One Malaysia Untuk Saya, Dan Juga Untuk Kamu!

Demi Allah, Tuhan yang telah memberi akal fikiran kepadaku supaya diterjemahkan segalanya kepada tulisan ini. .

Selawat dan salam buat Rasul Junjungan, serta doa kesejahteraan ku buat kerabat serta sahabat-sahabat baginda.

Ku panjatkan doa-doa kasih serta cinta buat sahabat-sahabat pejuang yang masih mencari -cari formula kemenangan abadi.Moga segala kekuatan dan kehebatan akan bersama kamu.

Assalamualaikum dan Salam Perjuangan..


"ONE MALAYSIA"


Ianya slogan keramat, Ianya slogan baru, namun ideanya lama.Lebih menarik, ianya motto utama Perdana Menteri Malaysia yang baru menaiki takhta.

Soal slogan bagi seseorang pemimpin adalah dikira sebagai perkara yang amat normal atas dasar mahu menarik keyakinan rakyat yang mahu diterajuinya. Ia tiada bezanya jika dibandingkan dengan slogan "we believe in change" dari Barrack Obama, mahupun "Harapan Baru buat Malaysia" dari Anwar Ibrahim, sedangkan ianya serupa, namun intipatinya mungkin berbeda.

ONE MALAYSIA, atau dalam erti bahasa kebangsaanya "SATU MALAYSIA" adalah difikirkan sebagai satu cita-cita mulia, ataupun sebuah senjata propaganda terbaik untuk meraih keyakinan masyarakat madani di bumi bertuah ini. Timbul juga persoalan segar dibenak fikiran penulis, apakah Malaysia ini tidak pernah menjadi sebuahPersekutuan? sedangkan kesatuan ini sudah berdiri teguh sejak berpuluh tahun yang lalu. Tidakkah seharusnya kita sudah menjadi satu?




Persekutuan Malaysia dibentuk melalui berkat ilham Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, yang pada mulanya atas dasar mahu mengimbangi populasi Melayu dan bukan melayu. Atas sebab itu, Sabah dan Sarawak amatlah diperlukan dalam keanggotaan persekutuan ini, maka lahirlah terma Bumiputra bagi mengharmonikan Kaum-kaum asal yang lain dengan Kaum melayu. Walaupun Malaysia menempuh pelbagai halangan di awal kelahirannya, termasuk gerakan konfrontasi dari pihak Indonesia mahupun ancaman daripada negara Filipina, Malaysia akhirnya tetap selamat dibentuk menjadi sebuah persekutuan yang berdaulat.

Tetapi, adakah kita masih tidak menjadi satu?

Malangnya, persekutuan ini hanyalah bersifat fizikal dan lahiriah, bukannya bersifat rohaniah. Ianya bagai hanya mempunyai susuk tubuh badan, tetapi tiada roh sebagai tunjangnya. Penulisan ini menyorot kembali tentang peristiwa 13 Mei 1969, dimana pertumpahan darah berlaku diantara Melayu dan Cina sehingga mencetus darurat. MAGERAN telah dibentuk,dan dikenal pasti ianya adalah disebabkan ketidaksamaan taraf ekonomi antara kaum, maka lahirlah Dasar Ekonomi Baru sebagai ubatnya.Namun, sejarah telah membuktikan dasar ini tidak berjaya menjadi azimat untuk menyatu padukan kaum yang sedang bergelut dengan bayang-bayangnya sendiri. Tidakkah kita lupa peristiwa di Jalan Klang Lama? Kenyataan ini terus menyatakan bahawa jiwa-jiwa rakyat ini masih lagi tidak bersatu, malah masih dibelenggu rasa jijik, sangsi, dan dendam diantara satu sama lain.



Realitinya, Malaysia ini tidaklah sama seperti Soviet Union, walaupun negara soviet itu terdiri daripada pelbagai etnik mahupun kaum, tetapi mereka berkongsi Ideologi, maka kukuhlah semangat perpaduan diantara mereka. Tidak pula boleh disamakan dengan Jepun, negara satu bahasa, satu bangsa, satu agama, satu budaya. Jauh sekali jika mahu disamakan dengan Indonesia sedangkan negara itu memaksa rakyatnya menjadi satu, sehingga nama yang tidak selari dengan keindonesiaan akan diindonesiakan. Atas alasan itu, Malaysia ini berbeda, kadangkala dilihat sebagai terlampau demokratik, sehingga wujud kelonggaran dalam gerakan toleransi bangsa. Sesungguhnya Malaysia ini rapuh, tiada ideologi mendokong, tiada tiang menyokong, maka ada sahaja yang menggoyang, kadangkala bak belah menanti rebah.

