Kenangan Semalam: Sekitar sidang meja bulat PPSMI di PICC

" Dengan nama Allah, izinkanlah aku untuk berbicara.."

-------------------------------------------------------------------------------------------------

“akak rase bagusla dik PPSMI ni, bagus ape semua orang boleh cakap English, yang kat kampong pon boleh cakap English, mungkin adik-adik ni jenis “tertutup” sikit kot”

Maka tidak semena-mena terbakar dibuatnya telinga kami bertiga, mendengar kritikan yang diutarakan secara peribadi oleh salah seorang wartawan akhbar arus perdana kepada kami. Maka bingkaslah saudara Faisal Aziz, naib presiden PKPIM memberi hujahnya.

Wartawan itu terdiam seketika…

“Ntahla dik, akak tak boleh komen, akak bukan orang politik…”..sambil wajahnya kelihatan mencuka sedikit lantaran mendengar hujah balas saudara faisal dan abu.

Persoalan terpacul tidak semena-mena didalam minda penulis, apakah kaitannya politik dengan isu bahasa ibunda? Apakah akal si berkata telah terjajah dek kebejatan proses globalisisasi barat? Apa lagi tinggal pada melayu? Tidakkah Negara matahari terbit masih menggunakan bahasa mereka sendiri, namun masih mampu menguasai ekonomi global? Tidakkah perusahaan gergasi Daimler-Benz itu terdiri daripada orang-orang jerman yang bahasa inggerisnya masih lagi bersepah-sepah? Matikah melayu kini tanpa bahasa benggali putih itu? Tidak “glokal”kah kita?

Penulis bingung, dan malu.. Malu memikirkan begitu berkesannya senjata globalisasi ini merobek fikrah bangsa melayu-Islam. Begitu mudah akal mereka diputarkan, begitu mudah semangat kedaulatan bangsa mereka dilumpuhkan.

Sempat juga kami menyerbu Pak timbalan menteri pelajaran, menyampaikan petisyen yang telah ditandatangani oleh segenap lapisan pihak bagi membantah PPSMI, Alhamdulillah, serba sedikit terubat kekecewaan kami setelah hak untuk sidang media hampir-hampir dinafikan kononnya disebabkan kesilapan teknikal.



“Perkara ini akan diteliti oleh jemaah menteri, walaupun pendapat kita berbeza, tapi matlamat kita tetap sama” –kata Timbalan Menteri Pelajaran, sambil diperhatikan oleh sekumpulan wakil media semasa.

Ah, orang politik, titipannya di bibir manis sahaja bak gula, retoriknya cukup handal, kami sudah menjangka diluluskan sahaja PPSMI ini, bantahan sebegini pastinya dipejamkan mata seperti tidak ketahuan..

Ya, memang ada liputan media yang dibuat seketika kepada kami, digunakan sepenuhnya oleh kami sebagai medan kritikan terhadap PPSMI, bukan main banyak lagi kamera yang merakam, namun seperti yang dijangka, ia bagai lakonan keghairahan semata-mata, tiada apa yang diselitkan di berita-berita utama. Suara kami dipandang sepi. Tidak mengapalah, resam perjuangan, bukan populariti yang dikejar, tetapi perjuangan yang harus ditegakkan!

Walaupun hanya hadir untuk seketika, melihatkan realiti yang berlaku di sekitar sidang meja bulat berkenaan PPSMI ini membuatkan penulis bertambah insaf, bertambah kukuh semangat juangnya untuk menentang keborokan dan bahaya PPSMI kepada masyarakat, khususnya golongan melayu.


Tetapi malangnya, dokongan menentang PPSMI ini seolah-olah terasing, lebih memilukan, ia dipencilkan oleh kaum melayu itu sendiri.

Sekilas pandang di kamar PICC, berapa kerat sahaja wakil NGO dan pertubuhan pelajar melayu yang turun padang untuk membantah PPSMI?. Perasaan cemburu didalam diri timbul tatkala melihatkan pertubuhan-pertubuhan Tiong Hwa yang hadir, diketuai oleh Dong Zong, dengan sebulat suara, lantang membantah PPSMI bagi mempertahankan bahasa ibunda mereka daripada dijajah di sekolah-sekolah vernakular.

Mana perginya NGO yang kononnya serikandi bangsa dan agama orang melayu? Mana perginya Parti-parti politik yang dahulunya lantang mengatakan merekalah pejuang agama, bangsa dan Negara yang sahih,dan bukannya yang “itu”? Mana perginya gagasan-gagasan mahasiswa, lebih-lebih lagi yang menggunakan perkataan “melayu” sebagai namanya? MANA HILANGNYA MELAYU MEREKA?


Sudahlah sahabat, tolonglah, janganlah hanya kerana dek mahu menjaga periuk nasik sendiri, mahu menjaga kepentingan politik peribadi, mahu menjaga ego, kita ketepikan hak agama, bangsa dan bahasa kita.

Janganlah hanya kerana perbezaan idea dan ideologi, kita seolah-olah membutakan mata, memekakkan telinga, membiarkan sahaja bahasa kita dipijak oleh penjajahan baru yang kononnya dipanggil modernisasi, bukannya globalisasi.

Ayuh, lihatlah perbedaan itu sebagai satu rahmat, sebagai satu kelebihan, usahlah kita terpengaruh dengan seruan zionis yang mahu kita melihat perbedaan itu sebagai satu batasan, satu kemusnahan, sehingga mengelakkan kita untuk bersatu mempertahankan kedaulatan bangsa dan agama kita.Ingatlah, sesungguhnya nama Allah itu adalah pelbagai, namun entitinya tetap Esa.Barangkali begitu juga kita!.

Ingatlah sahabat, bahasa dan agama itu adalah identiti serta jantung sesebuah bangsa. Sakitnya bahasa, sakitlah bangsa. Matinya agama, maka matilah bangsa.

Janganlah ketika bahasa itu sudah porak poranda, barulah kita mahu berpeleseran dijalanan berdemonstrasi menuntut kedaulatan bangsa!


BERSATULAH BERJUANG DEMI BAHASA MELAYU!

Pesanan: Segunung tahniah kepada rakan-rakan seperjuangan dari TERAS, PKPIM-GAP, yang telah bekerja keras menjadikan petisyen ini sebagai realiti. Harapnya segala usaha teman-teman sekalian di beri ganjaran sewajarnya oleh yang maha kuasa.




Bak semut api…

......... dan aku bukan seorang ultra-nasionalis


Ibn Qadir

Ahli PKPIM

3 comments:

psychedelicmundo said...

"anak kecil main semut api.tergigiit jarinya aduh sakit"-nynyikan ikut rentak "anak kecil main api".hek2

Hanif Amir said...

Usah kecewa sdra. Memang resamnya begitu. Namun harus diingat, wira yang tidak didendang kebiasaannya lebih menyengat!

Semoga Bahasa Melayu tidak mati dalam nadi jatidiri rakyat yang semakin lemah ini.

Mari mengupayakan kembali Bahasa Melayu!

Salam perjuangan

psychedelicmundo said...

huhu...kimi aku mase kecik2 penah kene gigit semut api.aku tak tau la sakit ke tak sebab aku tak ingat mase tu aku kecik lagi.tapi parut die sampai skang ade lagi.nanti aku balik aku tunjuk kat ko huhu