang dikarang oleh psychedelic mundo yang ketika ini sedang melanjutkan pelajaran di jordan.. teruskan perjuangan mu di bumi anbiya' sahabat!


-------------------------------------------------------------------------------------

Buat sahabat-sahabat jauh dan dekat
Jangan kau fikir ini sahaja dunia mu
Berpaling arah membuka lembar
Sambil terkepit Goald Coast di hujung bibir
Atau Nusantara hijaumu ditepi mulut
Berpusing kepala mencari makna
Tersangkut tekak ditinggal kekasih
Jangan,jangan kau ingat ini sahaja duniamu

Legakan dengan secangkir kopi atau teh
Melabonlah sampai tingggi mentari asal jgn kau sedih
Biar dunia tahu kau bukan bangsat mencuri harta
Rakyat tak berdosa satu apa pon jangan kau seksa
Kerna bumi ini Tuhan cipta bukan untuk menyebar noda
Di hasut syaitan tertegak batang dan tanduknya
Nafsu dan serakah menjadi tuhan manusia gila

Biarkan setan dengan kerjanya
Sekupang dua kunun ditadah sangat di bumi tua ini
Haram mengenang nasib orang di bawah
Menganggok sahaja walau betol-betol tuannya salah
Jangan kau ingat ini sahaja duniamu
Kelak tiba masa kau merayu membabi buta
Pekong ditelanjang di khalayak mata
Mampus dikejar rasa malu dan berdosa
Jangan kau ingat ini sahaja dunia mu

Tonggang lah air apa pun yang kau suka
Mabuklah dengan apa cara pun yang ko suka
Tugas mu bukan mencari seluar dan baju mu sahaja
Ramai lagi yang bogel hidop derita
Entah bila nasibnya akan dibela
Ini kerja kau kawan,kerja ku jua

Maaf buat mu kasih
Aku pergi jauh dari mu
Bukan mencari betina bogel buat pelepas nafsuku
Bukan mencari kencing syaitan hingga kembung perutku
Bukan mencari seluar baju buat membalut tubuh telanjangku
Bukan,bukan itu sahaja duniaku
Mencari erti hidop walau digamit rindu

Teman dan taulan jangan kau lupa perjuangan mu
Suatu hari aku pulang aku datang mencari mu

Buka sempadan!!!!

Assalamualaikum warah matullah

Selawat dan salam buat junjungan besar buat rasul pilihan, Muhammad saw..
Buat pejuang-pejuang agama Allah yang tidak pernah kenal erti lelah dalam berjuang, tekadkan I’tiqad, teruskan perjuangan, semoga bantuan Allah akan sentiasa bersama kamu…



Sahabat ku,

Seperti yang kita sedia maklum, krisis kemanusian di Palestine telah menjadi semakin meruncing dan semakin parah..
Hal ini kerana tindakan Kerajaan mesir yang telah menutup sempadan mereka dengan semenanjung Gaza sejak beberapa minggu yang lalu… Hal ini berikutan kononnya sebagai salah satu cara untuk memberi tekanan kepada pihak Hamas yang berkuasa di semenanjung Gaza supaya menghentikan serangan terhadap Israel bagi tujuan menghormati genjatan senjata yang telah dipersetujui bagi kedua-dua belah pihak.

Kini, semenanjung Gaza boleh dianggap sebagai penjara yang terbesar didunia, tiada bekalan elektrik, ubat-ubatan, bahkan diberitakan krisis bekalan air bersih telah menjadi semakin meruncing akibat tiada bekalan bahan kimia bagi tujuan pengitaran air tersebut..

Penulis melihat situasi ini sebagai langkah sistematik bagi tujuan penghapusan etnik di semenanjung Gaza, disamping sebagai salah satu cara untuk melemahkan semangat juang gerakan Hamas di Palestine.

Sebagai seorang muslim, penulis berasa cukup sedih kerana terdapat Negara islam yang sanggup mengorbankan nyawa saudaranya sendiri hanya kerana tekanan politik, lebih-lebih lagi ianya datang daripada Negara-negara yahudi yang sememangnya terkenal sebagai dalang dalam menjatuhkan umat Islam hari ini…



Penulis hairan, ke mana perginye OIC? Kemana perginya majlis keselamatan PBB? Kemana perginya gerakan-gerakan Islam yang sebelum ini lantang memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Palestine?

Sehinggakan di Malaysia sendiri, tiada protes secara aman yang dilakukan kepada Kerajaan mesir dan kuasa-kuasa besar, tiada kenyataan rasmi dibuat bagi tujuan mendesak agar sempadan Gaza-Mesir dibuka kembali.. Lebih memalukan, pada pengetahuan penulis, hanya jawatankuasa menteri-menteri Negara Eropah (EU) yang lantang membuat kritikan terhadap penutupan sempadan tersebut.. EU? Dimana Malaysia, Arab Saudi, Brunei, Qatar, UAE dan Negara-negara Islam yang lain?? Mengapa tiada tekanan politik dilakukan keatas Mesir?


Baru-baru ini, penulis telah berkesempatan mengikuti delegasi dari Pertubuhan kebajikan pelajar Islam Malaysia ke jabatan perdana menteri bagi menyerahkan memorandum berkenaan dengan isu pelarian Palestine kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ seri Abdullah Ahmad Badawi.


Serba sedikit mengenai memorandum tersebut, kami bersama 11 gerakan yang lain telah mencadangkan kepada Kerajaan Malaysia supaya mempertimbangkan rancangan untuk membawa sebahagian pelarian Palestine ke Malaysia bagi tujuan kemanusiaan. Alhamdulillah, majlis tersebut telah disempurnakan, dan besar harapan kami, agar Kerajaan persekutuan menimbang dengan searifnya terhadap cadangan yang telah dikemukakan.

Penulis menyeru, kepada rakan pembaca sekalian, terus berdoa, dan terus menyokong perjuangan menegakkan keadilan dan keamanan di bumi Palestine..


ALLAHUAKBAR!!!


Ibn Qadir
Ahli PKPIM

Tuntutan Integriti dan Bebas Korupsi

salam perjuangan..

selawat dan salam buat rasulullah serta keluarganya..
segunung doa buat para sahabat-sahabat rasulullah yang membina seruan kebenaran setelah wafatnya satria agung,
serta salamku keatas seluruh umat Islam, yang bermujahadah dari timbulnya matahari di timur, hinggalah tenggelamnya di barat, bekunya lautan artik itu diutara, mahupun kembarnya di lautan selatan...doaku sentiasa bersamamu dalam segala kepedihan, mahupun kegembiraan..

salam taulan, salam ramadhan, dan salam idul fitri keatas sekalian umat, sekalian mazhab, sekalian fahaman...semoga perjuangan menentang kezaliman musuh kalian yang hakiki, dapat ditamatkan dengan kejayaan jua...


saudaraku sekalian...

Ogos lalu, genaplah 51tahun kemerdekaan tanah melayu, perjuangan rakyat yang menuntut kemerdekaan daripada tangan-tangan jijik penjajah barat,mematikan nafsu rakus penjajah putih, yang telah menghirup hasil kekayaan tanah ini selama lebih 300tahun hasil daripada tipu helah dan strategi kotor mereka. Hasil daripada darah, rundingan, dan gembelingan tenaga yang tidak terhingga, akhirnya nikmat kemerdekaan itu berjaya juga dikecapi setelah sekian lama diangan-angankan.

Namun, negara ini masih gagal, malah kian gagal....masalah kemiskinan masih gagal diatasi dengan berkesan, tidak kira samada bumiputra ataupun bukan bumiputra, masalah ini masih lagi membelenggu masyarakat ini walaupun setelah lama ia merdeka.



Lebih memeritkan, dasar ekonomi baru, secara rasminya telah diisytiharkan gagal oleh pihak pemerintah pada 2005. Dasar ini, yang dilancarkan dengan megahnya pada era 70an oleh kerajaan, yang bertunjangkan memperbaiki taraf ekonomi orang melayu dan bumiputera, tumbang menyembah tanah, hangus dibakar api, hilang arah tujunya bak pengembara kesesatan..

Di mana silapnya?

Dasarnya kah?
Pemimpinnya kah?
Atau penerimanya?
Atau tulisannya?
Atau isinya?
Atau dakwatnya?
Atau retoriknya?

Di mana kepincangannya?
di bumi atau di langit?
di laut atau di darat?
pagi atau malam?


pada hemat penulis, punca utama kegagalan DEB itu sendiri adalah amalan nepotisme, birokrasi, korupsi, dan rasuah dikalangan mereka (siapa mereka? fikir2kan)...

Korupsi dan rasuah, adalah dua penyumbang penting didalam kejatuhan sesekecil kerajaan, mahupun sebesar-besar empayar.Lihatlah empayar rom, yang dikatakan kiblat kepada segala ketamadunan barat, segala kekuatan bala tentera moden, segala budaya ilmu pada eranya, akhirnya runtuh disebabkan masalah korupsi dan rasuah.

Begitu juga empayar Byzantine, runtuh akibat ketamakan pemerintah mengaut kekayaan, mengamalkan dasar pilih kasih, dan didokongi oleh pembesar-pembesar korup.

Malah, diberitakan, Empayar agung Uthmaniyyah di Turki, diruntuhkan oleh Kamal Attarturk dengan mudahnya, akibat daripada kealpaan sultan, bermandikan kekayaan yang melimpah ruah, dengan memakan wang yang diamanahkan oleh rakyat, untuk membina mahligai-mahligai indah, bagi memenuhi nafsu duniawi.

Renungkanlah sahabatku, jika empayar sehebat itu boleh diranapkan dengan mudah akibat daripada korupsi dan rasuah, apatah lagi negara kerdil ini seperti malaysia?

Ya, cabaran hari ini lebih sukar dari hari semalam.. persaingan untuk terus maju semakin sengit, justeru, penulis percaya, faktor utama dalam resipi kejayaan sesebuah kerajaan adalah kredibiliti dan integriti sesebuah kerajaan itu sendiri. Keupayaan sesebuah negara mentadbir negara dalam unsur kritikal dengan menjamin ketelusan dan pertanggungjawaban adalah kayu ukur terhadap kemajuan sesebuah negara.Pendek kata, urus tadbir bersih (good governance) amatlah dituntut bagi membina keyakinan segenap lapisan pihak tidak kira dari barisan rakyat itu sendiri, mahupun pemodal-pemodal asing. Ini adalah satu tuntutan penting bagi menjamin kestabilan politik dan ekonomi semasa di sesebuah negara.

Namun realitinya di Malaysia, permasalahan rasuah dan korupsi telah menjadi suatu budaya tegar didalam masyarakat ini.Penulis percaya, ramai yang tidak bersetuju dengan penulis mengenai kenyataan ini...namun, disini penulis bertanyakan kepada pembaca semua, pernahkah terlintas, terdengar, atau mengalami situasi-situasi dibawah ataupun seangkatan dengannya?


Situasi 1:

Anda sedang melalui sebuah lebuhraya di ibu kota, tanpa anda sedari, anda telah memecut lebih daripada had laju yang ditetapkan...anda terus memecut, 110,120, dan akhirnya 160km sejam.. tidak lama kemudian, dalam keadaan terkejut anda terpaksa memberhentikan kereta kerana sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa dihadapan...
Perlahan-lahan anda dihampiri pegawai berkuasa tersebut...

Lans kopral A : Encik, laju ni...salah ni...encik boleh kena saman ni!
Anda: Maaflah encik, saya nak cepat nak ke tandas...dah tak tahan ni... (tipu sunat konon)
Lans kopral A: Mana boleh camni encik, ni salah ni... rm300 ni kalau encik bayar kat balai...
Anda: sorrylah encik, saya tak perasan tadi... errmm... tak boleh kurang ke encik..
Lans Kopral A: Encik boleh mintak kurang kat balai... buat rayuan...
Anda: Takkan camtu je Encik... takde care lain ke ...
Lans kopral A: Camnilah, sebab awak ni x sengaja, dan boss saya takde, awak bayar RM 50 je la,macam mana? settle?
Anda: (bingung)..........



Situasi 2

Anda seorang usahawan muda, yang baru memulakan perniagaan separa berjaya...satu hari anda terjumpa rakan sebaya anda, seorang usahawan muda seperti anda, tetapi jauh lebih berjaya daripada apa yang anda kecapi. Di sebuah restoran, anda mulakan perbualan dengannya..

Anda: pergghh....cantikla hanset ko...mahu 3ribu sebijik ni, wah, ko datang dengan BMW? aiii...jeles sungguh aku dengan ko.!!
Rakan: Biasalah beb...nak meniaga kene pandai-pandailah hidup...kena la kenal-kenal orang...
Anda: wah...nak meniaga pon kene kenal orang ke? aku pon ramai jugak kawan-kawan dekat friendster, haram tak kaya pon!(lawak murahan tak menjadi)
Rakan: Bukan friendster la.... ko ni... kenela baik dengan "orang-orang dalam" baru la senang dapat tender... masyuk wooo...bile dah dapat tu, jangan la makan sorang, kasikla "hadiah" skit lepas tu...
Anda:Bolehke macam tu ?(pura-pura bodoh)
Rakan: aiii..nak kaya hari ni kene la ada Cable...mana boleh kaya kalo buat betul-betul ikut buku...sampai mati pon tak kaya... mujola ade pak cik aku kerja kat kementerian x, senangla aku nak dapat tender...
Anda: ooooooo..... (ternganga ketamakan)


Sekiranya benar kata penulis, lihatlah, betapa meruncingnya masalah korupsi dan rasuah di negara ini. Kadangkala, situasi diatas seringkali dianggap sebagai satu "perkara biasa" didalam masyarakat kita, jauh sekali persepsi negatif terlintas difikiran..