Adalah kiranya, terlintas juga agenda "One Malaysia" ini seolah-olah senada dengan seruan yang dibawa oleh parti tindakan rakyat (PAP) sebelum perpecahan Malaysia-Singapura di era 60-an dahulu. Seruan mereka "MALAYSIA FOR MALAYSIAN" telah ditolak mentah oleh kepimpinan Negara di Kuala Lumpur yang seterusnya telah membawa kepada perpisahan Singapura dari Malaysia. Lantaran itu, Singapura telah menjadi sebuah negara merdeka.



"One Malaysia" ini juga seolah-olah senada dengan cadangan Dato' Onn bagi membuka keahlian UMNO kepada seluruh kaum di Tanah Melayu pada zamannya, namun ia telah ditolak mentah-mentah oleh ahli-ahli parti yang diasaskannya sendiri, membawa kepada keluarnya beliau daripada UMNO.

Bahkan, kiranya slogan ini turut sama artinya dengan lunas-lunas Perlembagaan Rakyat yang telah dibawa oleh AMCJA-PUTERA sebagai alternatif kepada perlembagaan Persekutuan yang dibawa oleh UMNO dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dahulu. Konsep "One Malaysia" ini dapat dilihat dari perspektif konstitusi terbabit apabila, seluruh rakyat Malaysia akan dikira sebagai Melayu tanpa mengira warna kulit atau keturunan. Maka atas keabsahan itu, akan lahirlah masyarakat yang satu bangsanya, tetapi kaya variasinya. Perlembagaan Rakyat ini telah dipersetui oleh semua bangsa termasuk oleh Tan Cheng Lock sendiri. Tetapi pihak British dan UMNO pada ketika itu telah menolak sementah-mentahnya, malahan melancarkan penangkapan kepada mereka yang bertanggungjawab atas Konstitusi Rakyat dengan alasan mahu menghapus gerakan Komunisme.

Maka rasionallah pada akal penulis, yang menjadi duri dalam daging didalam penyatuan antara kita bukanlah dari sudut persempadanan fizikal, tetapi politik yang berasaskan pendekatan Rasisme.



Buktinya lihatlah, sudah lebih 50tahun rakyat negara ini diacu dengan politik rasisme. Tidak asingkah kita mendengar parti-parti politik ini memperjuangkan hak hanya atas nama kaum masing-masing tetapi bukanlah untuk kepentingan Nasional?. Inilah yang dikata sebagai penjajahan moden dimana kuasa-kuasa besar mahu negara ini mengekalkan rangkaian pemikiran terjajah bagi mengelak kesatuan baru yang mampu menggugat mereka. Masihkah kita ingat pada dasar pecah perintah yang dianjurkan oleh British seabad yang lalu? Melayu itu letaknya di pekan-pekan nelayan, yang India itu letaknya di estate-estate getah, dan yang cina itu letaknya di kotaraya. Bukankah kita sedang menuruti telahan dan ajaran yang dianjurkan mereka, sedangkan sudah lebih 50tahun kita dimerdekakan?

Pada hemat penulis, politik dangkal dan cetek ini seharusnya diganti dengan pemikiran yang baru. Sesungguhnya iltizam "One Malaysia" itu bukanlah sesuatu yang mustahil, sekiranya ia diberi perhatian yang bersungguh-sungguh oleh setiap pihak bagi menangkis penyakit perkauman yang semakin membarah ini. Sedangkan sebuah kampung tidaklah boleh dibina jika tiada kesatuan, apatah lagi sebuah negara yang cukup kompleks seperti Malaysia.

Janganlah iltizam ini hanya tinggal sekadar slogan, seperti slogan-slogan lapuk yang lain - "dadah musuh No 1 Negara", "Mesra, Cepat dan betul" atau "saya anti Rasuah". Ia seharusnya difahami dan dihayati dengan semangat berintikan kesepekatan bersama, bukannya digunakan bagi memenangi kepentingan politik kangkung semata-mata.

Dikesempatan ini saya menyeru penyatuan buat seluruh anak bangsa, tidak mengira agama atau kepercayaan diatas semnagat untuk membina negara ini dengan penuh tulus dan tanggungjawab. Bersatulah atas norma-norma ideologi yang dianjurkan Islam, bukan hanya kerna syahadahnya, tetapi lunas-lunas humanitarian yang telah dianjurkan olehnya.

Maka Misi "One Malaysia" ini tidaklah semustahil namanya.



Dan saya berbangga, kerana saya anak Bangsa Malaysia!


Ibn Qadir
www.seruankebangkitan.blogspot.com

0 comments: