Tuntutan Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia


Assalamualaikum dan salam kebangkitan kepada rakan-rakan seperjuangan sekalian....

Sepert yang diketahui...bahang pilihanraya umum kini kian terasa...Justeru, penulis ingin mengingatkan para pembaca supaya berfikirlah dengan bijak dan rasional dalam memilih calon-calon setempat kelak...suka juga penulis mengingatkan kepada pembaca semua, supaya tanyalah empunya diri, apakah perjuangan, apakah fahaman, apakah ideologi yang menjadi pegangan hidup saudara, serta, apakah acuan terbaik untuk malaysia supaya menjadi sebuah negara aman dan makmur untuk hari-hari mendatang, harapnya, kriteria untuk menjadikan malaysia sebagai sebuah negara yang disinari dengan cahaya dinnul islami tertanam didalam pemikiran saudara pembaca sekalian...Insyaallah...

Janganlah sayangkan dunia, kerana ia membunuh jiwa....
Janganlah tinggalkan akhirat, kerana ia membutakan mata...

Baru-baru ini, penulis telah menerima salinan dokumen tuntutan Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia yang dikeluarkan selaras dengan pilihanraya umum yang mendatang...

Besar harapan penulis, supaya dokumen yang dikongsi ini dapat diteliti oleh saudara sekalian dan dapatlah kita menilainya bersama...... Insyaallah...



..........................................................................................................................................................................




KENYATAAN MEDIA BERSAMA

NGO-NGO ISLAM

20 FEBRUARI 2008 / 13 SAFAR 1429H

PENGISYTIHARAN DOKUMEN:

PILIHANRAYA UMUM KE-12

TUNTUTAN

PERTUBUHAN-PERTUBUHAN ISLAM MALAYSIA

Menginsafi bahawa kepimpinan politik sangat berperanan dalam mempengaruhi nasib agama, bangsa dan negara, serta mengambil sempena Pilihanraya Umum ke-12 yang akan berlangsung tidak lama lagi, kami, pertubuhan-pertubuhan Islam utama di negara ini ingin mengemukakan suatu dokumen yang mewakili tuntutan, aspirasi dan harapan kami kepada semua pihak yang mengambil bahagian PRU tersebut.

Tujuan-tujuan utama pihak kami melancarkan dokumen ini adalah :

  1. Menarik perhatian semua pihak terhadap isu-isu dan persoalan yang timbul berkaitan Islam dan Umat Islam di Malaysia. Perlu diingatkan bahawa terdapat masih banyak persoalan Umat Islam yang belum selesai di negara ini. Sebagai kelompok majoriti dan teras masyarakat di negara ini, sewajarnyalah aspirasi dan harapan Umat Islam yang munasabah diambil berat dan diberi keutamaan oleh semua pihak. Ini tidak pula bererti kita ingin menafikan aspirasi dan harapan kelompok lain yang wajar dan berpatutan.
  2. Mengajak semua parti dan calon agar menerima baik,memberi perhatian serius dan berusaha memenuhi tuntutan yang terdapat dalam dokumen tersebut yang sebahagiannya merupakan isu-isu yang telah ditimbulkan sebelum ini.
  3. Memposisikan komitmen terhadap isu-isu dan persoalan yg ditimbulkan sebagai diantara faktor yang mempengaruhi pengundi-pengundi individu dalam membuat pilihan. Walau bagaimanapun, sebagai pertubuhan-pertubuhan bukan parti politik, kami menegaskan bahawa dokumen ini bukan menandakan sokongan kami kepada mana-mana parti serta bukan bertujuan memberi kelebihan kepada mana-mana parti politik yang akan bertanding. Semua parti dan calon yang bertanding berpeluang dan bebas mengambil sikap sewajarnya terhadap dokumen ini.

Pendekatan dan langkah yang diambil oleh kami dalam menggerakkan tuntutan ini adalah termasuk,

  1. Menemui pimpinan-pimpinan utama parti-parti politik untuk menyampaikan dokumen tersebut serta membincangkan hasrat yang terkandung didalamnya.
  2. Mendapatkan sokongan, dokongan, persefahaman dan perhatian daripada parti-parti politik, calon-calon, organisasiorganisasi dan individu.
  3. Menyebarkan kandungan dokumen tersebut kepada umum untuk menimbulkan kesedaran dan kefahaman dikalangan anggota masyarakat.

