R.A.D.H.A a.k.a RELEVANKAH AUKU DI HATI ANDA?


mahasiswa hari ini.......


Assalamualaikum...dan salam perjuangan..

Buat pengetahuan saudara pembaca sekalian, entri pada kali ini, ditulis oleh penulis jemputan, saudari Ummi Umairah... Penulis mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudari ummi umairah diatas entri yang beliau sediakan kali ini. Buat saudari, harapnya teruskan perjuanganmu di meja pena, semoga segala usahamu diberkati Allah swt.Buat pembaca sekalian, harapnya kita dapat mengambil iktibar daripada tulisan beliau...


Insan anti-AUkUisme,


Ibn Qadir

........................................................................................................................................

Assamualaikum w.b.t diucapkan kepada semua, salam tinta dari seorang penulis mentah yang sedang meniti tikar kehidupan. Sebagai seorang penuntut, saya tidak dapat menolak soalan soalan yang bangkit di minda. Ini disebabkan oleh senario yang berlaku di sekeliling saya sendiri. Apa yang berlaku saban hari, membuatkan saya berfikir dan terus berfikir. Sebut sahaja tentang AUKU, tiada lain yang dapat saya fikirkan selain kesannya terhadap belia terutama pelajar universiti selaku penyambung warisan negara. Tidak dapat dinafikan, ramai lagi penuntut di luar sana yang masih belum mengetahui apakah itu AUKU. Tidak cukup dengan itu, perkataan AUKU itu langsung tidak pernah didengari . Apa sudah terjadi kepada ‘pewaris’ negara kita? Sudah digelapkan mata hati dan mata minda oleh akta yang menyekat penuntut penuntut untuk terus berfikir tentang negara atau lebih tepat lagi tentang kerosakan sistem pemerintahan serta agenda kotor yang dimainkan oleh ahli politik (yang kononnya golongan elit serta terpelajar). Hatta kenalan serta sahabat-sahabat rapat saya sendiri masih dibelenggu kebingungan dan keliru dengan keadaan yang berlaku sekarang. Lebih tepat lagi, kesan AUKU terhadap mereka. Sedar tidak sedar, seperti ‘ulat dalam buah’ (ranum di luar tetapi rosak di dalam), AUKU memakan serta meratah minda penuntut dalam diam. Akta yang membuatkan golongan penuntut dihantui rasa takut untuk berfikir, rasa takut untuk menilai, rasa takut untuk bersuara, serta rasa takut untuk memilih. Mereka bukannya robot kawalan jauh yang bisa dikawal segala pergerakan serta gaya pemikiran. Mereka juga bukanlah bateri energizer yang mampu bertahan lama tetapi hanya mampu melakukan satu kerja sahaja dalam satu masa. Tugas mereka bukanlah hanya menuntut serta mengadap buku sahaja. Sesekali minda mereka harus dijamu dengan skop skop pemikiran yang lebih kritikal. Ini akan menghasilkan graduan yang berkualiti. Tetapi apa yang AUKU telah lakukan? Dengan wujudnya akta ini, penuntut penuntut yang ‘penakut’ akan terhasil. Inikah yang kita mahu? Jangan ditutup laluan pemikiran mereka yang sepatutnya cergas berfikir. Jangan disekat sel sel otak mereka yang sedang berkembang dengan idea idea baru. Ingin saya sertakan di sini perbualan saya bersama kenalan rapat yang kiranya ‘mangsa’ kepada AUKU…




Situasi 1: (keliru)

Saya: Kebanyakannya golongan educated lebih banyak berfikir kan? Yalah, pasal politik serta agenda agenda yang berlaku…sebab diorang lebih tahu and lebih banyak pendedahan

Mangsa 1: Aah…memang pun…

Saya: Untunglah diorang yang belajar jurusan undang- undang. Lagi banyak tau pasal constitution..and diorang patutnya lagi bijaklah decide mana baik mana buruk

Mangsa 1: Itulah..memang banyak yang kitorang belajar…( dengan nada bosan)

Saya: Seronoknya…celik hati..celik minda..habis, awak pelajar undang-undang tapi still pangkah pihak yang tidak sepatutnya? Camne tu?

Mangsa 1: Memangla aku belajar…tapi malaslah aku nak fikir…ni assignment banyak lagi..takyahla fikir..bukan tanggungjawab kita pun..

Saya: ( terdiam sambil ternganga)

Komen penulis: Malas nak berfikir? Bukan tanggungjawab kita? Inilah kesannya apabila hanya golongan veteran sahaja yang dibenarkan berfikir dan melibatkan diri dengan politik…




Situasi 2: (takut tak tentu pasal)

Saya: pernah dengar AUKU tak?

Mangsa 2: apa benda tu? Pelik je…

Saya: akta universiti dan kolej universiti…

Mangsa 2: owh…untuk apa?

Saya: sekat kebebasan pelajar universiti dan macam-macam lagi…

Mangsa 2: aku taknak fikir..yang aku tau time election, aku pangkah je..

Saya: kenapa camtu?

Mangsa 2: aku bukannya apa…aku ‘takut orang cina jadi pemerintah and melayu dipinggirkan’…

Saya: (terdiam tak percaya)

Komen penulis: jelaslah, fikiran mahasiswa dan mahasiswi sudah digodam oleh AUKU. Dengan adanya AUKU, graduan graduan yang membawa perkataan ‘takut’ kemana mana sahaja akan lahir…

Akhir kata, apa tujuan menuntut ilmu itu jika tidak digunakan sebaiknya? Apa gunanya mengadap buku berjam jam tetapi berfikir tentang ini barang seminit dua pun tidak mahu? Buka minda anda para penuntut, kamu bukan alat mainan kawalan jauh yang menggunakan bateri…bila diperlukan, dipasang baterinya..bila tidak mahu,di cabut pula bateri itu..

p/s: maaf di atas penggunaan bahasa rojak di dalam perbualan dan terima kasih kepada Ibn Qadr kerana banyak memberikan input kepada saya

wassalam, Ummi Umairah

1 Comentário:

Anonymous said...

tahniah kepada kedua-dua khususnya Kii atas kejayaan mendidik pemikiran seorang wanita sehingga menjadi kritis. Teruskan perjuangan.