Lemahnya Semangat Anti Korupsi kita.. Salah siapa???


Dengan Nama Allah satu-satunya tuhanku, Izinkanlah aku meninta...

Bismillahirrahmannirrahim...


Tidak lama dahulu, satu kajian mengenai isu korupsi telah dilakukan terhadap penuntut-penuntut di institusi pengajian tinggi di seluruh negara oleh Institut Integriti Malaysia. Kajian ini dilakukan untuk menilai sejauh mana kepekaan dan kesedaran tentang isu korupsi dikalangan mahasiswa mutakhir ini.




Apa yang amat mengejutkan, dan tidak kurang pula mengecewakan, hasil daripada kajian tersebut, didapati 40% daripada golongan mahasiswa sanggup menerima rasuah dan mengamalkan korupsi di tempat kerja mereka kelak. Hal ini ternyata membimbangkan dan sedikit sebanyak telah membuka mata penulis bahawa betapa melemahnya semangat membenci apatah lagi menentang korupsi dikalangan generasi muda hari ini.

Perlu diingatkan, tinjauan rambang tersebut dilakukan keatas golongan mahasiswa, yang sepatutnya dianggap kumpulan masyarakat yang mempunyai tahap kependidikan yang tinggi, justeru seharusnya memiliki kesedaran sivik dan akhlak yang lebih baik daripada lapisan masyarakat yang lain.

Mengapa kelumpuhan nilai moral ini tetap berlaku dimana ia seharusnya dinafikan oleh kesedaran pendidikan???

Apakah sistem pendidikan negara ini sudah gagal, sehingga mencipta sekelumit generasi yang bakal membangsatkan harta rakyat?


Fikiran penulis yang kecelaruan, dan kehairanan membuatkan mata ini sukar dilelapkan, tatkala pedih mengenangkan keputusan kajian tersebut.

Rontaan fikrah muda ini tidak semena-mena membawa kepada penelitian semula zaman kanak-kanaknya.Zaman kanak-kanak generasi 70an dan 80an yang diindahi dengan warna-warna kehidupan yang pelbagai. Manakan tidak, pada ketika itu negara ini sedang berpadu, sedang melangkah hebat membangun, ekonomi negara kian gagah, seolah-olah melupakan segala kesengsaraan yang telah diharungi oleh negara muda ini.

Proses modernasisasi begitu rancak berlaku pada ketika itu, pendapatan isi rumah rakyat kian meningkat, taraf kehidupan bertambah baik.Namun apa yang uniknya, ajaran-ajaran agama dan moral masih lagi tidak dilapokkan oleh ibu bapa pada ketika itu.

Maka selalulah kita sebagai anak mendengar leteran ibu bapa kita seperti :

"Apis, jangan mencuri, itu adalah kecurangan besar disisi agama"

Ataupun,

"Apis, sesungguhnya berbohong itu salah, berdosa, nanti tuhan marah"

Paling tidak pun,

"Apis, tak baik cakap "aku", berdosa, nanti jadi paku!!"


Tapi pernah atau tidak kita dengar ibu bapa kita berkata begini, atau mungkin sekali jarang kedengaran lafaznya begini :


"Apis, dah besar nanti, jangan jadi kaki makan rasuah, jangan salah guna kuasa yang Allah amanahkan kat kita, nanti masuk neraka jahanam! Berkawanlah kamu dengan syaitan laknatullah!!"

Penulis kira, tentu pembaca sekalian kehairanan. Mungkin sekali ada diantara kamu semua yang berasakan saranan tersebut tiada logikanya, apatah lagi jika ianya harus disampaikan pada kanak-kanak tahun 1 yang baru sahaja menjejaki alam persekolahan yang penuh berliku.

Namun sedikit provokasi yang penulis ingin timbulkan:

Adakah seorang kanak-kanak dapat memahami konsep mencuri dengan tiadanya didikan ibu bapanya?

Bagaimana pula dengan Konsep Tauhid? Konsep ketuhanan, konsep syurga dan neraka? konsep dosa dan pahala? Mengapa seorang anak kecil itu mampu memahami satu falsafah yang tidak tercapai akalnya, yang ghaib dimata mereka tetapi tahu pula mereka berhujah:

"tak baik melakukan perkara ini, nanti tuhan marah, tuhan kasi dosa kat kita, tuhan akan humban kita dalam neraka kalau dosa kita banyak setinngi gunung.."

Maka rakan si kecil itu bisa sahaja akan bertanya:

"siapa yang kata begitu?"

Lalu akan pantas sahaja dia menjawab:

"ayahku/Abiku/Abahku/Papaku/Bondaku/Ibuku/mamaku/cikguku/Ustazku/Ustazahku yang kata!..."

Kebiasaannya si penanya akan tertunduk dan diam membisu tanda setuju.

Mari sama-sama kita renungkan kembali frasa diatas.... "Ayahku yang berkata begitu"...


Masyaallah, itulah kurniaan Allah terhadap autoriti yang mampu diwartakan oleh golongan Ibu bapa dan para pendidik! Apa sahaja yang dikatakan oleh mereka, mentah-mentah akan ditelan oleh kanak-kanak yang belum mencapai kematangan.

Apa yang diperkatakan oleh penulis diatas, menunjukkan betapa pentingnya pendidikan awal tentang sentimen anti korupsi dan rasuah diterapkan kepada golongan anak-anak yang masih didalam era ketidakmatangan. Seharusnya budaya keibubapaan dan pendidikan di bangku sekolah wajar digubal bagi membendung masalah korupsi sejagat demi melahirkan pemimpin yang berkredibiti, amanah, dan cekap menguruskan khazanah negara yang diwarisi turun temurun oleh generasi terdahulu.


Namun, jangan pula kita terus menunding jari melaungkan kesalahan ibu bapa kita, mengatakan merekalah penanggung dosa hakiki menyebabkan diri ini rela memakan harta rasuah!. Harus diingat, pada zaman mereka, tidaklah wujud acara memakan duit rakyat, acara menabur harta kepada kroni, atau memperkayakan diri melalui saman-saman trafik!, jika adanya sekalipun, mungkin hanya sekelumit kecil sahaja yang melakukan sedemikian, sehingga masyarakat dan pihak berkuasa tidak terperasan kewujudannya!.

Apa yang wajib dilakukan oleh kita semua, bakal ibu bapa, mahupun yang telah mempunyai keluarga, didiklah anak-anak kita dengan sifat anti korupsi yang mendalam sejak daripada mereka didalam kandungan lagi disamping ilmu-ilmu agama dan moral yang lain. Perlu ditegaskan, janganlah kita mengambil mudah tentang isu ini. Tidakkah kita rela melihat anak kita diheret ke neraka dunia mahupun di akhirat, lantaran keterlanjuran ketamakan harta dan kemewahan? Sudah tentu tidak!! Justeru itu, revolusi budaya pendidikan ini harus menjadi satu kewajipan yang sahih dan sah! Bukankah begitu??


"apis, dah besar nanti jangan makan rasuah, jangan tipu orang, jangan tak amanah dengan kerja yang masyarakat telah pertanggungjawapkan kepada kita. Nanti Allah humban kamu ke dalam neraka bersama-sama iblis!"


Harapnya revolusi seruan itu dapat kudengar pada hari esok.........




Wallahualam...


Kearah Masyarakat Demokrasi Islam dan Anti Korupsi,




Hafidz Hakimi Bin Haron (Ibn Qadir)
Exco,
Bahagian Kepimpinan dan Sukarelawan
Gerakan Rakyat Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) Mahasiswa
Malaysia.

2 comments:

Iliana said...

salam saudara..

mungkin tiada salahnya jika saya kaitkan isu ini dengan kurangnya aspek kesedaran tanggungjawab dalam diri. ijazah ataupun mana-mana sijil yang digenggam itu tidak semestinya menjamin kualiti peribadi para graduan. kerana, kebanyakan mahasiswa/i yang masuk ke universiti hanyalah dengan niat untuk mendapatkan kelulusan. maka, aspek yang difokuskan hanyalah pembelajaran. stail pembelajaran itu pula hanya dengan hafalan bukan pemahaman (untuk lulus peperiksaan semata-mata). apabila sesuatu ilmu itu dicerna secara luaran sahaja bukan dalaman, maka sia-sialah ilmu itu, lagi-lagi jika ianya tidak diamalkan..

wallahualam..

p/s : maaf panjang pula komen saya

Ibn Qadir said...

salam kembali kepada saudara...

terima kasih atas komen yang diberi..penulis amat menghargai perspektif pemikiran yang diutarakan oleh saudari..

Ya, memang benar, dan penulis bersetuju dengan komen yang diberikan.. mahasiswa hari ini menjadi lesu keperibadiannya, persoalannya mengapa?

pertamanya, mahsiswa dewasa kini seringkali dihidangkan dan disorongkan dengan impian kemewahan, dan kejayaan material, atau boleh dikatakan "job market oriented"..

Pokoknya, inilah akibat kedurjanaan sistem kapitalis barat, yang hanya membentuk masyarakat untuk bersifat materialis, mengejar kekayaan,akibat daripada kesalahtafsiran definisi pelajaran itu sendiri..ya, mereka hanya faham; mahu kaya, mahu hebat, mahu senang, secara tidak langsung, wadah asal menuntut ilmu untuk mencari keredhaan ilahi semakin terpinggir, semakin dijauhkan... Dan inilah akibat menuntut ilmu tanpa ketelusan hati "lillahitaala.."..

Namun, penulis juga suka menegaskan, inilah yang patut diubah oleh masyarakat kita hari ini. Hal ini dikukuhkan lagi dengan teori yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun, yang mengatakan, perubahan masyarakat hanya dapat dilakukan melalui persekitaran (enviroment) dan pendidikan (education).

Justeru itu, penulis memandang, didikan ibu bapa itu adalah tersangat penting disamping sistem pembelajaran di sekolah-sekolah. Pada hemat penulis, sistem pembelajaran itu bukan saja merangkumi sistem pendidikan formal, malahan juga secara informal, khususnya didikan ibu bapa...

Mungkin revolusi pendidikan itu harus dituntut supaya generasi mendatang tidak lagi buta dengan integriti.

Atau mungkin AUKU harus dihapuskan bagi membebaskan diri mahasiswa dibelenggu ketidakmatangan dalam berfikir?

wallahualam dan terima kasih...


Ibn Qadir