Gegak Gempita Penanti : Terbelakah nasib kita?

Dengan Nama Rabbi yang mengatasi segala Rabbu, maka DIA telah mencipta akalku supaya dapat ku curahkan penulisan ini buat mu..




Adalah difahamkan kepada penulis bahawa dalam tempoh 60 hari mendatang, akan diadakan kembali sebuah pilihanraya kecil.

Hal ini adalah berikutan perletakan jawatan Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin.Beliau sebelum ini menyandang kerusi DUN Penanti sejak pilihanraya Umum Mac 2008. Tindakan beliau ini adalah sebagai langkah susulan daripada perletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang , diatas alasan mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah.

Sepertimana pada lumrah hukumnya, pilihanraya kecil akan mengundang lebih banyak kontroversi-kontroversi liar yang cukup menjengkelkan untuk dikenang. Banyak wang ringgit yang akan ditaburkan disegenap pelusuk kawasan terbabit, banyaklah projek-projek "Mee Segera" yang kononnya mahu "membela" nasib golongan kelas menengah, dan tidak kurang juga betapa banyak gejala Politik wang serta Rasuah yang akan tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Memanglah benar, sudah menjadi lunas sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi sebagai tunjangnya akan berhadapan dengan permasalahan sedemikian. Ini bukan sahaja berlaku di Tanah Air kita, malahan turut timbul di negara-negara maju yang mengamalkan sistem berasaskan idea socrates itu.

Penulis secara jujurnya melahirkan rasa kecewa diatas julat kekerapan pilihanraya yang berlaku sejak dua menjak ini. Ianya kelihatan begitu memuncak, begitu menghenyak kestabilan negara kecil yang diberi nama Malaysia.

Penulis khuatir, kerana kesibukan akibat daripada pilihanraya kecil, banyak agenda-agenda pembangunan rakyat akan terabai. Makin ramailah golongan Marhean yang terpaksa menghitung hari bagi menunggu sesebuah peruntukan kewangan diluluskan, rentetan daripada kesibukan Menteri-menteri bertanggungjawaban berkempen disesebuah kawasan.

Turut dikhuatiri bahawa kenyataan gejala korupsi dan politik wang akan mencemar onar di pentas pilihanraya seperti ini. Banyaklah wang yang sepatutnya digunakan bagi tujuan kebajikan, telah hangus digunakan untuk membiayai jentera pilhanraya. Manakan tidaknya jika diberitakan dengan hanya menurunkan sehekai bendera parti lawan akan diberikan saguhati sebanyak RM5 secara minimumnya?. Apa yang terjadi jika 50 000 helai bendera berjaya ditanggalkan? Bukankah lebih baik sekiranya jumlah tersebut diabadikan kepada anak-anak yatim yang tidak berdosa,mahupun golongan fakir yang kian tidak terbela?

Janganlah hendaknya hanya kerana mahu merebut kuasa, parti-parti politik yang pada satu ketika berikrar untuk menjadi pembela nusa bangsa ,mengabaikan objektifnya - membela nasib Rakyat. Kasihanilah golongan tani, golongan nelayan, dan golongan proletariat yang setiap hari membanting tulang dari dinihari hingga ke senja hanya untuk menyuap mulut anak-anak yang seringkali kelaparan.



Adalah sedih kiranya oleh kerana pertelingkahan dalaman parti, amanah rakyat serba sedikit akan terabai. Janganlah leka dengan sorakan dan gempita kemenangan, sedarlah bahawa masih ada diantara kita yang sedang berlampukan pelita, masih ada yang menderita mencari alas perut walaupun hanya sebesar sesuduh teh.

Tidak berasa berdosakah kita pabila mengenangkan penderitaan mereka? Sedangkan kita masih galak dengan permainan dan percaturan politik yang dimainkan oleh kelompok elit ini tanpa mempedulikan kepentingan nasib rakyat sejagat?

Harapnya, untuk sesiapa sahaja yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai YB Penanti, janganlah anda lupa tentang berat amanah yang bakal dipikul. Janganlah kerana anda dirahmati dengan pendidikan tinggi, anda telah bertindak menghambur janji-janji dusta keatas golongan yang tidak bernasib baik. Belalah mereka seperti apa yang anda janjikan, dan jangan pula tika ditampuk kuasa anda hanya memuaskan nafsu serakah kroni-kroni kamu. Ingatlah!, sebelah kaki anda sudahpun berada di dalam neraka yang amat perit seksaannya.

Diharap jangan pula berasa durja, walhal Ini hanya pesanan, sebagai seorang rakyat Malaysia yang cukup terusik mengenang nasib golongan yang tidak terbela.

Besar harapan penulis, biarlah selepas ini kita tumpukan pula kepada agenda pembangunan rakyat. Basmilah masalah kemiskinan yang kian meruncing ketika ini, apatah lagi didalam era rempuhan krisis ekonomi dunia yang semakin ganas melanda bak ombak tsunami raksasa.

Ditegaskan bahawa, tulisan ini bukanlah bertujuan untuk mencerca atau menuduh mahupun menghina mana-mana pihak ataupun parti. Cuma ingatan tulus kepada barisan kepimpinan supaya tidak memilih calon-calon kangkung, yang hanya akan merugikan Rakyat setempat secara khususnya.



Bagaimanapun buat saudaraku yang bakal membuang undi pada pilihanraya kecil di hari muka, laksanakanlah tanggunjawab anda sebagai pemilih. Keputusan sebenar ditangan anda. Rakyat itu Raja negara, tanpa rakyat tiadalah kerajaan,maka justeru itu,tiadalah kedaulatan. Inilah gagasan Konvensyen Montevedio berkenaan definisi sesebuah negara, menegaskan betapa pentingnya kompenan rakyat didalam sesuatu pemerintahan.

Semoga dawarsa ini akan menjanjikan kebaikan, dan kestabilan negara yang lebih baik daripada era sebelumnya. Laksanakanlah tanggungjawab tuan-tuan dengan bijak dan matang. Tiada apa yang perlu kita raikan tentang kemenangan mereka, sebaliknya tuntutlah apa yang hak buat anda, dan tentanglah mereka sekiranya ada kebatilan yang mereka ciptakan.

Dengan rasa penuh kasih pada tanah tumpahku yang tercinta,

Ku sampaikan salam kepada golongan proletariat dan Marhaen yang tidak pernah jemu bekerja hanya kerna mahu meraih sesuap nasi...

Aku mahu tersungkur dan bangun bersamamu, walau pandangan ku turut kan kabur...


Dengan ini Aku abadikan nyawaku buat Agama, Nusa, dan Bangsa.,


Ibn Qadir
(www.seruankebangkitan.blogspot.com)

0 comments: