Luahan Kesah Tentang Budaya Perniagaan Melayu Kini

Assalamualaikum warahmatullah..

Ketika penulisan ini dititipkan, saya baharu sahaja pulang daripada sebuah Stesen Minyak milik syarikat Gas dan Petroleum terkemuka negara. Pengalaman disana pada hari ini cukup memberi impak yang besar pada rasa hati dan naluri jiwa, disaluti dengan rasa kecewa yang amat sangat.



Seperti biasa, saya meletakkan kereta disebelah Pam no 5, untuk memenuhi kehendak tangki minyak yang sedang kehausan. Saya mematikan enjin, dan terus melangkah masuk ke kaunter stesen minyak terbabit.

"Assalamualaikum" ucap saya. Menunggu juga untuk dijawab, namun tiada balasnya. Pekerja itu terus mengetuk-ngetuk meja tanda isyarat mahu saya menyatakan hajat dan niat lantaran tubuh ini sedang tercegat dihadapan kaunter.

"Kak, boleh kasi saya Maxis 30 Ringgit dengan minyak 30 dekat pam 5 ?" .

Wanita muda itu menarik muka masam.Namun dibuat juga apa yang saya mintakan. Hati saya mulai mendidih, namun saya tetap cuba bersabar. Seketika kemudian saya merasakan permintaan saya dilengahkan.

Saya menegurnya sekali lagi, "Maaf kak, Maxis 30 dengan minyak pam 5 dah ok?"

Dia berpaling pada saya mencuka. Mengangkat tangannya sebagai tanda isyarat "tunggu sekejap". Nafsu amarah saya semakin membuak-buak. Setelah selesai segalanya, dia menghulurkan topup yang dipohon beserta duit baki pembelian dengan muka yang cukup menyakitkan hati, tanpa mengujar kata sepatah pun walau sekadar berterima kasih!.

"SAMA-SAMA!" teriak saya di hadapan raut wajahnya dengan nada yang cukup kuat dan sinis, sehingga satu kedai terkujat memerhati tingkah laku saya yang separa jengkel itu. Terkebil kebil pekerja itu melontar pandangan pada saya.

Saya tidak peduli lagi.

Saya Berlalu dengan rasa marah dan hampa.....

.... dan ini bukanlah pengalaman pertama saya.

Sedang memandu pulang, Fikiran saya melayang menggamit memori lampau ketika berada di bumi matahari terbit dalam 2 tahun sudah. Saya masih ingat, hidup sebagai pengguna disana bukan hanya rasanya sebagai raja, malahan peniaga menganggap pelanggannya seperti dewa!.


Manakan tidak, masuk sahaja ke gedung-gedung, akan disambut dengan laungan "iiterishaimasu!! (selamat datang). Pabila seorang sahaja yang mengujar demikian, satu gedung akan menyahut seruan itu. Tidak cukup dengan itu, setiap pekerja tidak lokek memberi senyuman dan mengucapkan selamat datang setiap kali bertembung dengan anda.

Didalam gedung tersebut anda bebas mencuba apa sahaja yang anda mahu. Daripada set golf termahal, hinggalah ke pakaian dalam, segalanya akan diberikan layanan terbaik. Di kedai-kedai makan pula, walaupun seorang pelayan hanya mahu menghidang pesanan, sudah menjadi kewajipannya untuk meminta izin beserta dengan ucapan "minta maaf tuan, jika mengganggu perbualan tuan...".Wajah mereka tidak pernah lekang dengan senyuman walhal mengucapkan "arigato gozaimasu (terima kasih)" walaupun anda keluar dari gedung dengan tangan kosong.

... dan perkara-perkara yang disebut diatas dilakukan oleh semua, tidak mengira daripada sebesar-besar hypermarket, sehinggalah ke sekecil-kecil gerai makanan!.

Maka tidak hairanlah jika negara Jepun mampu melahirkan Konglomerat -konglomerat besar seperti SONY, TOYOTA, dan HONDA, tatkala mampu berdiri teguh didalam pasaran dunia walau dihenjak krisis ekonomi. Hal ini terjadi bukan hanya kerana mutu dan kualiti produknya, malah yang lebih penting adalah prestasi customer service nya!

Ya! Sungguh masuk akal!


Rentetan memori manis itu mengundang rasa kecewa saya kepada bangsanya sendiri.

Seolah-olah telah menjadi adat pada bangsa melayu, pabila perniagaannya tidak maju seperti yang diimpikan, dipersalahkan orang lain, dicerca begitu begini kepada pesainganya. Lebih menyedihkan, sehingga ada yang sanggup menggunakan ilmu sihir bagi tujuan menghancurkan rangkaian perniagaan orang lain demi kepentingan diri sendiri!.


Sedangkan bukanlah bangsa kita tidak berdaya saing atau lemah, tetapi kita sendiri yang tidak mahu menghayati dan memahami kekuatan bangsa kita bagi tujuan perniagaan. Bukankah bangsa kita kaya dengan budi bahasa, dengan senyuman, adab, dan tatatertib?. Tidakkah agama kita mengajar disiplin, perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain?. Adakah peniaga-peniaga telah lupa perkara-perkara asas ini lantaran kesibukan mengejar kekayan yang dialun oleh ombak kapitalisme?. Maka jelaslah, Revolusi budaya Perniagaan amatlah dituntut demi membaiki mutu peniaga-peniaga melayu.

"kalau macam ni, sampai kiamat pon melayu takkan maju!!!" lintas fikrahku ketika sedang memandu.


Mungkin perlu agaknya dihantar seluruh peniaga Melayu ke Jepun bagi tujuan kursus dan pentauliahan..

Berubahlah Melayu sebelum terlambat!



Demi agama, bangsa dan negara..


Ibn Qadir

1 Comentário:

minne said...

Assalamualaikum wbrth.

Terlebih dahulu ana ingin mengucapkan tahniah kerana di dunia yang fana ini ujud juga remaja spt saudara berjuang utk agama bangsa dan negara. Sejak azali lagi kita tahu org Melayu ni punya sifat malas, dengki, yang menebal di jiwa mereka. Mungkin mereka inginkan Melayu hilang di bumi ini. Teruskan perjuangan kamu mudah-an kamu mendapat petunjuk dariNYA, insya'allah. Wassalam.