Sedarlah, serba sedikit, ia telah mencacatkan nilai moral masyarakat kita, menghalalkan jenayah terkutuk ini bak menggali kubur generasi mendatang.

Sedarlah sahabatku, seorang bapa yang menyuap anaknya dengan makanan yang diperolehi secara haram dan tidak sah di sisi Allah, akan membawa bencana kepada anak tersebut...

Maka, tidak hairanlah mengapa krisis permasalahan sosial dan jenayah semakin meruncing.. Mungkin sebab pemakanan? Atau sumber kewangan untuk membeli makanan?


Ke arah Masyarakat anti rasuah dan korupsi!

Ibn Qadir

Bahagian kepimpinan dan sukarelawan,
Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (GERAK)
Malaysia

cemerlang gemilang terbilang

Salam perjuangan buat rakan-rakan sekalian…

Terlebih dahulu penulis memohon maaf sekiranya entri berikutnya menyentuh sensitiviti sesetengah pihak, bahasanya cukup kasar lagi sinis, namun, apa yang penulis lakukan hanyalah secebis “kenakalan” penulis sendiri, walaupun gaya penyampaiannya berbeza, namun maksudnya tetap sama…

Terpulanglah kepada pembaca untuk menilai dan memahami isi kandungannya..

Penulis sentiasa terbuka terhadap kritikan yang bakal dikemukakan meskipun ia pahit utk ditelan….

Selamat membaca!!

*sekiranya tidak selesa dengan pembacaan dibawah, sila tutup page ini, atau berikan maklum balas anda kepada penulis…

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hey penyokong totok Pakatan rakyat!

Asalla korang ni degil sangat? Asalla nak diikutkan sangat dengan si tok sheikh tu? Korang tau tak? Buang mase je ko layan tok sheikh tu…. Satu sen pon ko x dapat!! Tender x dapat, biasiswa x dapat , silap haribulan korang kene buang Universiti tahu tak? Cubela ko join side kitorg, duit dapat, biasiswa senang, kroni ramai,silap-silap nak kaye cepat pon senang kalo kene carenye… Apekejadahnye ko dok sokong pakatan rakyat ni? X paham tolla aku dgn korang! Mmg dasar penyangak jalanan!

Hey penyokong totok Pakatan rakyat!

Ko tgkla lebai sanjungan ko tu! Ha, kantoi menjubo lagik!!!! Ntahpapela korang ni, mamat tu gay kau tahu x? X puas lagi ke dgn 98? Dok sorong-sorong tilam,Tivoli sane Tivoli sini?? Hebat tol pak sheikh korang time tu, Tivoli x siap pon boleh buat jugak mende terkutuk tu…buat atas simen ke ape….adik angkat, drebar, sme nak tibai… Eiii, jijik aku dgn korang ni!!! …Korang nak marah si ghani patail ngan Musa tu apahal? Diorg berjasa pada Negara ko tahu tak???? Ko tgk, atas jasa diorg, cepat je naik pangkat… Aku dgr ghani tu bknnye bijak sgt kat UM dulu, tapi sbb jasa besar dia pada Negara, cepat je jadi AG,….Musa t u pon, dulu tukang sorong tilam je…. Wei..ape gelak2…!!! Korang ingat tilam tu ringan??? Berat gle tahu x? ingat senang ke keje angkat tilam??? Haa… sekarang tgk, dah jadi ketua polis… Power x??? skrg pak sheikh tu dok kelam kabut kalut dengan tuduhan kedua… haa…baru padan muka kau…biar satu dunia tahu ko ni ske jubo budak jambu!!! Konspirasi konon…konspirasi apenye? Najib x takutla dengan kes altantuya tu… kan najib Kan kan!!! Bukannye najib xde telur!! Kalau takde pon ko peduli hape? Alaaa…. Gamba2 tu korang photoshopkan je…macam la aku tak tau…hahhaha

Hey penyokong totok Pakatan rakyat!

Apahal la korang ni…rosak otak ke??? Dok demo sane sini….pasal Altantuya marah, minyak naik marah, sme mende nak naik darah. Kemonla, biar realistic skit…. Satu dunia minyak naik tahu x? Korang ni janganla compare dengan UAE, Iran, Kuwait, ngan Saudi, diorg tu Negara pengeluar minyak, kita ni Negara yang xde minyak, kering kontang, ade tahik lembu je, ha, cubala korang comparekan dengan Negara-negara berjiran ni, Singapore ke, Thailand ke ape ke….. tgk! Tgk! Tgk! Jauh murah lagi tahu tak!!! Ko tgk Negara India, baru naik 50% dah kecoh beb…sampai nak bunuh-bunuh, sampai nak derhaka pada polis!!! Mane bley derhaka polis….itu bukan budaya kite yang lemah lembik…Polis kan baik…..

.....kalo dalam cerite omputeh polis asek baik je…Jackie chan ske sangat berlakon jd polis2 ni… Tu sbb aku kate polis baik!!! X percaya lagik? Tgk Gerak khas atau roda-roda kota raya… Ha, kite yang naik dekat 100% ni, lepak sudeyyy… protes2 ni bknlah budaya Negara bakal nak maju macam kita ni, demo2 ni budaya Negara miskin dan mundur je, macam france, USA, Britain, Australia, germany, dan Negara-negara miskin hapak yang lain… X percaye? Tgk komedi kat astro channel 103 tiap-tiap pukul 8-9malam… ha…aku ade bukti ni…cuak-cuak!!!

Hey penyokong totok Pakatan rakyat!

Satu lagi aa aku mual ngan korang ni…. X abes-abes nak suruh mansuhkan ISA ni…. Ko tau x betape bahayenye tindakan korang yang memperjudikan naseb Negara yang aman permai ni??? Kalo ko nak tahu, ISA tu dibuat utk tangkap komunis dekat hutan dulu,haaa…. Hari ni, komunis kat masjid pon boleh tangkap, komunis kat rumah pon leh tangkap, komunis kat pertama complex pon angkut je. Korang ingat komunis dah xde lagi ke? Korang tak tahu ke mayat boleh bangun dari kubur? Haa…. Korang jangan tak tahu, banyak mende magic yang makin banyak berlaku, petanda kiamat agaknye… ha? X tau? Alaaa…korang ni…lecehla… meh aku sound skit telinga korang yang pekat dgn tahik ni!!! Korang tgk, nama orang baru mendarat dari KLIA pon ttbe ilang, syarikat minyak untung, minyak boley naik, dan adik beradik menteri turut kaya-raya!!! Haa… magik x? meh aku bitau korang yang jahil ni satu rahsia, ni magik hari mendatang---- Rakyat msia pegi keje pakai beskal, peniaga kecil jadi miskin, inflasi makin meningkat, Aku kentot wangi!!! Hahahha

Dahla, penat gile dah aku menulis, bukan dapat komisen berjuta pon!!!

Korang ni memang banyak sangat berfikr!!! Xyah berpikirla! Kan senang hidup korg!! Aman tenteram…

Ptttuuuiiii!!!!!!!

Salam maut!!

Anak kadir

Sekilas pandang dari kaki lima....


Selawat dan salam buat junjungan besar, Muhammad saw…

Sejunjung pujian dan doa kesejahteraan buat seluruh kaum kerabat dan sahabat-sahabat baginda yang tidak pernah lari daripada perjuangan suci membawa rahmat kepada seluruh alam...

Sekalung tahniah buat sahabat-sahabatku diluar sana yang tidak pernah kenal erti lelah dan jemu memperjuangkan yang hak dan membanteras yang batil, dikala dihenyak arus kekejaman dan penindasan yang mengganas didunia ketandusan ketamudan hari ini.

Salam perjuangan buat sahabat-sahabatku sekalian....

Maafkan penulis, kerana setelah sekian lama menyepi dari arena penulisan untuk seketika... Bukanlah kerana merajuk atau berkabung, namun ada beberapa masalah teknikal telah membelenggu penulis sehinggakan penulis telah gagal untuk memperbaharui entri yang sedia ada...harapnya, segala kecacatan dan kenaifan ini dapat dimaafkan oleh pembaca sekalian.

Menyorot kembali peristiwa-peristiwa penting sejak 3bulan lalu, bermacam-macam perkara yang penulis merasakan pelik, namun benar telah berlaku. Bermula dengan isu kandang khinzir di Selangor, disusuli Isu DEB akibat kenyataan ketua menteri Pulau Penang, Lim Guan Eng, Kenyataan Akhbar kontroversi oleh YB Karpal Singh,Krisis makanan global, Isu kuota biasiswa 55-45, dan yang terkini, isu kenaikan harga minyak yang telah mengundang kecaman masyarakat kepada kerajaan memerintah.

Aaaahh....

Secara jujur, penulis agak bingung memikirkan keadaan dunia hari ini... bermacam-macam masalah menggigit tubuh isi rumahnya, begitu banyak kerunsingan yang direka, begitu banyak yang menindas, begitu kuat melanyak si tertindas.

Apapun, secara kesuluruhannya, penulis beranggapan kebanyakan masalah yang terjadi boleh ditakrifkan sebagai normal akibat daripada pasca pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Sungguh menarik jika difikirkan.... di sini penulis akan cuba mengupas setiap satu masalah secara ringkas untuk dikongsi bersama pembaca sekalian.

Khinzir... atau Babi dalam bahasa kasarnya, satu perkataan yang amat sensitif untuk golongan melayu muslim di negara ini. Malah lebih melucukan, perkataan tersebut lebih hina dan haram jika dibandingkan dengan beer, scotch atau – arak.Maka tidak hairanlah sekiranya kandang khinzir mahu didirikan secara besar-besaran, marah sungguh sekalian umat melayu, terus diacukan keris warisan ke udara, terus ditohmah kata-kata nista kepada si pembina,- apatah lagi penguasanya adalah seorang melayu, Islam, tokoh yang dihormati?,Sedangkan kilang minuman keras masih lagi berdiri megah, peminumnya bukan sahaja bukan muslim, malah muslim ”totok” turut menunggak ”air setan” itu sejak usia hijau walau dibangku sekolah lagi.Tiada siapa peduli, tiada siapa melalak atau melolong, tiada siapa meratap, tiada siapa menangis... wah! Sungguh ironi bukan?, Walhal, kedua-duanya adalah sama tara haramnya disisi agama Allah... bukankah begitu??. Begitu menakjubkan Malaysia ku ini.

Tidak dinafikan, adalah tanggungjawab seorang pemimpin Muslim untuk memelihara kebajikan penduduk bukan islamnya...Adalah tanggunjawab mereka untuk membenarkan makanan yang haram buat kita kepada mereka, dengan tertakluk kepada beberapa syarat dan peraturan..Sahabatku sekalian, masih ingatkah gejala virus nipah, coxakie, yang melanda negara beberapa ketika dahulu? Masih ingatkah gejala pencemaran najis khinzir di Negeri sembilan?. Mengapa ia terjadi? Mengapa ia mudah merebak?

Pada pendapat penulis, ianya terjadi kerana ketiadaan kawal selia secara moden yang berpusat oleh pihak berwajib. Ketika itu, kandang-kandang khinzir diuruskan secara tradisional, melalui teknik secara turun temurun, mengundang bau busuk, serta masalah penyorokan khinzir ketika virus nipah merebak akibat takut mengalami kerugian mendadak.... Fikirkan sejenak...apakah penyelesaiannya? Pada penulis, sudah tentulah penternakan berpusat, senang dijaga, senang diselia, senang DIHAPUSKAN ketika wabak penyakit melanda.


Alahai DEB.... indah khabar dari rupa...sudah hampir 30tahun DEB dilaksanakan, tetapi apakah hasilnya? KEGAGALAN...dasarnya cukup menarik, antaranya rancangan FELDA, tawaran pembelajaran yang meluas kepada kaum bumiputera, limpahan kekayaan melimpah ruah untuk sekalian umat melayu, pembangunan fizikal secara besar-besaran... namun, masih lagi ramai umat melayu terdesak, terpinggir, tersepit dek kemelut kerasukan kuasa ekonomi laissez fairre... Timbulnya persoalan perdana... Mengapa?? Kenapa?? Dan siapa???... berbillion dijana, berjuta tenaga gerak kerja dikumpul, beratus profesional seantaro dunia dipanggil untuk mempeloporinya, Namun masih lagi gagal dek kerana polisi berat sebelah yang dianjurkan, prinsip pembahagian kekayaan secara politik kepartian, si penentang terus dipingggir dari cabaran ekonomi perdana, si penyokong disumbat dengan kekayaan bak menatang minyak yang penuh... Maka tidak hairanlah jika rumah datuk Z sebesar istana raya ditengah-tengah setinggan kota!! Hah!! Dunia...

Rujuklah perlembagaan negara tercinta ini, mana katanya kuasa sultan seperti di zaman feudal?, faktanya sultan hanyalah simbol kehormatan, dan kuasanya telah disekat sebesar-sebesarnya sejak di zaman penjajahan British lagi. Jika Yb Karpal berkata begitu, kenapa mahu melatah? Bukankah ianya realiti yang tidak langsung janggal? Mengapa tergesa-gesa membawa Karpal ke muka pengadilan? Sana sini sedondong ke balai, melapor kekusutan kenyataan peguam itu? Secara jujurnya, penulis langsung tidak peduli sekiranya karpal disoal siasat atau didakwa... Namun apa yang menarik perhatian penulis, dimana si bacul yang mengutuk sultan terengganu sebagai ”natang (binatang)” ketika YB Idris jusoh tidak dilantik sebagai Menteri Besar selepas pilihanraya lalu? Di mana mereka? Disembunyikan? Didiamkan sahaja? Sungguh ironi, bila si singh mengutuk, terus menghunus parang, tetapi apabila simelayu hamba sultan itu sendiri mencela, di bela?

Adalah mengejutkan...apabila kuota peruntukan biasiswa yang sekian lama didominasi oleh kaum bumiputera telah diubah kepada margin 45-55...Tidak perlu betulkan skrin anda, kerana itulah kenyataan...Penulis, bukanlah seorang pemegang prinsip kolot ”ketuanan Melayu” atau ”hidup melayu”, namun, penulis tetap menentang kenaikan kuota yang pada hemat penulis boleh disifatkan sebagai drastik oleh pihak pemerintah. Tidakkah mereka sedar, masih berapa ramai penuntut-penuntut melayu tercicir dek arus pendidikan perdana kerana tiada bantuan kewangan? Apakah yang akan terjadi kepada mereka, apabila kos hidup yang semakin hari semakin menekan kehidupan rakyat, ditambah pula dengan kegagalan memperolehi biasiswa tajaan pihak kerajaan?. Penulis mencadangkan kertas kerja ini dikaji semula dengan lebih teliti, dan margin tersebut dikurangkan samada 30-70 atau 25-75, dimana ia dilihat sebagai lebih ”berpatutan” dengan masyarakat kontemporari hari ini.Hal ini kerana, masih lagi ramai masyarakat melayu yang terpinggir daripada arus ekonomi perdana, masih ada lagi peminta sedekah, masih ramai lagi menjual tisu dikaki lima, .. wahai pemerintah, janganlah kerana dek kekalahan dan kekalutan parti kompenan anda selepas pilihanraya memaksa anda bertindak sebegitu rupa demi mendapatkan sokongan mereka, janganlah jadikan rakyat sebagai mangsa permainan politik terdesak kamu....

Tidak cukup dengan itu, penderitaan rakyat semakin terbeban dengan kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah, baru-baru ini.Kenaikan sebanyak 30% itu cukup untuk membuatkan rakyat terseksa akibat keputusan yang dibuat dalam mesyuarat ”4 jam ” itu. Bergegaslah rakyat dari segenap pelusuk negara ke stesesn-stesen minyak berdekatan untuk membeli minyak, sehingga mendatangkan kekecohan disesetengah bandaraya.

Menangislah petani-petani, nelayan-nelayan, pengusaha bas dan teksi serta peniaga-peniaga kecil kerana kenaikan harga minyak mendadak ini. Bukalah mata anda wahai bangsaku! Di mana pembelaan dikala rakyat bergelumang dengan air mata darah? Di mana pengubat keresahan dikala dasar menindas dan rakus menjahanamkan negara bangsa kita? Di mana ’malaysia boleh’, ”ketuanan melayu” dan gelombang biru?? Sudah diganti dengan koridor-koridor baru yang bertunaskan pembangunan fizikal semata-mata?

Bangunlah pejuang!

Kita Gegarkan seantaro bumi ini

Demi yang tertindas

Demi agama

Demi bangsa

Demi negaraku Malaysia...

Salam

Ibn Qadir

R.A.D.H.A a.k.a RELEVANKAH AUKU DI HATI ANDA?


mahasiswa hari ini.......


Assalamualaikum...dan salam perjuangan..

Buat pengetahuan saudara pembaca sekalian, entri pada kali ini, ditulis oleh penulis jemputan, saudari Ummi Umairah... Penulis mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudari ummi umairah diatas entri yang beliau sediakan kali ini. Buat saudari, harapnya teruskan perjuanganmu di meja pena, semoga segala usahamu diberkati Allah swt.Buat pembaca sekalian, harapnya kita dapat mengambil iktibar daripada tulisan beliau...


Insan anti-AUkUisme,


Ibn Qadir

........................................................................................................................................

Assamualaikum w.b.t diucapkan kepada semua, salam tinta dari seorang penulis mentah yang sedang meniti tikar kehidupan. Sebagai seorang penuntut, saya tidak dapat menolak soalan soalan yang bangkit di minda. Ini disebabkan oleh senario yang berlaku di sekeliling saya sendiri. Apa yang berlaku saban hari, membuatkan saya berfikir dan terus berfikir. Sebut sahaja tentang AUKU, tiada lain yang dapat saya fikirkan selain kesannya terhadap belia terutama pelajar universiti selaku penyambung warisan negara. Tidak dapat dinafikan, ramai lagi penuntut di luar sana yang masih belum mengetahui apakah itu AUKU. Tidak cukup dengan itu, perkataan AUKU itu langsung tidak pernah didengari . Apa sudah terjadi kepada ‘pewaris’ negara kita? Sudah digelapkan mata hati dan mata minda oleh akta yang menyekat penuntut penuntut untuk terus berfikir tentang negara atau lebih tepat lagi tentang kerosakan sistem pemerintahan serta agenda kotor yang dimainkan oleh ahli politik (yang kononnya golongan elit serta terpelajar). Hatta kenalan serta sahabat-sahabat rapat saya sendiri masih dibelenggu kebingungan dan keliru dengan keadaan yang berlaku sekarang. Lebih tepat lagi, kesan AUKU terhadap mereka. Sedar tidak sedar, seperti ‘ulat dalam buah’ (ranum di luar tetapi rosak di dalam), AUKU memakan serta meratah minda penuntut dalam diam. Akta yang membuatkan golongan penuntut dihantui rasa takut untuk berfikir, rasa takut untuk menilai, rasa takut untuk bersuara, serta rasa takut untuk memilih. Mereka bukannya robot kawalan jauh yang bisa dikawal segala pergerakan serta gaya pemikiran. Mereka juga bukanlah bateri energizer yang mampu bertahan lama tetapi hanya mampu melakukan satu kerja sahaja dalam satu masa. Tugas mereka bukanlah hanya menuntut serta mengadap buku sahaja. Sesekali minda mereka harus dijamu dengan skop skop pemikiran yang lebih kritikal. Ini akan menghasilkan graduan yang berkualiti. Tetapi apa yang AUKU telah lakukan? Dengan wujudnya akta ini, penuntut penuntut yang ‘penakut’ akan terhasil. Inikah yang kita mahu? Jangan ditutup laluan pemikiran mereka yang sepatutnya cergas berfikir. Jangan disekat sel sel otak mereka yang sedang berkembang dengan idea idea baru. Ingin saya sertakan di sini perbualan saya bersama kenalan rapat yang kiranya ‘mangsa’ kepada AUKU…




Situasi 1: (keliru)

Saya: Kebanyakannya golongan educated lebih banyak berfikir kan? Yalah, pasal politik serta agenda agenda yang berlaku…sebab diorang lebih tahu and lebih banyak pendedahan

Mangsa 1: Aah…memang pun…

Saya: Untunglah diorang yang belajar jurusan undang- undang. Lagi banyak tau pasal constitution..and diorang patutnya lagi bijaklah decide mana baik mana buruk

Mangsa 1: Itulah..memang banyak yang kitorang belajar…( dengan nada bosan)

Saya: Seronoknya…celik hati..celik minda..habis, awak pelajar undang-undang tapi still pangkah pihak yang tidak sepatutnya? Camne tu?

Mangsa 1: Memangla aku belajar…tapi malaslah aku nak fikir…ni assignment banyak lagi..takyahla fikir..bukan tanggungjawab kita pun..

Saya: ( terdiam sambil ternganga)

Komen penulis: Malas nak berfikir? Bukan tanggungjawab kita? Inilah kesannya apabila hanya golongan veteran sahaja yang dibenarkan berfikir dan melibatkan diri dengan politik…




Situasi 2: (takut tak tentu pasal)

Saya: pernah dengar AUKU tak?

Mangsa 2: apa benda tu? Pelik je…

Saya: akta universiti dan kolej universiti…

Mangsa 2: owh…untuk apa?

Saya: sekat kebebasan pelajar universiti dan macam-macam lagi…

Mangsa 2: aku taknak fikir..yang aku tau time election, aku pangkah je..

Saya: kenapa camtu?

Mangsa 2: aku bukannya apa…aku ‘takut orang cina jadi pemerintah and melayu dipinggirkan’…

Saya: (terdiam tak percaya)

Komen penulis: jelaslah, fikiran mahasiswa dan mahasiswi sudah digodam oleh AUKU. Dengan adanya AUKU, graduan graduan yang membawa perkataan ‘takut’ kemana mana sahaja akan lahir…

Akhir kata, apa tujuan menuntut ilmu itu jika tidak digunakan sebaiknya? Apa gunanya mengadap buku berjam jam tetapi berfikir tentang ini barang seminit dua pun tidak mahu? Buka minda anda para penuntut, kamu bukan alat mainan kawalan jauh yang menggunakan bateri…bila diperlukan, dipasang baterinya..bila tidak mahu,di cabut pula bateri itu..

p/s: maaf di atas penggunaan bahasa rojak di dalam perbualan dan terima kasih kepada Ibn Qadr kerana banyak memberikan input kepada saya

wassalam, Ummi Umairah