Kami berharap agar usaha kami akan diterima baik oleh semua pihak sebagai sebahagian amalan demokrasi dan pilihanraya yang sihat dan bermakna.

BISMILLÂHIRRAHMÂNIRRAHÎM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

MENYEDARI bahawa nilai-nilai Islam yang luhur merupakan ciri terpenting dalam pembentukan masyarakat Islam yang bermaruah dan peranan pemimpin amat penting dalam membentuk dan mencorakkan masyarakat ini.

MENERIMA hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan melalui proses pilihanraya.

MENGINSAFI bahawa hak untuk memilih kerajaan melalui proses pilihan raya perlulah dilaksanakan dengan penuh rasa sedar dan tanggungjawab.

MEYAKINI bahawa rakyat mempunyai kebebasan untuk memilih sebuah kerajaan yang baik dan berupaya untuk memenuhi aspirasi mereka.

Pertubuhan-pertubuhan Islam arus perdana, tokoh-tokoh masyarakat dan individu-individu yang prihatin mempertegaskan tuntutan-tuntutan berikut:

1. Mendaulatkan Islam Melalui Undang-Undang dan Pelaksanaannya Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sistem politik dan undang-undang di Malaysia. Perlembagaan Malaysia mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan dan memperakui status institusi-institusi Islam serta memberi kuasa kepada mahkamah-mahkamah syariah untuk melaksanakan undang-undang Islam. Kami menuntut agar kerajaan yang bakal dipilih:

1.1 Mempertegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara majoriti Islam yang mengiktiraf peranan penting agama Islam dalam sistem politik, ekonomi dan undang-undang negara. Segala tuntutan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular mesti ditolak. Ini termasuk tuntutan untuk mewujudkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang bertujuan mempromosi hak kebebasan beragama berlandaskan faham sekular-liberal dan saranan penubuhan Jabatan Hal Ehwal Bukan Islam.

1.2 Mempertahan dan mendaulatkan kesucian Islam serta menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Sebarang tindakan mempersendakan Islam secara lisan, cetak atau melalui media elektronik dan media siber, perlu ditangani secara tegas dan serius mengikut peruntukan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

1.3 Mempertahan dan memperkasakan kedudukan serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 121 (1A) dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Sebarang pertikaian undang-undang yang berkaitan dengan agama Islam hanya dibicarakan di Mahkamah Syariah. Kami juga menuntut kerajaan:

a) Memperluaskan bidangkuasa jenayah dan mal mahkamah syariah di Malaysia melalui pindaan kepada Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri.

b) Menyamatarafkan Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil dari segi perjawatan, penggajian dan kedudukan

c) Menyeragamkan undang-undang Islam di seluruh Negara

d) Mewujudkan Akta Profession Guaman Syarie bagi memperkemaskan penyeliaan Peguam-Peguam Syarie seluruh negara.

1.4 Segera menggubal dan mewartakan undang-undang menghalang kegiatan penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam di Sabah, Sarawak, Perlis, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Kami menyatakan kekecewaan atas kegagalan negeri-negeri di atas yang sehingga kini masih gagal menggubal dan mewartakan undang-undang tersebut.

1.5 Meningkatkan tahap keberkesanan dan profesionalisme agensi-agensi Islam kerajaan dalam mendaulatkan Islam di Malaysia. Kami menuntut peruntukan yang disalurkan kepada agensi-agensi tersebut digunakan dan diuruskan secara optima dan berkesan.

1.6 Memandangkan pengiktirafan “halal” menjadi satu tanda aras kepada kualiti dan kebersihan makanan untuk umat Islam dan bukan Islam, serta membuka pasaran yang lebih luas, kami menuntut agar Akta Makanan dan Pemprosesan Halal digubal supaya penguatkuasaan perihal makanan halal diketatkan dan mereka yang menyalahgunakan tanda halal dikenakan hukuman berat, termasuk hukuman disenarai-hitamdan pemiliknya dihukum penjara.

1.7 Mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen perniagaan mana-mana majikan yang menyukarkan atau menghalang pekerja-pekerja Islam daripada mengamalkan tuntutan-tuntutan Islam seperti pemakaian tudung, menutup aurat, menunaikan solat dan lain-lain syiar Islam. Kami menyeru agar tindakan diambil bagi memboikot syarikat-syarikat yang mengamalkan dasar diskriminasi ini.

2. Pendidikan dan Da’wah - Seorang Muslim yang baik lebih dapat diharapkan untuk menjadi seorang warganegara yang baik. Proses pembentukanperibadi dan jatidiri Muslim yang baik perlu dilaksanakan melalui sistem pendidikan yang mementingkan pendidikanIslam dan penerapan nilai-nilai Islam. Dengan itu umat Islam di negara ini menuntut agar kerajaan yang bakal dipilih:

2.1 Memperkasa pendidikan Islam dalam sistem pendidikan nasional. Ini termasuk menambah waktu pengajaran Islam di sekolah-sekolah rendah dan menengah kebangsaan.

2.2 Mengambil langkah-langkah yang lebih agresif bagi menjadikan Malaysia pusat antarabangsa bagi kecemerlangan pendidikan Islam dan perkembangan keilmuan Islam. Bagi tujuan ini, kerajaan digesa mewujudkan geran khas penyelidikan ilmu-ilmu Islam serta menubuhkan institusi-institusi pendidikan tinggi dan penyelidikan Islam bertaraf antarabangsa dalam bidang-bidang khusus seperti pendidikan teknologi dan pengurusan.

2.3 Meningkatkan mutu institusi pendidikan tinggi agar mampu menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang melahirkan graduan yang berkualiti. IPT perlu diberikan autonomi, kebebasan intelektual dan akademik bagi memastikan institusiinstitusi tersebut boleh berfungsi dengan lebih berkesan sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan agen perubahan dalam masyarakat. Kini banyak IPTA dan IPTS diwujudkan tanpa penekanan khusus terhadap aspek mutu pendidikan dan misi sosial.

2.4 Mengiktiraf peranan institusi pendidikan agama rakyat dengan mengembalikan serta menambah bantuan perkapita kepada Sekolah-Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta memberikan bantuan buku teks secara percuma kepada para pelajar SAR.

2.5 Mengembalikan pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah dalam Bahasa Melayu.

2.6 Menghentikan amalan Kementerian Pelajaran Malaysia yang tidak memberi peluang kepada murid-murid cemerlang UPSR dan PMR dari sekolah-sekolah agama swasta untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran dan MARA. Jabatan-jabatan Pelajaran Negeri juga digesa menghentikan amalan melarang murid-murid sekolah agama swasta yang memenangi mana-mana pertandingan ko-kurikulum di peringkat negeri daripada mewakili negeri ke peringkat kebangsaan. Ini memandangkan kecemerlangan dalam aktiviti ko-kurikulum turut diambil kira dalam kemasukan pelajar-pelajar ke institusi-institusi pengajian tinggi tempatan.

2.7 Kemudahan biasiswa yang dinikmati oleh pelajar-pelajar Melayu perlu diberikan kepada pelajar-pelajar Islam yang bukan berketurunan Melayu. Di samping itu, kerajaan digesa menambah jumlah penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di kalangan pelajar-pelajar Islam/Melayu yang cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Amalan pemberian biasiswa JPA kepada pelajar-pelajar bukan Islam sejak akhir-akhir ini tidak sepatutnya menjejaskan peluang pelajar Islam/Melayu yang cemerlang untuk mendapat tajaan.

2.8 Menggesa Kementerian Pelajaran agar tidak tunduk kepada desakan kelompok sekular dan bukan Islam agar supaya amalan-amalan Islam di sekolah-sekolah kebangsaan dihentikan kononnya untuk mengelak daripada berlakunya pemisahan kaum dan agama. Amalan seperti bacaan doa dan sambutan perayaan Hari Kebesaran Islam wajar diteruskan kerana amalan-amalan murni ini adalah sebahagian daripada ciri tradisi ke-Malaysiaan dan tidak sepatutnya menjejaskan keharmonian hubungan kaum dan agama.

2.9 Selaras dengan tanggungjawab menyuruh yang baik dan mencegah yang mungkar (al-amr bil ma rûf wa al-nahy —an al-munkar) kerajaan dituntut untuk memperkasakan usaha-usaha da’wah islamiah, terutamanya menerusi kerjasama lebih erat dengan pertubuhan-pertubuhan Islam di negara ini termasuk dengan membuka ruang aktiviti dan memberi peruntukan khas untuk membantu aktiviti yang dijalankan.

2.10 Memastikan pimpinan Kementerian Penerangan serta agensi yang berkaitan dengan penyiaran sentiasa peka dengan aspirasi dan sensitiviti umat Islam dalam merangka dasar penyiaran serta sentiasa mengutamakan program yang mampu membina masyarakat berakhlak mulia.

2.11 Memperbanyakkan program-program berunsur pendidikan Islam dan moral di stesen-stesen televisyen kerajaan dan swasta. Program-program Islam hendaklah disiarkan pada waktu puncak (prime time) bukan waktu tengah malam atau awal pagi. Azan hendaklah disiarkan pada setiap waktu solat.

2.12 Menghentikan program-program hiburan yang mempromosi budaya hedonisme Barat. Ini termasuklah program-program hiburan realiti yang semakin mendapat tempat di stesyen-stesyen televisyen tempatan. Stesen televisyen khas untuk umat Islam perlu diwujudkan

2.13 Stesen televisyen swasta perlu mendukung aspirasi Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan dalam pemilihan program mereka. Kami menuntut agar kerajaan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung atau menarik balik lesen penyiaran ke atas stesen televisyen swasta yang melanggar etika ini.

3. Sistem Politik dan Tadbirurus yang Baik - Sistem politik dan tadbirurus yang baik merupakan syarat utama kejayaan dan kelangsungan sesebuah negara. Kebajikan rakyat akan terbela dengan kewujudan sistem politik yang adil, tadbirurus yang baik dan sistem penyampaian yang cekap. Oleh yang demikian, usaha-usaha mewujudkan sistem politik dan tadbirurus yang baik perlu dipergiatkan melalui tindakan-tindakan berikut:

3.1 Meningkatkan usaha membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan penjawat-penjawat awam. Pihak swasta yang menawarkan rasuah sebagai suatu budaya perlu dihukum secara tegas dengan mengheret pihak syarikat untuk turut bertanggungjawab.

3.2 Hanya melantik penjawat-penjawat awam dan pemimpin-pemimpin kanan kerajaan dari kalangan mereka yang terbukti bersih daripada amalan rasuah, salah guna kuasa dan salah laku moral.

3.3 Meningkatkan penghayatan nilai-nilai Islam di kalangan kakitangan awam dengan memperbanyakkan program-program penghayatan Islam di jabatan-jabatan kerajaan.

3.4 Menuntut agar penjawat awam perlu mengisytiharkan harta secara terbuka kepada masyarakat awam dan rakyat bagi menjamin ketelusan serta keyakinan masyarakat.

3.5 Menuntut kerajaan melantik senator dari kalangan pemimpin-pemimpin pertubuhan Islam agar isu-isu berkaitan kepentingan umat Islam di negara ini mendapat perhatian dan pembelaan yang sewajarnya di Parlimen.

  1. Memperkasa Masyarakat Sivil dan Menjamin Amalan Demokrasi - Negara demokrasi yang stabil wujud apabila kerajaan dibentuk hasil daripada mandat rakyat dengan institusi-institusi masyarakat sivil diberi ruang yang luas untuk berperanan aktif dalam memperkasakan masyarakat dan membangunkan negara. Keabsahan autoriti politik pemerintah bergantung kepada keterbukaan ruang demokrasi, kesediaan pemerintah untuk bersikap responsif terhadap tuntutan rakyat dan kemampuan pemerintah menjamin keselamatan dan keamanan dalam negara. Oleh yang demikian, upaya pemurnian amalan demokrasi dan peranan masyarakat sivil perlu dilaksanakan dengan tindakan-tindakan berikut:

4.1 Memastikan kewujudan sistem pilihanraya yang benar-benar bersih, bebas dan adil. Suruhanjaya Pilihanraya mestilah berwibawa, bebas dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik.

4.2 Hanya memilih calon-calon pilihanraya dari kalangan mereka yang berintegriti, berkemampuan dan berpekerti mulia.

4.3 Memastikan pemerintah melaksanakan kuasa berdasarkan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

4.4 Membuka ruang yang luas kepada institusi-institusi masyarakat sivil untuk berperanan aktif dalam proses pemerkasaan masyarakat dan pembangunan negara.

  1. Hubungan Kaum dan Agama - Sebagai sebuah negara majoriti Islam yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, keharmonian hubungan kaum dan agama merupakan ramuan utama kestabilan politik dan ketenteraman awam. Prinsip-prinsip utama kontrak social yang menjamin keharmonian hubungan kaum dan agama perlu dihormati oleh semua pihak. Segala bentuk ekstremisme agama dan kaum yang sempit mesti ditolak. Oleh yang demikian, adalah penting untuk pemimpin politik dan rakyat negara ini:

5.1 Mempertingkatkan komitmen terhadap keharmonian hubungan kaum dan agama.

5.2 Menolak parti-parti politik dan pemimpin politik yang tidak sensitif dengan kedudukan istimewa Islam di Malaysia dan mereka yang mempromosi hak individu dan kebebasan beragama tanpa batas yang bertentangan dengan nilai moral dan agama yang dipegang oleh majoriti masyarakat Islam di negara ini.

5.3 Menguatkuasa dengan tegas peraturan membina rumah ibadat tanpa mengira agama. Jika pihak berkuasa tegas melaksanakan peraturan membina surau dan masjid, mereka nampaknya lemah apabila berhadapan dengan pembinaan sesetengah rumah ibadat agama lain.

5.4 Memastikan pembinaan rumah-rumah ibadat mengambilkira sensitiviti masyarakat setempat di samping mematuhi peruntukan undang-undang. Satu jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil-wakil pertubuhan Islam dan pihak berkuasa tempatan perlu dibentuk untuk memperhalusi permohonan pembinaan rumah ibadat bukan Islam di kawasan majority Islam.

  1. Akidah dan Moral - Memelihara kesucian akidah dan ketinggian moral merupakan tanggungjawab paling utama setiap individu Muslim dan tanggungjawab kolektif masyarakat Islam. Pertubuhan-pertubuhan Islam menuntut kerajaan yang bakal dipilih:

6.1 Menolak faham pluralisme agama yang mendakwa bahawa semua agama adalah sama dari segi kebenarannya sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat berbilang agama.

6.2 Menolak usaha-usaha pihak tertentu yang cuba mengelirukan akidah umat Islam dengan pelbagai cara. Ini termasuklah dengan menggunakan perkataan-perkataan khusus seperti “Allah”, “Ka’abah”, “Baitullah” dan “Solat”, yang telah digunapakai secara meluas oleh masyarakat Islam, untuk merujuk kepada konsep-konsep tertentu dalam agama bukan Islam.

6.3 Menambah bilangan pegawai penguatkuasa agama dan meningkatkan tahap profesionalisme mereka dalam membanteras gejala maksiat dan salah laku moral. Kerajaan hendaklah melaksanakan undang-undang anti-maksiat yang sedia ada dengan tegas, telus dan berkesan.

PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA)*ALLIED COORDINATING COMMITTEE OF ISLAMIC NGOs (ACCIN)* ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) *ALHUNAFA* AL-ISLAH, BANDAR BARU SUNGAI BULOH*ALUMNI KOLEJ ISLAM KELANG (ALKIS)* BADAN NADWAH ISLAMIAH PAHANG*BADAN UGAMA & KEBAJIKAN MARA*DARUS SYIFA’*FORUM BERTINDAK ANTI MURTAD *FUTURE GLOBAL NETWORK (FGN)*FORUM PENYELARASAN UMAT [15 NGO GABUNGAN PULAU PINANG]*GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SEMENANJUNG (GAMIS)* GAPETA*HALUAN*IKATAN INTELEKTUAL MUDA ISLAM (IIMI)*IKATAN MUSLIM MALAYSIA (ISMA)*IKATAN PENGKAJIAN ISLAM PAHANG (IKATAN)*ILMUAN*INTERNATIONAL MUSLIM IMAN NETWORK (IMAN)* MUSLIM WOMEN UNION (IMWU)*ISLAMIC INFORMATION AND SERVICES FOUNDATION (IIS)* ISLAMIC OUTREACH ABIM (IOA)*ISLAMIC PROPAGATION SOCIETY INTERNATIONAL, PENANG (IPSI)*JAMAAH DAKWAH & ISLAH (JADID)*JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)* JARINGAN SISWAZAH MUSLIM MALAYSIA (JASA)*KELAB AL-QURAN AL-KARIM, BANGI*KELAB HARAPAN, YAYASAN HARAPAN*KELAB REMAJA ISLAH MALAYSIA (KARISMA)*KESATUAN PELAJAR ISLAM JOHOR (KPIJ)*KESATUAN PELAJAR ISLAM PERAK (KPIP)*KHALIFAH INSTITUTE*KEPENTINGAN BANGSA (KKB)*MADRASAH HIDAYATUL MUSTAQIM, SELAYANG BARU*MAJLIS TINDAKAN INDIA MUSLIM MALAYSIA* MARKAZ DAKWAH AL-ISLAMIAH AL-ANSAR, KUALA SELANGOR*MASJID BUKIT INDAH* MASJID JAMEK PAKISTAN*MUSLIM BROTHERS, SHAH ALAM*MUSLIM CARE* MUSLIM PROFESIONAL FORUM BERHAD (MPF)*NGO ISLAM CASMARIA, BATU CAVES*PEGUAM PEMBELA ISLAM (PPI)*PERKIM*PERSATUAN ALHIDAYAH* PERSATUAN DARUL FITRAH MALAYSIA*PERSATUAN FALAK SYARIE MALAYSIA*PERSATUAN KEBAJIKAN ISLAM MALAYSIA (PERKIM BANGSAR)*PERSATUAN KEBAJIKAN PEKERJA ISLAM, TNB (PKPI-TNB)* PERSATUAN KEBAJIKAN PELAJAR ISLAM SARAWAK (PERKEPIS) PERSATUAN KEBAJIKAN PELAJAR ISLAM W.P (PERTIWI)*PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)*PERSATUAN MAHASISWA AKADEMI PENGAJIAN ISLAM UNI. MALAYA*PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM)* PERSATUAN PEGUAM MUSLIM MALAYSIA*PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM)*PERSATUAN PELAJAR ISLAM KELANTAN (PPIK)*PERSATUAN PEMBIMBING ISLAM PUALAU PINANG (PEMBIMBING)*PERSATUAN PEMBIMBING PELAJAR ISLAM KELANTAN (PPIK)*PERSATUAN PENDIDIK INSAN NEGERI SEMBILAN (PPINS)*PERSATUAN PENDUDUK PENDUDUK KAMPUNG BATU MUDA TAMBAHAN*PERSATUAN PENGUSAHA RESTORAN MUSLIM MALAYSIA (PRESMA)*PERSATUAN SERUAN ISLAM SELANGOR DAN WP (JAMI’YAH)* PERSATUAN ULAMA ISLAM (PUM)*PERTUBUHAN AL-NIDAA’*PERTUBUHAN CINA MUSLIM MALAYSIA (MACMA)*PERTUBUHAN KEBAJIKAN & DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (PEKIDA)*PERTUBUHAN MUAFAKAT SEJAHTERA MASYARAKAT MALAYSIA (MUAFAKAT)*PERTUBUHAN SINAR DAMSYIK MALAYSIA (PSDM)*RESEARCH & INFORMATION CENTER ON ISLAM*SURAU AL-AMIN, BANDAR TUN HUSSIEN ONN SURAU AL-ANSAR, TAMAN SRI RAMPAI, SETAPAK*SURAU AL-IKHWAN BANDAR BARU SUNGAI BULOH*SURAU MUHAMMAD AL-FATIH KG BATU MUDA TAMBAHAN, KL*TERAS PENGUPAYAAN MELAYU (TERAS)*WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH)*YAYASAN BASMI KEMISKINAN (YBK)* KAJIAN & STRATEGIK MELATU (YKSM)*YAYASAN MUSLIMIN* YAYASAN PEMBANGUNAN UMMAH (YPU).

Nota:

1. Senarai ini akan ada perubahan dan penambahan dari semasa ke semasa. Sila rujuk laman web : www.myislamnetwork.net

2. Sokongan NGO-NGO Islam terbahagi kepada beberapa kategori: A. Sokongan Penuh B. Sokongan bersyarat (iaitu berbeza pandangan atas beberapa perkara tuntutan yang dinyatakan)

0 comments: