Dengan Nama Allah, Tuhan yang maha Pengasih dan Mengasihani
Selawat dan salam ku tujukan kepada seagung – agung Insan, Muhammad ,bersamanya mukjizat sehebat-hebat mukjizat, Al-Quran Al Karim, di mana lahirnya ke Bumi meruntuhkan Istana Kisrah Parsi, Memadamkan Api biara-biara Majusi. Semoga Syafaatnya terus bersama Umat Islam di hari muka, Insyaallah..
Dan doaku keatas pejuang-pejuang Asasi, yang tidak pernah bacul menegakkan keadilan Anak sekalian bangsa yang ditindas, melanyak Sang penindas. Semoga kejayaan akan bersama kalian akhirnya. Sudah sekalian lama rasanya tidak kembali ke meja penulisan ini. Pena ini kian tumpul, meja ini sudah bersawang. Semuanya dinasabkan keatas kerja-kerja duniawi yang sentiasa cemburu pada semangat menongkah arus kekejaman.
Terlampau banyak yang mahu diulas, yang mahu diutarakan oleh ku. Daripada Isu PPSMI, hinggalah kembalinya YB Elizebeth Wong bertugas sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor, segalanya mahu diterjemahkan didalam artikel dhaif ini. Justeru, seribu kemaafan dipinta sekiranya ada Khilaf dalam percubaan merencanakan Isu-isu utama didalam coretan yang tidak seberapa ini.
Memori ini merentap kembali acara agung sekalian pejuang bahasa. Di mana tanggal 7 mac yang lalu, Ribuan penentang dasar zalim itu telah berhimpun dihadapan Istana Negara dibawah naungan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). Natijahnya, perhimpunan itu dilakukan dengan penuh etika, dan bertanggunjawab. Tetapi apa yang dkesalkan ianya telah dicemari dengan layanan buruk pihak polis, yang difikirkan tidak wajar diberikan kepada Rakyat Madani. Apalah salahnya untuk bertemu Raja sendiri, mahu melihat ketua segala ketua Tanah ini?, apalah yang ditakutkan sebegitu rupa, sehingga disembur gas pemedih mata, dimandikan dengan bahan kimia yang cukup menggatalkan! Maka persetankanlah kita keatas semua itu, Juang ini tetap juang, Biarlah putih tulang, jangan putih mata.
Apa yang mampu dibanggakan adalah partisipasi daripada golongan pendidik itu sendiri. Mereka cukup lantang membantah dasar yang hanya merencatkan pertumbuhan intelektualisme anak bangsa.Kerna Kasihnya guru pada anak didiknya, Pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan-jabatan pendidikan tidak diendahkan lagi.Kini institusi perguruan kian segar kembali. Maka besar harapanku agar guru-guru berani seperti Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako akan dilahirkan kembali!.
Lantaran itu,secara umumnya ku menyokong cadangan mantan Menteri Pendidikan supaya kumpulan pendidik kelas A diberikan hak untuk berpolitik. Pada hematku, ini cadangan yang cukup bernas dan berasas. Namun, adalah kiranya lebih baik sekiranya permisi itu diberikan buat sekalian warga pendidik. Bukankah artikel 10 didalam Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan berpersatuan dan berpolitik buat semua?. Mengapa harus dihadkan buat segelintir pihak sahaja?
Isu kegawatan Politik di Perak ditafsirkan oleh penulis sebagai perkara yang cukup menjengkelkan dan amat mengaibkan, namun kaya dengan segala hikmah. Bagi sesetengah warga bangsa, peristiwa ini telah diberikan konotasi Liberal, dan disifatkan sebagai coup d’ etat. Namun, jika difikirkan kembali, kiranya pihak yang merampas ini membuka pekungnya sendiri. Menjilat apa yang diludahkan, meludah apa yang ditelan. Adalah diluar kewarasan akal fikiran, pabila dua Ahli dewan Undangan Negeri yang satu ketika dihentam oleh pihak-pihak berkenaan, kononnya diberikan peluang kedua, dan diterima dengan pelukan terbuka. Rasional pada fikrahku, Pemimpin yang rendah akhlaknya wajib disanggah, pemimpin yang korup haram disembah!.
Kemurkaan rakyat tentang ini telah diterjemahkan didalam pilihanraya dua bukit, satu batang yang lalu. Kemaraan pendokong-pendokong Demokrasi beradab bagai tidak dapat dibendung lagi. Illustrasi yang mereka berikan cukup mudah untuk difahami. Nampaknya Jiwa bangsa ini sudah berevolusi. Penolakan terhadap politik rasis, pemerintahan yang tiada integriti, telah cukup menggoyang sistem orde Lama yang didokongi oleh parti pemerintah sejak hari Merdeka lagi.. Kebejatan idea aristokrat dan feudal yang cuba dibawa oleh golongan orde lama telah ditolak mentah-mentah oleh golongan Marhean. Gelombang kebangkitan ini disifatkan oleh fikrah hijau ini sebagai khabar gembira buat sekalian anak dunia. Satu kemajuan didalam arus demokrasi yang cukup menguntungkan ini. Tahniahku buat sekalian warga!
Maka wajiblah buat sekalian barisan kepimpinan itu dibahunya tanggungjawab akhlak dan moral.Tidak kiralah apa ideologinya,apa agamanya, apa warna kulitnya,mahupun apa partinya.Lantaran ianya suatu perkara asas yang dituntut buat sekalian pemimpin. Sepintas lalu,ucapan tahniah ku utarakan buat Lembaga disiplin UMNO diatas penarikan kelayakan YB Ali Rustam untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pada perhimpunan Agung yang lalu. Ianya satu keputusan yang difikirkan wajar, senada dengan agenda penetangan korupsi oleh Rakyat. Tahniah buat anda!
Namun apa yang menggelisahkan, dikhuatiri tindakan berkenaan hanyalah bersifat kosmetik, dan polemik politik semata-mata. Mengapa kiranya hanya seorang yang di kambing hitamkan, yang seorang lagi dilepaskan?. Mengapa kiranya tiada pertuduhan secara perundangan dikenakan kepada YB Ali Rustam di mahkamah? Mengapa SPRM hanya berdiam diri didalam kisah ini? Bukankah sudah terang-terang terbukti Locus Standii didalam kes tersebut? Bukankah politik wang itu adalah rasuah, bukankah rasuah itu sama artinya juga seperti politik wang? Adakah kerna Lembaga Disiplin UMNO itu lebih besar kedudukannya daripada sistem keadilan Negara?. Ini bukanlah hanya masalah dalaman parti, tetapi ia adalah masalah Rakyat!.
Remuklah hati ini pabila Kerajaan Rakyat mengekalkan kedudukan YB Elizebeth Wong sebagai Exco kerajaan Selangor. Tidakkah kita telah terlupa pada sumpah setia moral dan etika kita. Di mana agaknya kita ketika Chua Soi Lek diheret dengan skandal seks satu ketika dahulu. Ya!, Kita marah, Kita cemuh, Kita gesa supaya dilucutkan kuasa daripadanya!. Kerana apa? Kerana kita menolak pemimpin yang lemah akhlak dan moralnya. Lupakah kita pabila kita merayakan hari perletakan jawatan beliau?, Bersorak sarai tanda Berjaya. Mengecap syukur tanda gembira?.
Maka seruanku kepada kalian, Janganlah semut ribuan batu jauhnya mampu dizahirkan, namun gajah didepan mata kita pejamkan.
Maka maaf ku layangkan kepada YB Elizebeth. Ku arif tentang puan sebagai pemimpin yang bijak, bertanggunjawab, dan penuh integriti. Banyak jasa puan telah ditaburkan untuk nikmat anak negeri. Namun Maafkan ku sekali lagi. Prinsip ku adalah prinsip mu. Yang salah tetap salah, yang benar tetap benar.
Maka ku ambil semangat sabda Rasullullah tentang keadilan: “sekiranya ku dapati Fatimah binti Muhammad sekalipun mencuri, maka aku sendiri akan memotong tangannya!”
Maka wajarlah puan tidak lagi berada ditampuk kuasa. Pemimpin itu adalah tauladan buat sekalian manusia. Harapnya kesalahan moral Puan tidak menjadi ikutan anak-anak muda yang semakin hilang arah dalam merencana masa depan Negara.
Dengan rasa rendah diri dan kehinaan, ku ucapkan selamat buatmu sekalian anak juang. Harapnya perjuangan kita bukan sementara. Gunakanlah tulang empat keratmu membawa harapan membara, menggalas tanggungjawab seorang pembela. Janganlah sekalipun kita mengidam kuasa, kerana kuasa itu membawa kepada jalan dusta. Sesungguhnya dusta itu membuka kepada fitrah duka nestapa, membodohkan apa yang bijak, membawa hati semakin teranjak.
Lengkapkanlah diri dengan segala ilmu, penuhilah hati itu dengan kekuatan Iman dan kepercayaan.Nescaya selamatlah kamu dari segala kekusutan. Kasihanilah golongan yang tertindas, dan teruskan kebencian kepada golongan penindas.
Moga Tuhan Sentiasa Bersama Aku dan Kamu.
Dengan ini aku pertaruhkan nyawaku untuk keadilan anak semua bangsa,
Insan biasa,
Ibn Qadir
www.seruankebangkitan.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment