Cetusan Revolusi : Polemik Perubahan Pemikiran Rakyat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Selawat dan Salam buat junjungan besar buat Rasulullah saw Pengutus Agung yang tiada taranya

Salam kebangkitan…

Seperti yang kita semua sedia maklum, keputusan pilihanraya ke - 12 kali ini adalah satu revolusi baru di dalam iklim politik di Malaysia. Lihatlah bagaimana kerajaan Barisan Nasional yang “maha” kuat dimalukan sedemikian rupa, sehingga terpaksa melepaskan 4 buah negeri serta kehilangan kejayaan 2/3 majoriti kerusi parlimen buat julung kalinya di dalam sejarah.

Berbagai soalan yang dilontarkan oleh rakan-rakan kepada penulis, adakah masalah dalaman Barisan Nasional yang membawa kepada kekalahan teruk sebegini rupa? Ataupun Kemenangan besar Barisan Alternatif sebagai satu tanda protes rakyat kepada kerajaan memerintah?.

Namun, di dalam entri kali ini penulis tidaklah berhajat untuk mengulas persoalan tersebut, tetapi, penulis lebih suka melihat faktor-faktor utama peralihan perhatian pengundi kepada pihak barisan alternatif. Tidak dinafikan, terdapat beratus-ratus (atau beribu-ribu) faktor yang membawa kepada kemenangan mendadak ini, namun penulis merumuskan terdapat 3 faktor utama yang telah membawa kepada kejayaan besar Barisan alternatif.

Faktor pertama, Berlakunya anjakan besar dalam minda rakyat yakni, daripada pemikiran kapitalisme kepada sosialisme. Penulis beranggapan begini di atas beberapa sebab, sebab utama ialah, jika dilihat kembali manifesto pilihanraya kedua-dua belah pihak, pengundi telah bersatu menolak manifesto pembangunan ekonomi yang dianjurkan oleh pihak pemerintah secara total, sebaliknya , pengundi lebih tertarik kepada konsep Negara berkebajikan yang dianjurkan oleh pihak barisan alternatif. Menurut kajian yang dilakukan oleh Fakulti Pengajian Sains Politik Univertsiti Kebangsaan Malaysia, seramai 75% daripada pengundi kali ini terdiri daripada golongan Intelektual yakni golongan masyarakat yang berjaya menamatkan pengajian formal mereka sekurang-kurangnya di peringkat ijazah pertama di universiti tempatan atau di luar Negara. Jika dilihat di Negara-negara maju, Britain misalnya, masyarakat di sana tidak lagi mementingkan pembangunan fizikal sebaliknya, lebih mementingkan penunaian tanggungjawab sosial kerajaan kepada rakyatnya. Perkembangan kapitalisme di Britain bermula sejak era Revolusi pertanian, dan telah mencapai kemuncaknya pada zaman revolusi Industri Jika dilihat kembali, banyak pembangunan fizikal telah dilakukan secara mendadak.. kilang-kilang besar didirikan, jalan-jalan diturap, pelabuhan- pelabuhan kecil turut dibangunkan sehingga menjadi pelabuhan bertaraf global, dan sebagainya. Memang benar, ketika itu masyarakat kelas atasan di Britain menjadi semakin kaya dan taraf pendapatan rakyat Britain juga semakin meningkat secara keseluruhannya, menjadikan Britain sebagai sebuah Negara imperalis terkuat pada ketika itu.

Namun, wang bukanlah segalanya…ironinya, meskipun pendapatan kasar rakyat meningkat, walaubagaimanapun, taraf hidup penduduknya semakin merudum…rakyat hidup dalam keadaan tertekan, keadaan psikologinya terjejas akibat kesibukan bekerja, keperluan asas rakyat semakin terabai akibat ketamakan konglemerat besar yang ingin mengaut keuntungan sebanyak mungkin sehingga mereka telah melupakan tanggungjawab mereka kepada masyarakat. Rakyat kelas pertengahan dan bawahan terus terhimpit dek ketamakan manusia yang semakin menjadi-jadi. Walaubagaimanapun, seperti yang dijanjikan Allah, setiap malapetaka ada hikmahnya, bencana perang dunia kedua di eropah telah membawa banyak perubahan didalam masyarakatnya terutama berkaitan dengan isu-isu kemanusiaan. Semasa perang dunia kedua, rakyat Britain, tidak kira kaya atau miskin, telah bersatu mempertahankan empayar british yang semakin menghilang, hal ini telah memupuk semangat kasih sayang dan kesepakatan antara mereka.Berikutan dengan pengalaman itu, secara perlahan-lahan masyarakat Britain telah menolak pemikiran kapitalisme dan memasukkan elemen-elemen sosialisme didalam budya masyarakat mereka. Pengenalan perkhidmatan kesihatan secara percuma selepas tamatnya perang dunia kedua telah menjadi titik tolak dalam memupuk pemikiran sosialis didalam minda setiap rakyat dan, pemikiran itu kekal sehingga hari ini. Suka penulis menegaskan bahawa, pembaca sekalian haruslah membezakan “sosialis” dan “komunis”, terdapat banyak perbezaan diantara kedua-dua ideologi tersebut. Penulis juga ingin menambah, anjakan pemikiran sebegini adalah fenomena biasa yang berlaku di mana-mana Negara yang telah menggapai taraf pemikiran kelas pertama.Setelah rakyat sesebuah Negara tersebut telah berpuas hati dengan segala kemajuan ekonomi dan infrastruktur, mereka akan mula memikirkan soal - soal ketenteraman rohani dan jasmani, yakni, mereka mula memikirkan soal kualiti pendidikan, soal keselamatan setempat, kebersihan, kesihatan dan lain-lain. Pendek kata, pemikiran kapitalisme melambangkan jumutnya pemikiran masyarakat setempat tersebut, pemikiran kapitalisme juga hanya sesuai digunakan di Negara- Negara yang sedang membangun atau Negara dunia ketiga. Di sini, suka juga penulis menyatakan bahawa, Islam adalah ajaran sosialisme terbaik didunia…penulis tidak ingin mengupas lebih lanjut mengenai kenyataan ini, tetapi, sekiranya ada permintaan, insyaallah, penulis akan cuba mengupasnya untuk pembaca sekalian.

Pada hemat penulis, faktor yang kedua adalah Terhakisnya tembok “racial politics” atau politik perkauman di Malaysia. Pada pendapat penulis, rakyat Malaysia sudah bosan dengan mainan perjuangan politik dan hak berasaskan perkauman di Malaysia. Kaum-kaum minoriti di Malaysia kini mahukan kesepakatan, dan persamaan taraf sosial tanpa mengira kaum dan agama. Walaupun pada hakikatnya, Malaysia itu sendiri didirikan berdasarkan perikatan antara kaum, tetapi setelah 50tahun mencapai kemerdekaan, rakyat Malaysia semakin jelek dengan isu-isu perkauman, hal ini bukan sahaja disuarakan oleh kumpulan-kumpulan minoriti bangsa cina dan India, tetapi juga sebilangan besar golongan professional Melayu sendiri. Penulis bukanlah berbual kosong atau sekadar mencanangkan angan-angannya sahaja, tetapi lihatlah kenyatangan kemenangan calon Melayu di batu caves yang bertanding diatas tiket parti keadilan, lihatlah johor, dimana orang melayu telah memilih DAP dikawasan majoriti melayu, dan calon wanita India pertama yang bertanding di bawah tiket Pas, bahkan, ketua kelab penyokong Pas itu sendiri bukanlah seorang muslim malah bekas ahli MCA berketurunan cina.Ini adalah satu realiti yang harus diberi perhatian oleh semua warga Malaysia yang dilihat begitu fobia dalam menghampiri Islam, ia bukan sahaja membabitkan golongan bukan Islam(atau bukan melayu), malah sebahagian daripada umat Islam juga dilihat begitu takut menghampiri keindahan agamanya sendiri. Penulis juga ingin berkongsi bersama mengenai sejarah daulah islamiyyah pertama didunia iaitu kerajaan Islam Madinah al-Munawwarah.. jika dilihat kembali dustur al-madinah (perlembagaan madinah- dikatakan perlembagaan tertua di dunia), tidak ada satu pun provisio yang bersifat bias yang mengutamakan kedudukan sesuatu kaum (keutamaan kaum atau keluarga hanya dilakukan pada zaman jahiliyyah), sebaliknya, perlembagaan tersebut menyeru supaya rakyat bersama-sama berganding bahu memajukan serta mepertahankan madinah daripada anasir-anasir luar yang mengancam daulatnya.Nah, lihatlah kesannya, beribu-ribu masyarakat yahudi dan nasrani telah memeluk Islam kerana tertarik dengan kejujuran dan keadilan yang dianjurkan oleh agama suci ini. Fikir-fikir kanlah…

Ketiga, beralihnya saluran kepekaan mencari sumber informasi rakyat daripada sumber-sumber media tradisional kepada media alternatif. Sebelum mengupas dengan lebih lanjut, penulis ingin menerangkan apakah maksud media tradisional dan media alternatif. Media tradisional bermaksud, media-media konvensional seperti saluran radio, televisyen, dan akhbar-akhbar nasional yang telah diguna pakai sebagai media perdana di mana-mana bucu dunia. Media alternatif pula bermaksud informasi bukan konvensional, yakni berdasarkan sumber-sumber daripada media baru, seperti laman web, blog, dan juga akhbar -akhbar terpencil. Persoalannya, mengapa keadaan ini berlaku? Sedangkan masyarakat majmuk di Malaysia telah sekian lama bertulang belakangkan media tradisional?. Menjawab persolan ini, penulis merumuskan bahawa, rakyat Malaysia telah bosan dengan sebaran media tradisional yang bersifat konservatif dan berat sebelah (seperti yang ditegaskan oleh penulis didalam artikel “demam si pemilih”) . Akibat daripada rasa bosan dan ketidakpuashatian ini, pengundi-pengundi bijak telah beralih kepada saluran media-media alternatif untuk mencari sumber maklumat. Maka, tidaklah begitu pelik jika difikirkan kembali, tentang hakikat bahawa kerajaan Barisan Nasional telah tumbang di negeri-negeri kaya seperti perak dan selangor. Perlu diingatkan bahawa, penduduk di kawasan ini terdiri daripada golongan-golongan terpelajar dan professional, mereka mempunyai taraf kehidupan yang jauh lebih baik daripada golongan yang tinggal di desa, maka sudah tentulah penggunaan internet bukanlah sesuatu yang asing bagi warga kota.

Penulis juga ingin berkongsi pendapat, kemenangan DAP di perak haruslah dilihat secara positif oleh semua orang melayu dan Islam. Bukanlah penulis berkempen untuk mereka, jauh sekali tidak..Tetapi pada hemat penulis, ummat Islam haruslah mengambil kejayaan Barisan Alternatif didalam pilihanraya kali ini sebagai peluang untuk mempromosikan budaya sosialis dan toleransi Islam di Malaysia.. Ambillah kejayaan Kerajaan Islam di Madinah sebagai contoh, Insyaallah, segala usaha untuk memartabatkan agama suci in akan mendapat bantuan daripada Allah swt.

Semoga perubahan ini membawa polemik baru didalam proses demokrasi dan Islam di Malaysia….

Wallahualam…

Ibn Qadir

Mahasiswa Jalanan

2 comments:

Najwan Halimi said...

Salam,

Saya Najwan Halimi. Salam kenal. Saudara mahasiswa UIA, jurusan undang-undang?

Barangkali saudara mengenali seorang mahasiswa Cina yang bernama Tan Chien Liang, bekas Setiausaha Agung LAWSOC UIA.

Jika ketemu beliau, sampaikan salam saya buatnya.

Salam kenal, selamat berblog!

Najwan Halimi

Ibn Qadir said...

salam kenal buat saudara najwan...

insyaallah..saya akan cuba sampaikan salam saudara kepadanya..

untuk pengetahuan saudara saya masih hijau didalam arena blog ini.. harapnya menerusi talian perkenalan ini dapatlah kita berkongsi ilmu dan pendapat yang akan membawa manfaat pada kita bersama...

salam perkenalan kembali

Ibn Qadir