PKPIM Komited Bersama Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan terus komited bersama dengan Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu dalam melaksanakan segala perencanaan yang telah ditetapkan demi memastikan matlamat untuk membubarkan dasar PPSMI tercapai.


Sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bagi ini diberikan atas sebab keberkesanan sekretariat ini untuk menyatukan seluruh pertubuhan yang berpegang kepada prinsip membantah dasar PPSMI. Dalam pada itu, sekretariat yang bakal dipimpin oleh Dato Dr Hasan Ahmad ini juga telah berikrar untuk melakukan tindakan yang paling radikal iaitu mengadakan demonstrasi satu ratus ribu rakyat sambil membawa keranda 152. Maka, sebagai wadah gerakan pelajar yang membawa idealisme anak muda, adalah wajib bagi kami untuk berjuang bersama-sama di dalam sekretariat ini.

Sementara itu, dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan 152 bersama En Hasni Abas yang lepas, beberapa perwakilan PKPIM telah diberikan mandat untuk menggerakkan sekretariat ini bersama beberapa pertubuhan lain. Antaranya termasuk Saifullah Zulkifli (Setiausaha), Muhammad Faisal Abdul Aziz (Pen Setiausaha), Akmal Hisyam Abdul Rahim (Setiausaha Media), Abu Qassim Nor Azmi (Jawatankuasa) dan sebagainya. Situasi ini telah memberikan harapan dan tanggungjawab yang besar kepada PKPIM untuk memberi komitmen yang penuh kepada sekretariat.

Sebelum ini PKPIM telah menyerahkan petisyen bantahan satu ribu tandatangan kepada Timbalan Menteri Pelajaran, namun sehingga kini, sebarang respon masih belum diberikan. Ekoran itu, PKPIM sudah bersedia untuk melakukan apa saja yang termampu termasuk untuk turun ke jalanan sambil mengangkat keranda bersama-sama sekretariat ini sebagai wadah terakhir bagi mendesak pihak pemerintah mendaulatakan kembali martabat Bahasa Melayu.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM turut menggesa seluruh pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama menyertai sekretariat ini bagi memastikan suatu gerakan selamatkan bahasa melayu berjaya dilaksanakan secara besar-besaran.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ (860813-38-5543)

Naib Presiden,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Merangkap Penolong Setiausaha Sekretariat Selamatkan BahasaMelayu

3 comments:

MmP said...

salam.
Bagi saya, PPSMI tak patut dibubarkan...

Sebabnya,
Sekiranya ingin menyelamatkan bahasa melayu, mengapa tidak digunakan dwi-bahasa saja?

Bukankah lebih baik kita mencadangkan penggunaan dwi-bahasa daripada membubarkan PPSMI?

Ini disebabkan,
Ramai anak-anak yang telah diasuh dengan bahasa inggeris...

Apa pula nasib mereka, jika kita membubarkan PPSMI?

Jika di tadika mereka belajar dalam BI, apabila dimasukkan ke darjah satu, tiba2, perlu belajar dalam BM pula...

Sains & Maths pula,
banyak istilahnya berasal dari bahasa inggeris,

e.g:round off= bundarkan.

Adakah mereka akan faham istilah dalam bahasa melayu?Tidak...
Kerana mereka sudah mengusai bahasa inggeris...

pada pendapat saya,
lebih baik kita tidak membubarkan PPSMI dan membuat sedikit perubahan iaitu dwi-bahasa...

Supaya, dengan penggunaan dwi-bahasa, para pelajar dari desa dpt memahami pembelajaran itu sekaligus mengusai b.inggeris.

Mengapa perlu kita membubarkan PPSMI? Mengapa kita tidak mencadangkan alternatif seperti ini...

(hanya pandangan peribadi seorang pelajar PPSMI)Maaf jika terkasar bahasa...

Ibn Qadir said...

waalaikumsalam saudara..

terima kasih atas cadangan yang dilontarkan saudara..dan penulis amat menghargai buah fikiran saudara tersebut.

Hakikatnya, inilah yang amat dibimbangkan oleh para ilmuwan dan pecinta bahasa melayu, di mana, anak bangsanya tidak lagi kaya dengan bahasanya sendiri, bahasa melayu.

Untuk pengetahuan saudara, dilema yang bakal dihadapi oleh anak-anak kita sekiranya dimansuhkan PPSMI, adalah sama taranya dengan kami, generasi pasca-PPSMI kira-kira 6 tahun dahulu.Masih diingat, terkejut juga saya pabila diperlihatkan dengan soalan-soalan bahasa inggeris di bangku sekolah!..

Dilema sedemikian juga berterusan sehingga saya menjejaki menara gading.Mana tidaknya, di UIA, segala tutur kata, nota-nota, serta buku teks berbahasa inggeris, namun alhamdulillah, sedikit sebanyak penulis berjaya menguasai bahasa tersebut.

dengan rendah diri, penulis menyangkal dakwaan saudara yang mengatakan bahawa pemerkasaan bahasa inggeris untuk anak-anak desa mewajarkan PPSMI diteruskan.

Pendirian ini ditegaskan kerana, pada hemat kami (GAP-PKPIM) masih lagi terdapat alternatif lain untuk tujuan sedemikian. Misalnya kita boleh mengambil contoh daripada Program Asasi UIA, yang mewajbkan pelajarnya mengambil subjek-subjek pecahan dari bahasa inggeris secara khusus. Misalnya, speaking class, writing class, dan lain-lain. Mungkin model sedemikian dapat diterapkan di peringkat sekolah bagi meningkatkan penguasaan bahasa internasional tersebut!

Suka juga penulis mengingatkan kepada saudara, dasar PPSMI hanya dilaksanakan sejak 6 tahun yang lalu. Namun secara tidak langsung, saudara sendiri telah mengakui kedurjanaan dasar tersebut kepada bahasa melayu itu sendiri. Nampaknya generasi kini menjadi semakin kurang arif dengan terma-terma saintifik dan matematik didalam bahasa melayu, ini hanya 6 tahun yang pertama, bayangkan betapa dasyatnya jika diteruskan selama puluhan tahun? bukankah itu fakta yang menyedihkan?

Saya juga disini menyangkal dakwaan saudara tentang hakikat bahawa anak desa telah menguasai bahasa inggeris didalam sains dan matematik.

Namun saya juga tidak menafikan, mungkin ada sebahagian diantara mereka berjaya menguasainya, syukur alhamdulillah.. Ini mungkin dengan berkat bimbingan guru-guru di sekolah dan di pusat-pusat tuisyen, mahupun pengaruh media massa.

Namun, apa yang harus difikirkan, apa yang terjadi kepada anak-anak melayu, dan orang asli, yang tinggal di ceruk-ceruk pedalaman? tidakkah keadaan sedemikian serba sedikit membantutkan daya motivasi mereka utk terus menuntut ilmu? mereka tiada wang yang besar, mereka tiada kemampuan untuk menghantar anak-anak ke kelas tambahan, sedangkan rumah mereka sendiri malamnya hanya diterangi dengan cahaya pelita, apatah lagi memiliki kotak televisyen bagi tujuan pendedahan dan pembelajaran?

Dalam jangka masa panjang, hal ini mungkin mewujudkan ketidakstabilan dalam strata sosial.. yang kaya, akan terus kaya, namun bagi yang miskin, akan terus dibangsati dengan kemiskinan.

Secara peribadi, penulis tidak membantah sekiranya pembelajaran di menara gading dilaksanakan dalam bahasa inggeris, namun besar harapan agar generasi muda seharusnya mengenali bahasa kebanggaan dan bahasa kebangsaanya dahulu sebelum terjun mencintai bahasa orang lain.

Harapnya perjuangan sarjana-sarjana terdahulu seperti Kris Mas dan A samad Ismail dalam memperjuangkan dasar kedaulatan bahasa melayu tidak dilupai begitu sahaja...

Mungkin kita patut belajar dengan bangsa german, jepun, dan perancis yang berjaya tanpa bahasa inggeris..

sebagai penutup, mungkin cadangan saudara dapat dipertimbangkan sebagai transisi kepada penghapusan PPSMI secara mutlak. Ia haruslah bersifat sementara, dan bukanlah abadi.Dan ia seharusnya tidaklah menjadi suatu dasar, tetapi hanyalah sebuah pembolehubah sementara untuk memudahkan pelajar secara perlahan-lahan memahami terma-terma tersebut didalam bahasa kebangsaan.

Meminjam kata-kata Ibnu Khaldun, "sebaik-baik ilmu itu, haruslah diajar didalam bahasa ibunda mereka sendiri.."

Maafkan saya sekira ada nukilan diatas yang mengkasari jiwa...

Terima kasih



Ibn Qadir

MmP said...

saya mohon maaf jika mmg saya agak menyinggung perasaan saudara dengan hujah2 saya..

dalam soal ini...adalah lebih baik diubah PPSMI kepada dwi-bahasa...

baru adil rasanya...
yg sudah menguasai BI, masih boleh memahami pelajaran itu dan begitu juga dengan anak2 yg tidak menguasai BI...

apa salahnya kita belajar kedua-dua subjek dengan dua bahasa bukan?

jadi, harapnya, penulis tidak salah faham...

saya tidak membangkang usaha anda semua, tapi, saya ingin mencadangkan alternatif lain...

untuk kebaikan semua...saya harap, PKPIM mencadangkan dwi-bahasa dan saya juga harap GAPENA menyokong alternatif ini...

apa yang penting, ilmu itu sampai kepada kita, sekian.

wslm