Tentang PPSMI : Penjelasan Dari Penulis Buat Yang Masih Kabur



Assalamualaikum dan salam perjuangan..

Disini penulis ingin berkongsi sedikit komen yang telah dilontarkan oleh saya kepada seorang rakan blogger yang menyokong perlaksanaan PPSMI. Buat saudara terbabit, terima kasih atas pandangan yang telah diberikan oleh saudara tentang isu ini dan saya amat-amat menghargainya. Izinkan saya berkongsi komen saya pada blog saudara untuk posting kali ini kerna adalah kiranya sesuai pada fikrah saya ia diabadikan bersama teman-teman disini.

Sekadar penjelasan dari saya mewakili pihak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), kepada kalian yang mungkin masih lagi kabur tentang relevensi perjuangan kami.

Pohon maaf atas segala khilaf dan kedhaifan ketika komen ini dititipkan.

Wassalam.

Ibn Qadir.



------------------------------------------------------------------------------------------


assalamualaikum warahmatullah..

Pertamanya saya ucapkan selamat datang buat saudara ke dalam arena blog, semoga segala pemikiran dan idea, serta pandangan dapat dimanfaatkan buat seluruh warga komuniti blog, Insyaallah..

Seperti mana rakan-rakan bloggers yang lain, saya menghormati pandangan saudara mengenai isu ini, walaupun tidak semestinya saya akan bersetuju dengan lontaran fikrah saudara.

Saudara,

Maka tidak adillah sekiranya kita perkatakan bahawa dengan tujuan untuk menguasai ilmu bahasa Inggeris komunikasi, kita seharusnya menggadaikan ilmu kalam dan ilmu hisab demi tujuan itu. Saya kira, melalui PPSMI, ianya adalah satu solusi yang kurang pintar bagi mempertingkatkan daya penguasaan bahasa Inggeris.Dasar PPSMI ini telah terbukti kegagalannya bagi tujuan itu selaras dengan keputusan Kajian yang telah dilakukan oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina)dimana telah melibatkan 7 buah universiti tempatan.Hasil daripada kajian yang dilakukan diantara Jun-Disember tahun lalu, hanya 4% pelajar yang mampu mengusai bahasa inggeris melalui PPSMI. Renungkanlah saudara, dasar ini telah dijalankan selama lebih 5tahun, namun itulah sahaja peratusan yang mampu digapai, sedangkan berbillion wang rakyat telah ditaburkan bagi tujuan itu. Bukankah ianya satu pembaziran?

Saya ingin menarik perhatian saudara,

Bahawa sekiranya agenda PPSMI ini diteruskan, maka ia akan mewujudkan perbezaan kelas masyarakat yang cukup membimbangkan. Menyorot kembali pengalaman saya meninjau perkampungan orang asli berkenaan dengan isu ini, hati saya cukup tersentuh apabila ramai anak-anak orang asli sudah keciciran kerana tidak mampu menandingi pembelajaran sains dan matematik didalam bahasa inggeris.Perlu diingatkan, mereka ini bukanlah orang berada, mereka tidak mampu ke kelas-kelas tambahan seperti warga kota, malahan tidak mempunyai sekotak televesyen pun di rumah!. Tidakkah ini akan membawa jurang didalam kehidupan masyarakat sejagat dimana yang miskin akan terus miskin dan yang kaya akan terus kaya dalam tempoh mendatang? Maka tertutuplah peluang mereka bagi membela diri mereka sendiri.

Saya kira, saudara cukup arif dengan pandangan tokoh ilmuwan Islam seperti Ibn Khaldun yang menegaskan bahawa, "sebaik-baik ilmu itu haruslah dihadam didalam bahasa ibundanya sendiri, kerana ia penting bagi memahami sesuatu ilmu tersebut". Pendapat ini turut dikongsi oleh ilmuwan terkenal seperti Imam Al-Ghazali dan Abu A'la Al maududi.




Jika kita lihat kembali sejarah dunia Imperalis, di mana, kebanyakan peperangan bukanlah hanya dimenangi dgn pedang semata-mata, malahan ia turut disenandungkan dengan peperangan mental dan penjajahan budaya bangsa. Menyorot kembali Maharaja Rom, Agustus II yang cukup ampuh dgn "pax romana" nya, membudayakan seluruh jajahan takluk dengan kebudayaan Rom, begitu juga budaya Greco-Persian yang diilhamkan oleh Alexander the Great, bagi tujuan melemahkan semangat penentangan kepada imperalisme pada ketika itu. Cuma realitinya hari ini, penjajahan tidak lagi dilakukan secara langsung, tiada lagi bendera dipacak di puncak-puncak gunung tanda penaklukan. Tetapi ia dipacak di minda, dan dijiwa-jiwa anak bangsa.

Berkenaan dengan isu penterjemahan ilmu, saya cukup yakin bahawa, kita telah mempunyai daya, dan upaya bagi tujuan itu. Kita sudah ada pakar, dan ahli bahasa yang cukup berkelayakan. Kita sudah ada DBP atau Institut terjemahan nasional yang mampu melaksanakannya. Terpulanglah kepada pihak berwajib, untuk mengkaji caranya yang paling berkesan bagi membudayakan kembali ilmu seperti kita diketika era 60-70an dahulu.

Pada hemat saya, soal kegagalan nusa bangsa kita bukanlah bernasabkan Bahasa kita, tetapi kepada kebejatan budaya masyarakat kita. Amat menyedihkan apabila generasi muda kita dikhayalkan dengan hiburan, dimabukkan dengan tari joget realiti tv semata-mata. Ia terus menjadikan bangsa kita lesu, dan terus membelakangkan ilmu.

Maka wajarlah PPSMI ini ditentang habis-habisan..

dan saudara, berbanggalah dengan bahasa ibunda saudara. Sesungguhnya betapa jerihnya nenek moyang kita mempertahankan dan memperjuangkan identiti bangsa, hanya Tuhan sahaja yang maha mengetahui.

Salam hormat dari saya pada Tuan

Ibn Qadir

1 Comentário:

psychedelicmundo said...

hahhahaha bagus komrad kimi..